Ad + Iz

Karya Dari Eury Athena

APA KATA HEROIN?


"Kau bercakap senang la, Qhuz. Aku yang menanggung ni yang rasa sengsaranya. Aku tak sanggup nak lukakan hati orang. Aku juga tak sangup nak lukakan hati sendiri. Benda-benda berkaitan hati dan perasaan ni bukannya boleh ditentukan dengan teori buku. Ia rumit, abstrak, di luar kemampuan…."

APA KATA HERO?



"Adry, kenapa bukan aku? Kenapa Farriel yang berhati batu tu yang jadi suami kau?" keluhnya.

Ad + Iz - Bab 17

Bab 17

SETELAH sekian lama tak menjejakkan kaki ke situ, malam itu digagahi juga kaki ke kelab malam yang menjadi pilihan golongan VVIP itu. Niatnya cuma satu. Nak melepaskan tekanan yang menyesakkan kepalanya sejak balik dari bertemu Adry siang tadi. Dengan pakaian formal seperti ingin ke pejabat, dia duduk berteleku di salah sebuah meja di situ. Coke dalam gelas disedut perlahan-lahan. Kepala didongakkan. Memandang ke segenap ruang yang dipenuhi manusia-manusia yang dahagakan hiburan duniawi.

Anak-anak muda terkinja-kinja sana sini di bawah lampu berwarna yang malap sinarnya, seiring dengan irama lagu yang dimainkan. Beberapa orang gadis cuba menghampiri dan berbual dengannya.
"Dah lama I tak nampak you kat sini. Ke you dah ada port baru? Boleh I join you minum?" soal gadis berbangsa Tionghua yang hanya memakai tube dan skirt singkat itu.

Ihsan senyum segaris. Tubuh dijarakkan dari gadis


seksi itu. Rimas dengan perlakuan gadis yang terliang-liuk tubuhnya itu. Dia langsung tak ingat namanya. Dia cuma tahu yang dia pernah bertemu gadis Tionghua itu beberapa kali di sini. "I banyak kerja. If you don’t mind, I’d like to be alone tonight."

Pantas dia menolak dengan lembut ajakan gadis itu.

"Okay, but if you need my companion, I’ll be there."

Ihsan sekadar mengangguk.

Gadis itu berlalu.

Ihsan tarik nafas lega. Kad jemputan yang dihulurkan oleh Adrianna siang tadi, dikeluarkan dari kocek baju.

"Kalau tak sibuk, jemput la datang…."

Hatinya sakit dan terluka. Seumpama belati menusuk terus ke hatinya tatkala kata-kata itu diluahkan oleh Adry. Kad bertulisan keemasan itu ditatap buat kesekian kalinya. Berharap bukan nama Tengku Farriel Izumi yang tertera di atas nama Adry tetapi namanya, Tengku Ihsan Nur Qayyum.

"Adry, kenapa bukan aku? Kenapa Farriel yang berhati batu tu yang jadi suami kau?" keluhnya.

Pandangan dibuangkan secara rawak ke sekitar ruang kelab semula. Dan pandangannya jatuh pada seorang gadis kacukan yang bersendirian di mejanya. Sekadar memandang sekeliling dengan wajah masam. Pandangannya jauh tanpa arah. Seolah-olah memikirkan sesuatu perkara yang maha berat. Ihsan bangun dari tempatnya. Menghampiri si gadis.

"Hai, Marina! Sorang aje ke?" tegur Ihsan.


Marina yang ketika itu berada di dalam dunianya sendiri terkejut sebelum mengukir senyuman bila menyedari gerangan yang menegur. "Ihsan! What a pleasure to see you here!"

Marina bangun. Mengucup kedua-dua belah pipi Ihsan; cara menyapa gaya masyarakat di Barat.

Ihsan tersenyum manis. Mengenali Marina beberapa tahun dahulu membuatkan dia langsung tidak terkejut dengan tingkah lakunya. Apatah lagi dia sudah biasa melihat perlakuan sebegitu ketika menuntut dahulu. Cuma sesuatu yang baru diketahui beberapa bulan dahulu adalah kedudukan Marina di dalam hati sepupunya, Farriel. Ihsan duduk sebaik sahaja dipelawa dengan mesra oleh Marina.

"I tak tau you pun lepak sini… I selalu juga datang tapi tak pernah pulak nampak you!" kata Marina dalam nada terkejut.

"I used to hang around here. Sekarang busy!"

"Ye la tu. You memang busy memanjang! Awek sana-sini. Mana lekat kat satu tempat," gurau Marina.

Ihsan tersenyum. Tunduk, mengakui bad habitnya yang lalu.

"So, you ni sorang aje ke? Boyfriend mana?" soal Ihsan. Entah mengapa dia langsung tak ingin bercerita bahawa Farriel itu sepupunya. Pada Marina, dia cuma sekadar rakan sekerja Farriel. Bukan bersaudara.

"Boyfriend I, Si Farriel tu mana nak lepak tempat-tempat macam ni. Dia tu ‘ustaz’ sikit. But, I love him. You know what, kami nak kahwin tau tak lama lagi. I can’t wait to be his wife! The one and only wife of Tengku Farriel Izumi!" ujar Marina dalam keterujaan.


Ihsan mengetap gigi. Nampak sangat yang Marina tak tahu status terkini Farriel.

Farriel, apa kau dah buat? Hidup-hidup kau tipu minah separa omputih ni!

"But lately I pelik la… Farriel tu asyik berangan aje. His mind seems wandering around. Tak tau la fikir pasal apa. You guys kerja satu ofis, kan? Ada problem ke kat ofis?" soal Marina ingin tahu.
Ihsan cuma diam. Dalam dirinya berperang; sama ada perlu atau tidak bercerita tentang perkara sebenar kepada Marina. "Marina, I think you need to know something."

Ihsan bersandar di kerusi. Dia kelihatan relaks namun cukup bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku sebentar nanti; ketika pekung Farriel telah dibuka.

"I need to know what, Ihsan?" Marina mula cuak melihat wajah dan nada suara Ihsan yang berubah menjadi serius tiba-tiba.

Ihsan mengunjukkan kad itu kepada Marina.

Marina kerut dahi. "Apa ni?"

"Kad jemputan kahwin."

"Huh? You nak ajak I temankan you ke? You tau kan, I bukan minat sangat nak pergi majlis kahwin macam ni. Kalau party, clubbing tu, I minat la!"

"Cuba tengok dulu. I pasti you akan ber‘minat’ untuk menghadiri majlis ni sebaik sahaja you tengok nama pengantinnya," desak Ihsan.

Nak tak nak, kad warna pink itu disambutnya. Dalam cahaya samar-samar, dibacanya satu per satu perkataan yang tertera di situ. "Majlis perkahwinan… Tengku… Farriel Izumi?!"


Ada jeritan kecil terlahir di hujung ayatnya. Buntang matanya sebaik sahaja menyedari nama Farriel tertera di situ. Berkali-kali dia membaca, cuba memastikan apa yang dibacanya sebentar tadi itu betul. Bukan khayalan.

"What kind of joke is this, Ihsan?" Tinggi suara Maria menyoal.

Ihsan tarik dan hembus nafas perlahan-lahan.

"Farriel tipu you selama ni. Dia dah kahwin on the day you left him, which means six to seven months ago. Ni cuma majlis resepsi aje, majlis nak kenalkan isterinya kepada saudara-mara dan kawan-kawan. He is cheated on you selama ni," terang Ihsan.

Marina menggeleng-gelengkan kepalanya. Seakan-akan enggan menerima hakikat itu dari mulut Ihsan. Badannya menggeletar akibat menanggung kemarahan yang memuncak. Kini dia mulai tahu sebab Farriel berubah laku sejak kebelakangan ini.

Patut la bukan main payah lagi nak bertemu. Patut la Farriel selalu berangan bila bersama dengannya. How could you do this to me, Farriel? Tapi, kenapa dia ajak aku kahwin? Pelik!

"Ihsan, you ni saje nak mainkan I, kan? Come on la, quit pulling my leg! Tak baik ‘kenakan’ majikan you sampai macam ni sekali!" desak Marina.

"I tak main-main, Marina. I tak dapat apa pun kalau I mainkan you. For your information, Farriel tu sepupu I. Dan Adrianna Mayesa yang kahwin dengan Farriel tu cinta hati I… I want her so badly to be my wife! But Farriel yang double-triple-player tu dah sambar dia dulu," kata Ihsan.

Marina pegang kepala. Tertekan dengan kenyataan yang dihidangkan padanya malam ni.


"Kalau Farriel dah kahwin, then why dia pujuk I balik ke Malaysia? Keluar dengan I, ajak I kahwin… tak masuk akal la!"

"Diorang kahwin atas permintaan nenek I, I mean nenek Farriel juga la. Kira macam kahwin paksa. There’s no spark of love at all!" Tegas Ihsan.

Marina picit kepala lagi. Masih cuba mencerna informasi yang didengar. "Then apa suggestion you? Apa I patut buat? I want my Farriel back!"
"Kita buat plan. Kita ‘pisah’kan mereka!"

Mata Ihsan dan Marina bersinar-sinar dalam kesamaran cahaya.

"HAI!"

Aku segera panggung kepala ke arah orang yang menegur. Senior Adly? Senior Adly tersenyum lebar memandangku. Aku cari Farah di belakangnya. Tak ada. Aik, selalu ada aje minah tu mengendeng kat abang tirinya ni. Hari ni ghaib pulak?

"Hai, Senior Adly," balasku lambat-lambat.

Aku sedikit terkejut bila Senior Adly tanpa amaran duduk di hadapanku. Tapi aku cuba berlagak biasa. Ni tempat awam. Sesiapa boleh duduk. Minuman panas berkafein diletakkan di atas meja yang sebelum ini cuma ada setengah gelas carrot susu kepunyaanku.

Aku pandang Senior Adly. Senior Adly masih tersenyum manis. Seperti ada yang melucukan urat gelaknya. Memandang wajah putih bersih Senior Adly membuatkan aku jadi tenang. Wajah orang beriman yang sentiasa basah dengan air wuduk. Terasa hilang segala masalah yang aku seret dari rumah.

"Adry, saya bukan lagi senior awak macam zaman kita sekolah dulu. So, why don’t you call me Abang Adly, instead of Senior Adly? Tak la tergeliat lidah tu…" kata Senior Adly dalam senyumnya.

Aku tersengih. Mengakui kenyataan itu dalam diam. Betul la tu, Senior Adly bukan senior aku lagi. Tapi seumur hidup aku, aku tak pernah panggil sesiapa dengan panggilan abang. Dan aku tak ada feel langsung nak panggil dia ‘abang’. Bukan ibu aku yang lahirkan dia pun! Kalau panggil Encik Adly nanti rasa macam formal sangat pulak! Abang? Brrr!!! Seram sejuk nak panggil orang macam tu!
"Aaa… Farah mana?" soalku pantas. Mengalih topik.

"Farah? Entah! Ada dalam kelas la kut."

"Senior Adly datang bukan sebab Farah ke?"

Setahu aku, Senior Adly selalu jejak ke kampus ni sebab kes-kes yang Si Farah buat. Masalah disiplin la, meniru masa test la, tak hormat lecturers la. Kadang-kadang aku terfikir juga, buat apa la hantar Si Farah yang memang dengan jelas tak payah bersuluh tak minat belajar tu ke kampus? Baik bagi aje tempat dia pada budak-budak yang ditolak permohonannya tapi minat nak belajar kat luar sana tu.

"Eh, tak la! Saya datang sebab nak jumpa awak."

Ghau!

Degup jantung dah ‘lari’ dua kali ganda. Kalau hari-hari macam ni, alamatnya pendek la umur aku. Oit senior, kut nak bergurau pun agak-agak la! Aku ni dah kahwin la.…


"Senior ni suka bergurau la!" Aku balas katanya dalam nada bercanda supaya tak rasa kekok sangat.

"Ler…saya serius! Mana ada bergurau. Dah biasa sangat borak-borak dengan Adry tiap-tiap kali datang sini. Bila Farah tak buat hal lagi, tak dapat datang sini dan tak dapat jumpa Adry. Masa tu rasa macam ‘kehilangan’ pulak. So, hari ni saya datang cari Adry la.…"

Aku garu kulit kepala bawah tudung. Aku rasa, masa zaman sekolah dulu, Senior Adly ni serius orangnya. Tak pandai bergurau. Kalau belakang aku tu, aku kurang periksa la. Setidak-tidaknya di hadapan aku begitu la perwatakannya; serius. Maka, kata-katanya tadi dalam klasifikasi bergurau ke serius? Ah… otak dah jam nak fikir!

"Oui… Adry! Fikir apa tu?"

"Aaa…? Tak ada. Tengah fikir kenapa Senior Adly cari saya."

"Sebab saya rindu. Full stop!"

Kening terangkat. Rindu? Biar betul Senior Adly ni!

Senior Adly tersengih mengejek. "Gurau aje la! Tapi awak ni kalau blushing cute juga, ek? Macam zaman sekolah dulu! Gadis yang garang, degil tapi kiut-miut… he he he…."

"Senior ni makin lama makin pandai mengusik pulak! Dulu serius memanjang!" komenku.

"Dulu jadi headboy. Kena la tunjuk tauladan baik sikit. Sekarang dah tak lagi…."

Bila dengar perkataan ‘gurau’ lahir dari mulutnya tadi, automatik aku jadi lega. Aku tak nak jadi heart breaker lagi. Cukup la seorang tu aje, Si Ihsan. Eh, cakap pasal Ihsan ni, tak nampak pula batang hidung dia hari ni. Sibuk gamaknya….


"Sebenarnya saya nak tanya sesuatu pada awak. Awak memang tinggal kat KL, kan?"
Riak muka Senior Adly kembali serius.

"Haah. Kenapa?"

"Saya tengah cari orang. Tapi orang ni kali terakhir dilihat kat Shah Alam…" ujarnya tanpa berselindung.

"Cari orang?"

"Haah. Kenal tak seorang perempuan, umur lebih kurang baya-baya mak kita la, yang namanya Rabitah binti Sulaiman?"

Rabitah binti Sulaiman. Siapa? Macam tak pernah dengar aje…. "Rasanya tak kenal la. Klang tu besar la, senior. Tak ada clue lain ke? Kalau cari dengan sebaris nama aje susah la…."

"Susah nak kata la… mak cik ni dah lama hilang. Ghaib macam tu aje. Langsung tak ada jejak. Tak tau dia ke mana…."

Wajah Senior Adly murung. Langsung tak ceria seperti tadi. Seolah-olah ‘mak cik’ yang dicarinya itu penting dalam hidupnya. Fikirannya menerawang ke alamnya sendiri.

"Siapa sebenarnya yang Senior Adly nak cari?" soalku tanpa dapat ditahan-tahan.

Senior Adly yang aku kenal memang serius tapi ceria sentiasa. Tak semurung ini.

"Tak apa la. Saya sepatutnya tak menaruh harapan terlalu tinggi untuk bertemu dengannya lagi. Dah terlalu lama. Mungkin dia pun dah tak ada…." Senior Adly cuba melarik senyuman. Tapi hambar.

"Macam ni la… nanti saya cuba tanyakan jiran-jiran ke kawan-kawan ke. Ye la… mana la tahu kalau-kalau mereka


kenal dengan mak cik tu. Nanti kalau ada apa-apa berita, saya akan beritahu senior… boleh?"

Tanpa sedar aku menuturkan ayat itu. Tapi aku sedikit pun tidak menyesal kerana aku sudah berjanji dengan diri sendiri untuk membantu Senior Adly. Bukan hanya kerana aku terhutang budi dengannya kerana dia pernah menjadi penyelamat di zaman sekolahku, tetapi juga kerana ada ikatan hati yang tak jelas dan tak kufahami antara aku dan dia. Sesuatu yang mendekatkan kami. Aku merasakannya sejak pertama kali bersua dengannya. Dia… aku tak pasti la.

Mendung yang sebentar tadi melanda wajah Senior Adly sudah berlalu pergi. Diganti dengan senyuman penuh harapan. "Ye ke?"

Aku tersenyum dan angguk kepala.

"Terima kasih, Adry. Awak memang junior saya yang paling ‘best’!"

"Tau takpe…!"

TENGKU FARIS menyelak satu per satu fail-fail yang bertimbun di mejanya. Setiap butiran ditelitinya. Bukan dia tak punya pembantu, cuma dia sukar memberi kepercayaan kepada orang bawahannya. Hatta hasil kerja anaknya, Farriel dan anak saudaranya, Ihsan juga dipantaunya dari semasa ke semasa.

"Tengku, Encik Yusman nak berjumpa dengan tengku."

Suara lemah gemalai si setiausaha di interkom menghentikan pembacaan Tengku Faris.

"Suruh dia masuk," arah Tengku Faris pantas.


Tak sampai lima saat, pintu bilik diketuk.

Tengku Faris mengarah si pengetuk pintu masuk.

Lelaki berbadan tegap dan sasa serta berwajah serius itu berdiri bertentangan dengannya.

"Macam mana?" soal Tengku Faris. Cermin mata dialihkan dari batang hidung. Mata dipejam celik beberapa kali sebelum digosok perlahan. Menghilangkan tekanan setelah dua jam menilik dan membaca dokumen-dokumen di atas mejanya.

"Saya dah dapat butiran bagi kedua-duanya," tegas jawapannya.

Yusman duduk setelah diarahkan oleh Tengku Faris. Dua fail diserahkan kepada Tengku Faris.

Tengku Faris menyambut fail merah tersebut. Cermin mata kembali diletakkan ke tempat asal. Menyelak dan meneliti hasil siasatan pembantu peribadinya. Pembantu yang banyak berjasa dalam menyelesaikan urusan-urusan yang berkaitan syarikat dan juga keluarganya.

"Perempuan yang Tengku nampak berpelukan dengan Tengku Farriel hari tu adalah Marina Irriani binti Joseph Abdullah. Ayahnya Serani dari Selangor. Berkahwin dengan Katherine Graham. Mereka seterusnya memeluk Islam. Setahun selepas itu, Marina Irriani dilahirkan."

Tanpa dipinta Yusman menerangkan satu per satu butiran mengenai Marina.

Tengku Faris mengangguk-anggukkan kepala seraya menyelak isi kandungan fail di tangannya.

"Joseph pernah bercerai dan berkahwin semula dengan Katherine sebanyak dua kali. Semasa Marina berusia dua belas tahun, mereka berpisah tempat tinggal tetapi tidak


bercerai. Marina mengikut bapanya, tinggal dan bersekolah di Selangor. Dua tahun kemudian, bapa Marina meninggal dunia dalam satu kemalangan. Marina kemudiannya menetap di US bersama ibunya. Beberapa tahun kemudian, ibu Marina pula meninggal dunia akibat kanser serviks.

"Marina kemudiannya dijaga oleh mak ciknya, Mary. Mary bukan sahaja menjaga kebajikan Marina malah Mary juga menjaga saham-saham Marina dia syarikat pengangkutan di US dan segala aset Marina yang dianggarkan bernilai USD$1.2 juta. Dengan aset sebanyak itu Marina tak perlu bekerja sebenarnya, tapi dia bekerja sebagai pramugari untuk beberapa tahun sehinggalah dia meletakkan jawatan pada awal tahun ni."

Wajah Tengku Faris yang tadinya bersahaja kembali bersemangat sebaik sahaja mendengar jumlah aset Marina. Helaian di fail diselak rakus. "Hmmm… memang kaya! Jadi, apa hubungan dia dengan Farriel?"

"Mereka pasangan kekasih. Dah tiga tahun mereka kenal dan bercinta," jawab Yusman tenang.

"What?! Habis tu, macam mana Farriel boleh kahwin dengan Adrianna pulak?!"

Melengking suara Tengku Faris dek terkejut mendengar pernyataan Yusman tadi. Terdetik rasa terkilan di hatinya tatkala memikirkan Marina yang punya aset berjuta itulah yang sepatutnya menjadi menantunya.

Tengku Faris melonggarkan tali leher yang terasa seperti menjerut batang leher sendiri.

"Ia bermula dengan salah faham. Adrianna sebenarnya pekerja butik pakaian yang ditugaskan untuk menghantar pakaian Marina ke banglo Tengku. Tapi dia disalah sangka sebagai kekasih Tengku Farriel. Oleh kerana


Marina enggan hadir ke majlis di rumah Tengku, Tengku Farriel telah mengupah Adrianna untuk jadi pengganti Marina. Dan kemudian Tengku Farriel dan Adrianna dikahwinkan atas desakan Nenda Nerrisa."

Tengku Faris bangun dari kerusinya dan mundar-mandir di sekitar biliknya yang luas. Ralat memikirkan perkahwinan ekspres si anak. Kalau la dia tahu letak duduk perkara sebenar, dah tentu dia akan menentang habis-habisan cadangan gila mamanya pada malam itu. "Macam mana pulak dengan kisah hidup Adrianna?"

Walaupun dia tahu kisah hidup Adrianna tak se‘menarik’ kisah hidup dan aset Marina yang berjuta, namun dia tetap mahu tahu tentang latar belakang menantunya itu.

Yusman menarik nafas dalam-dalam sebelum membentangkan kisah hidup Adrianna. "Adrianna Mayesa cuma gadis biasa yang membesar dan tinggal bersama-sama keluarganya di salah satu kawasan setinggan di KL..."

"Nanti, nanti…! Tinggal dengan keluarga? Bukan ke dia tu anak yatim piatu?" pintas Tengku Faris.

"Itu tak benar, Tengku. Dia masih punya ibu iaitu Puan Midah Jaafar, bapa tiri dan adik-beradik tiri," terang Yusman.

Tengku Faris menepuk meja kuat. Wajahnya merah menahan marah. "Tak guna! Maksudnya Si Adry tu tipu kami sekeluarga. Lagi? Apa yang kamu tau tentang dia?"

"Adrianna cuma belajar setakat STPM. Sering bertukar-tukar kerja gara-gara berperangai buruk. Menurut ibunya, Adrianna ni mata duitan, suka putar belit cerita dan penipu."

Terduduk Tengku Faris mendengar. Tak disangka, menantu yang luarannya nampak polos rupa-rupanya penipu!


"Ni semua tak masuk akal! Macam mana Farriel boleh kahwin dengan orang yang macam tu? Aku tak boleh biarkan reputasi Farriel rosak dek kerana perempuan mata duitan tu! Sebelum kaum kerabat yang lain tahu, aku perlu buat sesuatu!"

Tengku Faris melempar pandangan tanpa arah. Segala-galanya nampak kabur pada pandangannya. Otaknya ligat mencari jalan penyelesaian. Dia bertekad, walau apa pun yang terjadi, Farriel yang akan menjadi pengganti dirinya untuk jawatan CEO. Bukan Ihsan atau orang lain. Dia tak sanggup melihat usaha nenek moyangnya hancur di tangan orang yang tak berkelayakan.

"Ada sesuatu lagi yang perlu Tengku tahu."

Penuh hati-hati Yusman menuturkan ayat itu. Takut disergah dek majikannya yang tampak serius memikirkan sesuatu.

"Apa dia?" soal Tengku Faris acuh tak acuh.

"Adrianna Mayesa, menantu Tengku tu adalah Adrianna Mayesa yang sama yang pernah kita hantar ke sekolah Tengku Farriel…."

Tengku Faris ternganga. Wajah Yusman dipandang tepat.

Yusman menganggukkan kepalanya dengan yakin.

Tengku Faris tersenyum. Kemudian senyumannya bertukar menjadi ketawa. Dia sudah nampak jalan penyelesaian terhadap masalah tadi.

0 comments:

Post a Comment