Ad + Iz

Karya Dari Eury Athena

APA KATA HEROIN?


"Kau bercakap senang la, Qhuz. Aku yang menanggung ni yang rasa sengsaranya. Aku tak sanggup nak lukakan hati orang. Aku juga tak sangup nak lukakan hati sendiri. Benda-benda berkaitan hati dan perasaan ni bukannya boleh ditentukan dengan teori buku. Ia rumit, abstrak, di luar kemampuan…."

APA KATA HERO?



"Adry, kenapa bukan aku? Kenapa Farriel yang berhati batu tu yang jadi suami kau?" keluhnya.

Ad + Iz - Bab 16

Bab 16

MIDAH tak senang duduk. Mula-mula kerusi meja makan diletakkan punggungnya. Tak sampai lima minit, dia bangkit semula. Mundar-mandir di sekitar ruangan rumah yang sempit.
Zalika yang tadinya khusyuk menonton, mengerling ke arah emaknya. "Kenapa dengan mak ni? Macam cacing kepanasan aje!"

"Akak kamu, Si Adry tu. Betul ke dia dah berhenti kerja?"

"Betul la! Ika tanya sendiri pada kawan dia kat butik tu. Lagipun dah dua tiga kali Ika pergi butik tu, memang dah sah akak tak kerja situ lagi."

"Isk… ada kamu tanya kat mana dia kerja sekarang? Macam mana nak hubungi dia?"

"Ika dah tanya, tapi kawan dia yang kerek tu tak nak beritahu! Panas aje rasa hati!"

Midah mengepal penumbuk. Hilang jejak Adry bermaksud dia kehilangan ‘lubuk emas’nya.

Selama bertahun-tahun Adry menanggung mereka sekeluarga. Dia sudah lama tak bekerja sejak berhenti dari menjadi GRO. Dia sudah berusia. Nak harapkan suaminya? Bakar hanya memegang gelaran itu tanpa tahu melaksanakan tanggungjawabnya. Zalika baru aje mendapat pekerjaan. Namun anaknya itu tak pernah ingin menghulur walaupun sesen. Bakhtiar pula lebih suka melepak, tersidai di sana-sini bersama kawan-kawannya. Cuma Adry yang setia menurut kehendak hatinya.

"Ika kena usahakan cari Kak Adry!"

"Nak cari kat mana? KL? Gombak? Klang? Bumi ni luas la mak!"

"Cari aje la kat mana-mana! Hutang TV, sofa, duit sewa rumah, bil-bil semua siapa nak bayar? Kamu?"

"Apa pulak Ika yang kena bayar? Kan ke selama ni Kak Adry yang bayar!"

Melengking suara Zalika mendengar kata Midah.

"Sebab tu la mak suruh kamu cari dia. Nak minta duit dari dia. Jangan dia ingat dia dah besar panjang, dah pandai cari duit, dia boleh lupakan kita macam tu aje. Penat-penat aku bela dia, dah besar jadi kacang lupakan kulit pulak! Kau pun kena la bagi mak duit. Jangan habiskan dengan berjoli aje!"

Zalika kumat-kamitkan mulut. Mengejek kata-kata emaknya. Matanya sedikit pun tak berganjak dari TV. Baginya, Adrianna langsung tak bererti. Yang membuatkan dia terus bercakap dengan Adrianna adalah soal duit. Kerana dengan Adrianna, dia boleh mengugut, memperbodohkan gadis itu untuk mendapatkan wang. Dengan emaknya, alamat keluar la isi telinga dibebel tak henti-henti. Penghabisannya, duit tak dapat, telinga aje yang dapat sakit!

Bakhtiar yang datangnya entah dari mana, meluru masuk ke rumah. Daun pintu kayu yang hampir reput segera dirapatkan. Besi selak pintu dimasukkan ke tempatnya. Kemudian dia tersandar di situ. Melepaskan lelah. Peluh yang membasahi muka dan bajunya langsung tidak dihiraukan.

"Hah! Tiar, baru sekarang jumpa jalan balik? Dah dua minggu mak tak nampak kamu. Kamu ke mana?" Sinis Midah menyoal.

Bakhtiar yang masih tercungap-cungap sekadar memandang ke arah emaknya. "Mak! Mak kena tolong Tiar mak!"

"Tolong apa pulak ni, Tiar? Kamu bergaduh dengan kawan-kawan kamu lagi ke? Kamu kacau anak dara orang ye!" tuduh Midah.

Bakhtiar menggelengkan kepala. Menidakkan tuduhan emaknya.

Zalika yang menonton sekadar mendengar. Sesekali tawa sinis dilemparkan ke arah adiknya yang menarik-narik lengan baju emaknya, merayu rasa belas dari Midah.

"Bagi Tiar pinjam RM20,000.00, mak. Tiar janji, besok-besok Tiar kerja, Tiar akan bayar balik duit mak tu!"

"RM20,000.00? Banyaknya! Kau ingat mak ni Zeti Aziz, gabenor Bank Negara tu ke? Mana mak nak cari duit sebanyak tu?" Tinggi suara Midah menyoal.

"Ala… Tiar tau mak banyak duit! Ni, mak beli TV baru, sofa baru! Takkan mak beli dengan air liur aje?"

Panjang telunjuk Bakhtiar menuding ke arah ruang tamu yang dahulunya cuma ada kerusi rotan buruk dan TV hitam putih.

"Ni semua hutang, Tiar... Kak Adry kamu yang bayar tiap-tiap bulan. Sekarang ni Kak Adry kamu dah hilang entah ke mana. Langsung tak kirim duit. Kalau dia bagi pun berapa sangat la. Tak sampai ribu-ribu pun!"

"Mak tipu! Takkan la Kak Adry tak kirim duit. Kan ke dia takut sangat mak bakar barang-barang arwah mak dia tu? Mesti dia ada bagi duit tapi mak sorok, kan? Mak nak guna untuk diri mak, kan?" tuduh Bakhtiar pula.

Midah menggeleng. Tak tahu bahasa apa yang patut digunakan untuk menerangkan letak duduk perkara sebenar kepada Bakhtiar.

Bakhtiar tak mati akal. Dia menerpa ke sofa pula. Kaki Zalika digoncangnya. "Kak, kau mesti tau mana mak sorok duit, kan?! Tunjuk kat aku, kak! Aku betul-betul terdesak ni!"

"Eh, Tiar! Kau ni tak faham bahasa ke? Dah mak kata tak ada, tak ada la! Memang betul pun Kak Adry tak bagi duit lagi sekarang ni. Dia pun dah berhenti kerja kat butik tu! Dia dah hilang! Aku dengan mak pun tak tau nak cari dia kat mana!"

Bakhtiar terkedu mendengar bicara kakaknya. Sangkanya Midah berbohong. Tapi bila Zalika turut mengiyakan pernyataan emak mereka tadi, dia mula termakan dengan cerita ‘kehilangan’ Adrianna.

"Argh! Tiar tak kisah! Walau macam mana pun, akak dengan mak kena tolong Tiar. Kalau tak, mati Tiar!"

"Apa kau dah buat Tiar?" soal Midah gelojoh. Bahu anaknya ditepuk kuat.

"Tiar… Tiar pinjam duit dari Ah Long."

"Ya Rabbi, Tiar… kau tau tak apa kau dah buat?" Midah mencapai batang penyapu di sudut ruang lantas mendapatkan Bakhtiar.

Bakhtiar memeluk kedua-dua belah kaki di atas sofa, ketakutan apabila dapat mengagak tindakan emaknya sebentar nanti.

"Kau sedar tak apa kau dah buat? Kau pun sama macam bapak kau! Tak sudah-sudah menyusahkan hidup aku! Cuba la kau kerja baik-baik. Hari tu baru aje hutang bapak kau selesai. Ni kau pulak buat hal!" jerit Midah lantang. Tubuh Bakhtiar dipukul berkali-kali.

Menggelepar Bakhtiar menahan kesakitan. "Tiar tak sengaja, mak. Tiar kalah judi, kalah race motor. Tolong la Tiar, mak. Ah Long tu ugut nak bunuh Tiar! Ah Long tu asyik ikut Tiar aje dua tiga hari ni!"
Tiba-tiba pintu rumah diketuk kasar dari luar.

Midah, Zalika dan Bakhtiar terus membatukan diri masing-masing. Mata masing-masing melolot memandang papan pintu yang bergegar akibat ketukan ‘tetamu tak diundang’. Kecut perut apabila mengingatkan kata-kata Bakhtiar sebentar tadi.

"Siapa?" soal Midah dengan suara menggeletar.

"Kami nak cari rumah keluarga Cik Adrianna Mayesa."

Masing-masing berpandangan dan mengerutkan dahi.

Midah berjalan ke pintu. Selak ditarik dan pintu dibuka.

Dua orang lelaki berpakaian kemas dan bercermin mata gelap, tegak berdiri di muka pintu.

"Kami mencari ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang mengenali Cik Adrianna Mayesa," kata salah seorang lelaki tersebut dalam satu nafas.

"Ada apa hal tu, encik?" soal Zalika yang sudah merapati Midah.

"Ada beberapa soalan yang perlu kami tanyakan," ujar lelaki kedua.

"Kalau kami dapat jawab soalan-soalan berkenaan Adrianna yang encik berdua kemukakan, apa ganjaran yang kami akan dapat?" Midah menyoal lagi.

Kedua-dua lelaki itu berpandangan sesama sendiri seraya menganggukkan kepala.

Midah dan Zalika berbalas pandangan. Merasakan lelaki-lelaki tersebut akan menuruti kehendak mereka, senyuman penuh makna terukir di bibir masing-masing.

PAP! Pranggg!

Farriel hampir terdorong ke depan. Mujur orang yang melanggar sempat memaut lengannya. Kalau tak, tak tentu dia dah terjunam ke lantai lobi.

"Maaf! Saya tak sengaja!" ujar lelaki itu dengan rasa bersalah.

"Takpe! Saya pun tak tengok kiri kanan tadi. Main redah aje," balas Farriel tanpa memandang wajah lelaki tersebut. Sibuk dia mengutip isi fail yang dah berterabur.

Lelaki itu mencangkung. Turut mengutip setiap helai kertas A4 yang terlambak di lantai.

Dan mereka bertentangan mata tatkala kertas diserahkan.

"Aril! Farriel, kan?"

"Adly! Headboy Sri Bistari, kan?"

Farriel tersenyum girang melihat teman lama yang berdiri di hadapannya. Jika dulu, dia paling benci terserempak dengan Adly. Ada aje yang tak kena pada dirinya pada mata Adly. Namun kini, dia menganggap pertemuan ini suatu keajaiban.

Mereka bersalaman sambil memeluk bahu. Lagak teman akrab yang terpisah lama; bertanya khabar dalam suasana mesra.

"Lama betul la tak dengar cerita pasal kau. Last aku dengar pasal kau, kau pindah ke luar negara. Menetap kat sana. Macam mana kau boleh ada kat sini pulak ni? Tak tersangkut dengan mana-mana minah salih? Ke kau dah angkut dia balik sini sekali?"

Adly tersengih. "Mana ada. Aku lebih suka pompuan Malaysia yang sopan santun dari minah salih yang lepas laku tu. Lagipun famili aku ke sana sebab nak berubat. Kau tau kan, ayah aku tu ada sakit jantung."

Farriel mengangguk beberapa kali.

"So, sekarang ayah kau macam mana?" soal Farriel sekadar berbasa-basi.

"Orang tua, tau aje la. Nak kata sembuh 100% tu memang tak boleh la. Ada masa-masanya, datang juga penyakit dia. Kau sekarang kerja kat mana?"

"Hmmm… mana lagi? Company bapak aku la! Jadi manager cikai."

Tawa Adly pecah. "Manager cikai? Mustahil la!"

"He he he…. Kau pulak kerja mana?"

"Aku kerja kat syarikat guaman kawan aku. Tolong-tolong dia sikit. Dapat la dua tiga ratus…" jawab Adly dengan penuh rasa rendah diri.

"Peguam! Not bad. Memang ada ciri-ciri la… tapi kenapa tak kerja kat company ayah kau aje?"

"Isu sensitif tu!"

"Sensitif?"

"Mak tiri aku dah hijack company ayah aku sejak dia jatuh sakit. Semua benda mak tiri aku uruskan. Ayah aku cuma bagi nasihat atas angin aje. Aku malas nak campur, apa lagi nak kerja bawah dia. Kang tak pasal-pasal jadi perang saudara pulak. Kau tau aje la, berapa kerat sangat la mak tiri baik dengan anak tiri dalam dunia ni. Sebelum jadi benda tak baik, baik aku yang kerja kat tempat lain. Lagipun aku bukan kemaruk sangat nak jadi ahli korporat. Belajar pun ambik bahagian law."

"Eh, okey la ek! Aku blah dulu. Ada meeting dengan client jap lagi. Minta contact number kau. Kut-kut boleh lepak kedai mamak ke mana-mana ke esok lusa…."

Adly dan Farriel mengeluarkan kad masing-masing. Kad nama bertukar tangan.

"Okey! Lain kali aje la kita borak panjang!"

Farriel atur langkah ke car park. Tak sampai lima langkah dia menepuk dahi. Teringat akan sesuatu. "Eh, lupa pulak! Terlanjur dah jumpa ni, aku nak ajak kau datang majlis kahwin aku."

"Kau dah kahwin? Biar betul?" Adly tersengih. Tak percaya dengan status Farriel yang dah setapak di hadapannya.

"Betul la. Ingat tak ada orang suka kat aku ke?"

"Aku tak kata, kau yang kata gitu. So, bila dan kat mana tu?"

Poket seluar diseluknya. PDA segera dikeluarkan.

Maklumat berkenaan majlis perkahwinan Farriel pantas direkodkan.

ENTAH apa mimpi Farriel aku pun tak tau. Tiba-tiba aje ajak aku makan kat hotel. Aku syak, ni kes dia nak tebus kesalahannya gara-gara kami ‘terkurung’ kat fitting room kelmarin. Mula-mula aku tolak pelawaannya. Bagi alasan nak siapkan assignment dan letih. Tapi bila tengok muka kesian dia tu, aku rasa tak sampai hati pulak. Lagipun aku malas nak masak malam ni. Bersiap ala kadar, setakat pakai baju yang bersesuaian dengan tempat yang kami nak pergi, kami pun bertolak pergi dengan keretanya.

Tepat jam lapan malam, kami masuk dalam ruang restoran. Bila pelayan tunjukkan meja, baru la aku tahu yang Farriel awal-awal lagi dah tempah meja itu. Dan meja yang ditempah oleh Farriel agak tersorok dan terpisah dari meja-meja yang lain. Seakan mahu privasi tersendiri.

Dua jam kami di restoran itu dan sepanjang dua jam itu juga la aku dilayan dengan baik oleh Farriel. Langsung tak ada kata-kata berunsurkan perlian, sinis, double meaning atau apa-apa. Semuanya telus dan ikhlas. Kami bercerita tentang apa sahaja dalam suasana riang dilatari gesekan biola yang bergema di segenap ruang restoran. Sesekali aku tertawa bila dia melawak. Orang sekeliling yang memandang mungkin akan menyangka kami adalah pasangan bahagia.

Jam sepuluh malam, kami bertolak pulang. Kira-kira sejam kemudian kami tiba di rumah. Ketika melangkah masuk ke rumah itulah Farriel dengan tanpa diduga menghulurkan beg kertas bersaiz sederhana kepadaku.

"Apa ni?" soalku pelik.

Farriel membalas senyumanku. Entah mengapa, aku dapat merasakan kelainan pada diri Farriel malam ni.

"Aku nak kau pakai. Dan datang ke bilik aku," katanya.

Hah? Pakai? Masalahnya apa yang ada dalam beg kertas ni? Kostum Superman? Ultraman? Entah-entah kostum badut tak! Tak tergamak aku nak pakai!

"Ad, dalam masa tiga puluh saat aku nak kau ada dalam bilik aku!" ujar Farriel yang dah berdiri kat tengah-tengah anak tangga.

Lawak apakah ini? Langkah kuhayun juga ke bilik. Isi beg aku lambakkan. Menganga mulutku. Biar betul?! Gaun biru laut bercorak abstrak separas lutut, siap dengan satu set accessories lagi; subang, rantai dan rantai tangan. Ei, mesti mahal ni! Takkan macam ni sekali gaya dia nak pujuk aku. Aku bukan merajuk pun. Cuma marah sikit aje sebab kepanasan duduk dalam fitting room yang sempit tu.
Rasa-rasanya, masa aku membebel minta ‘ganti rugi’, paling teruk pun aku minta dibelanja makan aje. Takde la sampai tahap beli benda-benda macam ni. Ei, sah demam dah Si Farriel ni! Ke entah-entah ni barang dia nak bagi Marina tapi terbagi kat aku? Haru betul angau mamat ni!

"Ad! Dah siap ke belum?!" jerit Farriel dari luar.

"Aaa… kejap, kejap!"

Tombol pintu aku tekan. Mengunci dari dalam. Karang dibuatnya Farriel meroyan buka pintu, tak pasal-pasal aje dia tengok ‘wayang’ free. Gaun itu segera aku ambil dan pakai. Begitu juga dengan accessories yang ada. Imej di cermin aku pandang. Okey, tapi macam ada yang kureng…

hah, mata! Eyeshadow warna sedondon dengan baju dan maskara aku kenakan. Sedikit blusher dan lipstick. Setelah memastikan penampilanku tak keterlaluan, aku menapak ke bilik Farriel. Dalam pada tu, aku cuba meneka apa ‘tugasan’ yang ingin diberikan padaku.

Lagu I’ll Be nyanyian Goo Goo Dolls menampar ruang dengar sebaik sahaja pintu biliknya dibuka. Tubuh Farriel kucari. Kiri, kanan, tak ada. Memandang pula ke luar, di balkoni rupanya. Pantas kujejaki Farriel di situ. Berdiri di sisinya yang lengkap bertuxedo. Macam nak pergi majlis formal pulak. Bezanya, majlis diadakan di rumah dan aku pakai baju paling sempoi tanpa tudung di kepala. Hmmm…
sesuatu yang tak pernah aku lakukan sebelum ini. Dan seperti dirinya, aku juga menegadah ke langit. Memandang ke arah bulan yang mengambang penuh; dikelilingi beratus juta bintang-bintang.

"Kau ingat tak, kau pernah kata kat aku. Orang yang memandang ke arah bulan dan bintang tanpa orang tersayang di sisi atau dalam hati adalah orang yang paling sunyi di dunia," ujar Farriel tenang tanpa menoleh ke arah Ad.

Dia ingat? Kata-kata tu aku lafazkan lapan tahun lalu. Tak sangka dia masih ingat! Falsafah zaman budak-budakku itu masih utuh dalam ingatannya.

"Kau ingat lagi?" soalku penuh taajub.

Mustahil aku lupa, Ad! Segalanya tentang diri kau aku ingat. Semacam ada satu ruang khas bagi diri kau dalam kotak memori aku ni.

"Hmmm… bila dengar kau cakap macam tu, memang aku rasa nak tergelak. Tapi bila fikir-fikir balik, ada juga kebenarannya," jawab Farriel.

Tapi aku tak rasa falsafah masa aku umur lima belas tahun tu tak boleh diguna pakai saat ini. Kau ada di sebelah aku sekarang, malah kau juga merajai hati aku. Tapi, aku tetap merasakan bahawa akulah orang yang paling sunyi dan sedih di dunia ini. Sebab aku bertepuk sebelah tangan, sebab aku tak membawa sebarang makna pada diri kau.

Farriel mengalih pandang. Dari dada langit ke arahku. Kami bertentangan mata. Mulut terkunci rapat. Hanya mata kami ‘berkata-kata’.

Farriel teruja melihat sepasang mata Ad yang bersinar-sinar di bawah cahaya rembulan. Sungguh, dia tidak dapat memikirkan mana-mana wanita yang dapat menandingi kecantikan Ad pada malam ini. Tiada sesiapa walaupun Marina Irriani atau mana-mana Miss Universe dapat menandingi kecantikan Ad.

Ad, kenapa ‘rasa’ ini semakin kuat tatkala bersama kau? Kenapa mudah benar kau masuk dan curi hatiku, cintaku?

Entah mengapa, aku terasa seperti ada ruang ‘reserved’ dalam diri Farriel untuk aku malam ini. Ruang yang membolehkan aku ‘masuk’ ke dalam hatinya. Ruang untuk aku lebih mengenalinya.
Kalau masa boleh dihentikan, biarlah ia berhenti ketika ini. Ketika aku dan Farriel bertentangan mata… ketika aku merasakan yang Farriel juga mempunyai rasa cinta yang sama sepertiku.
"Kau nampak cantik malam ni…" pujinya antara dengar tak dengar.

Ghau! Naik darah merah ke pipiku. Walaupun aku tak pasti ikhlas ke tidak pujiannya itu. Tapi aku benar-benar dapat merasakan keikhlasannya pada malam ini. Dan pujian

Farriel aku terima dengan hati yang girang. Senyuman paling manis aku ukirkan buatnya.

"Benda ni bunyi macam bodoh sikit tapi… kau sudi tak menari dengan aku? Kalau kau tak nak, aku tak paksa. Mesti kau kutuk aku dalam hati, kan? Ye la, mesti kau fikir permintaan bawah tanah apa la yang aku buat ni? Tak pun kau ingat aku ni terlebih minum fat burner ke apa.…"

Aku tersenyum mendengar Farriel menceceh. Sebelum dia bertukar jadi mak nenek, jari telunjuk aku letakkan di bibirnya. Menghentikan bebelannya.

Farriel tersentak. Serta-merta kata-katanya terhenti di situ. Mukanya merah. Mungkin menahan malu.

"Aku tak kutuk kau… malah aku sudi menari dengan kau."

Menganga mulut Farriel mendengar jawapanku. Namun dia cepat-cepat katup mulut dan menghulurkan tangan kanannya.

Aku letakkan jari-jemariku dalam genggamannya.

"Tapi aku nak beritahu sesuatu…."

Farriel pandang mataku. Bertanya dengan hanya sepasang anak matanya.

"Aku tak pandai menari! Langsung tak pandai. Tapi aku pernah tengok filem Sayang… You Can Dance! Mungkin boleh membantu? Boleh ke?"

Farriel ketawa kecil. Berirama indah kedengaran di cuping telingaku. Ah…! Apa jua yang berkenaan Farriel malam ini memang elok dan indah sahaja pada pandanganku.

Ad… Ad… dalam pada nak wujudkan suasana romantik ni, kau sempat lagi buat lawak tahap anak cipan! So cute!

"Takpe. Aku pun bukan pandai sangat. Kau ikut aje step aku. Slow dance adalah tarian yang paling mudah. Mesti kau cepat pick-up punya!" ujar Farriel penuh yakin.

Tapi keyakinan aku sifar. Aku memang la tak berseni orangnya. Badan kayu, urat dawai, kepala batu, hati besi… he he he!

Aku cuba menghayun badan seiring dengan Farriel dan muzik yang bergema. Tapi perkara yang mudah bagi Farriel memang sesuatu yang payah bagi aku.

"Ouch! Ad!"

"Adoi! Ad kaki aku!"

"Ad, jangan la buka langkah besar sangat!"

Aku berhenti menari. Tangan kualih dari tubuhnya. Berpeluk tubuh dengan muncung angsa di hadapannya. Lagu I’ll Be versi Goo Goo Dolls berputar entah untuk kali keberapa di speaker yang disambung ke laptop. Masa tu la aku terasa ada dejavu dalam perbuatan yang kami sedang lakukan ni.

"Malas la nak join idea tiga suku kau ni! Dah la memang obviously tiru scene dalam cite Aa+bB Si Hlovate tu. Dengan lagu-lagu sekali kau copycat! Langsung tak ada originality!" rungutku.

"Okey, memang aku tiru scene dalam buku tu. Tu pun sebab kau kemaruk sangat dengan Benz Alif dan Addin dalam cerita tu. So, aku cuba la buat dalam versi Ad dan Izumi pulak!" terangnya bersungguh.

"Lagipun, aku tak tau macam mana nak minta maaf dari kau, pasal kejadian kat butik tu…" sambungnya perlahan.
Ooo… ni kes nak minta maaf la, ek? Aku garu dagu

yang tak gatal. Play along aje la… don’t ruin the moment, bisik hati kecil.

"Pasal kejadian kat butik tu, aku dah maafkan. Tapi pasal menari ni, memang aku tak boleh handle. Sebab aku memang kayu… aku…"

Giliran Farriel pula ‘mendiamkan’ aku dengan jari telunjuknya yang runcing. Serta-merta pandangan kami bertaut. Tanganku diraihnya semula dan diletakkan di pangkal lehernya.

"Just let the eyes contact and flow with the music. Learn and dance by your heart. Don’t think…" bisiknya di tepi telingaku.

Lagu I’ll Be berlalu pergi. Diganti pula dengan You And Me dari Lifehouse. Dan kali ini, dengan mudahnya aku dapat menari. Dengan hanya memandang ke arah anak mata Farriel, aku dapat membaca gerak kaki kami di bahagian bawah.

What day is it?

And in what month?

This clock never seemed so alive

I can’t keep up and I can’t back down

I’ve been losing so much time…

Suara serak-serak basah sang penyanyi menyelinap masuk ke telinga. Dengan hanya memandang ke anak matanya, aku lupa tentang segala-galanya. Yang ada cuma aku dan dia. Dan ada rasa aneh menghangatkan tubuhku dari kedinginan malam. Apa yang aku rasakan kini tidak dapat digambarkan dalam apa jua bentuk kata-kata….

Dengan jarak wajah lebih kurang empat inci, walaupun kepalaku sedikit terdongak memandang ke arah wajahnya, jelas di pandanganku sinar cinta di matanya. Aku jadi terkeliru. Cinta di matanya untuk siapa? Aku atau Marina? Sapa yang terkeliru sekarang ni? Aku yang terkeliru mentafsir cinta Farriel atau Farriel yang terkeliru dengan siapa dia menari sekarang?

‘Cause it’s you and me

And all of the peole with nothing to do

Nothing to lose

And it’s you and me and all other people

And I don’t know why

I can’t keep my eyes off of you

Farriel enggan membenarkan kelopak matanya berkelip sama sekali; walaupun perbuatan itu cuma memakan masa kurang sesaat. Dia mahu matanya terus dijamu dengan wajah Ad yang disinari cahaya bulan. Dan pemandangan yang terindah di dunia cuma kelihatan di dalam anak mata Ad. Sungguh… aku dah jatuh cinta pada Adrianna Mayesa. Dan perasaan itu lebih dalam dari apa yang pernah aku rasakan ketika bersama Ann dan Marina.

One of the things that I want to say just aren’t coming out right

I’m tripping on words

You’ve got my head spinning

I don’t know where to go from here

Dan segala perkataan dan bahasa yang wujud di dunia seolah-olah tenggelam bersama-sama tarian mereka yang semakin lancar dan mengasyikkan. Sungguh, tiada satu apa pun yang melintas di fikirannya kini. Ad membuatkan dia lupa akan segala-galanya. Hanya Ad yang bisa berbuat begini kepadanya… Hanya Ad!

There’s something about you now

I can’t quite figure out

Everthing she does is beautiful

Everything she does is right

Dan tatkala Ad tersenyum dengan sepasang anak matanya yang bundar, hampir-hampir sahaja Farriel mengucup kedua-dua belah kelopak mata Ad dek keterujaannya dengan ciptaan Allah itu. Mujur irama lagu yang berhenti turut menghentikan tarian mereka.

Lagu You and Me dendangan Lifehouse berakhir. Tarian kami turut berakhir. Kedua-dua tangan kualihkan dari tubuh Farriel. Begitu juga dengan Farriel. Kami tegak berdiri menghadap sesama sendiri. Cuma memandang, merenung dan menatap wajah masing-masing tanpa sebarang kata.

Jika tadi kami seumpama sepasang penari yang begitu rapat sehingga boleh membaca langkah pasangan kami, tapi kini kami tak ubah seperti orang asing yang sekadar berpapasan di kaki lima. Langsung tidak mengenali apatah lagi berkongsi apa jua perkara.

Dia, Tengku Farriel Izumi. Ditubuhnya mengalir darah kerabat diraja. Anak salah seorang ahli perniagaan tersohor di Malaysia.


Aku cuma Adrianna Mayesa. Anak yatim piatu yang tak tahu asal-usul. Cuma punya ibu agar tak disalah sangka sebagai anak buluh betong. Berbintikan Ismail al-Hussein yang entah siapa orangnya atau entah macam mana rupanya. Namun seribu kesyukuran aku panjatkan kepada Ilahi. Sekurang-kurangnya aku berbapa. Bukan anak luar nikah. Walaupun tidak pernah sekali aku melihat wajahnya.

Latar muzik berganti dengan lagu-lagu dari kelompok seberang. Vokalis Republik mendendangkan lagu Hanya Ingin Kau Tahu dalam nada yang mendayu menjadikan suasana semakin sayu. Cahaya cinta di mata Farriel semakin pudar. Entah mengapa, aku dapat merasakan ini merupakan kali terakhir aku dan Farriel dapat berduaan begini. Entah mengapa, aku merasakan yang selepas ini hubungan kami akan bertambah renggang walaupun kami bakal digandingkan dalam majlis resepsi lusa. Entah mengapa…
Ku telah miliki

Rasa indahnya perihku

Rasa hancurnya harapku

Kau lepas cintaku

Kami sekadar berpandangan. Ada rasa sayu menerpa masuk di kamar hatiku. Wajah ini, wajah Farriel ini serasanya telah lama bersemadi di dalam jiwaku. Jika benar dia bukan ditakdirkan untukku, bisakah aku melupakannya kelak?

Rasakan abadi

Sekalipun kau mengerti

Sekalipun kau fahami

Ku fikir ku salah mengertimu…

Ad… sengaja aku ciptakan kenangan manis bersama kau malam ini kerana malam ini akan kukenang untuk seumur hidupku. Malam yang cuma dikongsi oleh kau dan aku. Malam yang mana aku, lelaki yang gagah perkasa tertunduk lemah dek kerana panahan matamu. Malam yang menyaksikan betapa terlewatnya aku mentafsirkan rasa hatiku sehingga kau ‘terlepas’ ke tangan Ihsan. Dan dengan kenangan yang ada ini, aku akan mengumpul kekuatan untuk berhadapan dengan kaum kerabatku. Aku akan bebaskan kau dari ‘penjara’ perkahwinan kontrak ini agar kau boleh hidup dengan lelaki yang kau cintai….

"Aku balik bilik dulu…" ujarku perlahan bila Farriel langsung tak berkutik dari tempatnya berdiri.

Dengan berat hati, kualihkan jua anak mata dari terus mengamatinya. Berharap ingatanku akan cukup kuat untuk terus mengingati wajahnya seandainya kami berpisah kelak. Ya Allah, berat sungguh dugaan ini….

Ooo… aku hanya ingin kau tahu

Besarnya cintaku

Tingginya khayalku bersamamu…

"Okey…" balasnya.

Aku palingkan tubuh darinya. Titisan jernih itu, entah bila bertakungnya, tau-tau aje dah jatuh ke pipi. Belakang tangan kuangkat. Pura-pura menggosok mata disertai gaya menguap; tanda mengantuk. Aku tak mahu dia tahu aku menangis. Biarlah aku ‘dibuang’ dengan cara


terhormat. Biarlah dia anggap aku langsung tiada perasaan padanya. Itu lebih mudah.

Walaupun semua

Hanya ada dalam mimpiku

Hanya ada dalam anganku

Melewati hidup…

Rasanya mahu sahaja aku melaungkan kalimah cinta saat ini kepadanya. Agar dia tahu bahawa aku menyintainya. Agar dia tahu aku tak mahu dia mengahwini Marina yang tak stabil cintanya, yang berubah-ubah cintanya. Serasanya ingin sahaja aku merayu agar dia menyintaiku dan melupakan Marina. Kenapa? Kenapa dia tak boleh mencintai aku?

Panggillah aku Farriel… panggillah. Katakan kau mencintai aku. Katakan kau perlukan aku. Katakan kau tak mahu berkahwin dengan Marina. Katakan la Farriel….

"Ad…."

Aku tersentak. Langkahku mati. Air mata yang tadinya bertali arus, pegun di tubir mata. Aku cuma memandang pintu kayu dengan pandangan kosong. Langsung tak menoleh. Atau lebih tepat aku takut untuk menoleh. Takut diejek kerana menangis. Menangis kerana aku sudah kalah dalam permainan kahwin kontrak ini.

"Ad… selamat malam…."

Laju semula air mataku menuruni pipi. Jangan bermimpi, Adry. Mana mungkin enggang bergandingan dengan pipit! Ini bukan zaman fairytale lagi! Tak semua kisah cinta berakhir dengan happy ending.


Langkah kuatur kembali ke pintu bilik. Melekat tapak tangan di tombol pintu. Entah kenapa payah benar aku nak memulas tombol itu malam ini. "Iz…."

"Huh?"

"Bila kau dah bersedia nak beritahu keluarga kau tentang Marina dan perkahwinan kontrak kita, tolong beritahu aku. Aku nak pergi, tinggalkan tempat ni sebelum semua benda tu jadi… sebab aku tak tau macam mana nak berhadapan dengan semua orang bila perkara sebenar dah terbongkar. Sebab aku tak tahu macam mana nak berhadapan dengan wajah kecewa nenda, Hana dan yang lain-lain. Dan yang paling penting, bagaimana nak berhadapan dengan kau bila kita dah bercerai nanti."

"Kalau itu permintaan kau, aku… aku akan turutkan…" jawab Farriel dengan suara yang serak.

Namun aku dah tak mampu berfikir mengapa suaranya jadi sebegitu. Aku lebih kepada memujuk hatiku yang lara.

Tombol pintu aku pulas dengan segenap kudrat yang tersisa. Longlai langkah kuhayun keluar dari situ.

Ooo… aku hanya ingin kau tahu

Besarnya cintaku

Tingginya khayalku bersamamu…

Daun pintu aku tutup rapat. Seperti tertutup rapatnya hati Farriel terhadapku.

Iz… aku cintakan kau… terlalu cintakan kau.

Di balik pintu, Farriel masih pegun berdiri di tempatnya.

Memandang kosong ke arah daun pintu yang tertutup rapat.

Ooo… Aku hanya ingin kau tahu

Besarnya cintaku

Tingginya khayalku bersamamu…

Ad… aku cintakan kau. Kalaulah kau tahu.…

0 comments:

Post a Comment