Ad + Iz

Karya Dari Eury Athena

APA KATA HEROIN?


"Kau bercakap senang la, Qhuz. Aku yang menanggung ni yang rasa sengsaranya. Aku tak sanggup nak lukakan hati orang. Aku juga tak sangup nak lukakan hati sendiri. Benda-benda berkaitan hati dan perasaan ni bukannya boleh ditentukan dengan teori buku. Ia rumit, abstrak, di luar kemampuan…."

APA KATA HERO?



"Adry, kenapa bukan aku? Kenapa Farriel yang berhati batu tu yang jadi suami kau?" keluhnya.

Ad + Iz - Bab 3

BAB 3

TEPAT enam dua puluh minit pagi, aku terjaga dari tidur. Itu pun sebab jam di sisi katil berbunyi. Entah siapa yang kunci jam tu, aku sendiri tak pasti. Yang pastinya, Farriel tak ada dalam bilik tu. Aku lap air liur yang meleleh di tepi mulut. Bila masa aku terlelap? Benda last yang aku ingat, aku dengan Farriel tengah ‘berdebat’ pasal isi-isi perjanjian perkahwinan kami.

Tangan dan kaki aku luruskan. Hampir sejam tidur menongkat dagu di sofa membuatkan kaki dan tanganku terasa kebas. Menyeringai aku tahan sakit. Aku pandang ke bawah. Masih lengkap berbaju pengantin. Badan yang melekit membuatkan aku rasa tak selesa. Aku selongkar almari baju. He he he! Buat aje macam rumah sendiri! Nampak tuala, terus aku sambar. Baju yang kupakai semasa datang ke sini semalam, aku ambil. Shower time! Lepas pastikan pintu bilik air tak boleh dibuka dari luar dan tak ada kamera tersembunyi, baru la aku confident nak mandi.

Siap mandi, aku jenguk kepala ke luar. Masih tiada orang. Fuh, selamat! Sampai di katil, aku nampak baju, seluar track bottom, tudung dan sepasang telekung atas katil. Sejadah menghadap ke kiblat pun dah siap terbentang atas lantai. Hmmm… mungkin Kak Nani! Tanpa berlengah, aku masuk bilik air balik. Tukar baju.

Selesai solat subuh, aku berteleku sebentar atas sejadah. ‘Bercakap’ dengan Penciptaku. Usai berdoa, aku turun ke tingkat bawah. Tiada sesiapa kelihatan. Satu-satunya ruang yang ‘hidup’ adalah bahagian dapur.

"Assalamualaikum…."

Seisi dapur menoleh ke arahku. Salamku disambut oleh empat orang pembantu di situ. Kak Nani menghampiriku.

"Awalnya puan bangun. Ada apa-apa yang puan nak?" soalnya.

"Apa akak ni? Berpuan-puan pulak. Panggil Adry dah la. Akak dengan yang lain-lain ni nak masak apa? Adry tolong, ek!"
Aku terus duduk di meja. Pisau bawang kucapai.

"Eh, jangan la. Nanti kalau puan besar tau, mesti dia marah," ujarnya takut-takut.

"Takpe. Kalau ‘puan besar’ tu marah, nanti saya slow talk dengan dia. Ha... lupa nak cakap, terima kasih ye kak sebab bagi pinjam baju dan telekung."
Kak Nani nampak seperti terpinga-pinga. Biasa la… orang baik dan lembut macam dia ni memang bukan jenis yang suka mengharapkan balasan. "Eh, apa pulak berterima kasih dengan akak? Bukan akak…."

Ha, tengok! Masih nak nafikan.

"Tak usah nak malu-malu la, kak. Jom, saya tolong akak-akak ni semua masak!"

Walaupun berkali-kali aku dihalau dari dapur, tapi aku tetap berkeras nak membantu. Kalau aku duduk memerap dalam bilik pun, bukan aku dapat apa-apa. Lebih baik duduk kat dapur. Dapat jugak ‘cuit-cuit’ makanan yang ada. Lapar!



TEPAT jam lapan pagi, barulah seisi keluarga Nenda Nerrisa turun ke meja makan. Agaknya kalau tak fikir perut lapar, masing-masing lebih suka mengular (tidur) atas katil. Astaghfirullahalazim… mengumpat orang pulak pagi-pagi buta ni!

Nenda Nerrisa, Tengku Faris dan Tengku Khalidah iaitu mama papa Farriel, Farriel, Tengku Makmur dan Tengku Muhainis iaitu pak long dan mak long Farriel, Tengku Ihsan a.k.a Mr. Charity, Tengku Murni Hadirah a.k.a tuan puteri cengeng yang menangis sepanjang malam tadi a.k.a adik Tengku Ihsan, dan Tengku Yuhana Ayumi (Hana) iaitu adik Farriel, mula mengambil tempat masing-masing.

Aku lebih senang membantu Kak Nani dan yang lain-lain menghidangkan makanan. Macam kekok aje nak join diorang.

"Rianna, kenapa kamu pulak buat kerja diorang? Mari kita makan sama-sama. Hana, kamu anjak ke tepi. Bagi Rianna duduk sebelah Aril," arah Nenda Nerrisa.
Aku cuma boleh mengangguk. Sempat aku pandang berpasang mata yang mengerlingku.

Hana tersenyum ke arahku. Tanpa banyak bicara, dia patuh dengan arahan Nenda Nerrisa, mengosongkan kerusi di sebelah Farriel.
Farriel tarik kerusi untukku. Alahai, romantik la pulak laki aku pagi ni!

"Behave yourself!"

Sempat dia berpesan semasa aku nak letak punggung. Huh! Romantik ada makna rupanya. Aku maintain senyum.

"Macam mana tidur malam tadi, Rianna? Okey?" soal Nenda Nerrisa.

Isk… nenda ni, aku dah cakap suruh panggil Adry aje semalam. Tapi dia nak jugak panggil aku Rianna. Tak tergeliat ke lidah dia nak sebut nama aku tu? Aku pulak tak biasa kena panggil dengan nama tu!

"Macam mana apa, nenda?" soalku dalam pada menyambut mangkuk berisi mihun goreng yang dihulurkan oleh Nenda Nerrisa.

Hana dan Nenda Nerrisa berdehem-dehem sesama sendiri. Siap gelak-gelak lagi. Takkan tekak kering serentak kut? Air oren satu jug atas meja tu, minum la.
Pembantu rumah yang tengah hidangkan sarapan pun tersenyum-senyum. Apehal pulak ni?

"Tak ada apa-apa la... bengkak mata kamu. Mata Aril pun bengkak. Korang tak tidur ke semalam?" ujar Nenda Nerrisa bila tawanya tinggal sisa.

"Mana boleh tidur, nenda! Busy…" jawab Farriel pantas.

Farriel tersengih gatal memandangku. Jap! (Nanti!)Dia jawab apa tadi? Ghau! Darah naik ke pipiku.

"Ta… tak, nenda! Bukan macam tu. Tak busy pun… aaa…."

Nenda Nerrisa dan Hana mengulum senyum.

Mr. Charity a.k.a Ihsan, join gelak. Tapi gelak dia ni lain macam sikit la….

"Sikit sangat kamu makan, Aril? On diet ke?" Nenda Nerrisa mengalih tajuk bicara.

"Haah, nenda. Malam tadi ada ‘orang’ tu kutuk badan Aril. Katanya Aril gemuk sangat. Terpaksa la buang sikit lemak-lemak berlebihan kat badan ni!"

Menyindir aku la tu! Padahal dia dulu yang minta merepek-repek kat aku… suruh sambung belajar konon!

Nenda Nerrisa tersenyum. Dia mula beralih pada kedua-dua anak lelakinya, Tengku Makmur dan Tengku Faris. Bertanyakan hal-hal mengenai syarikat.

Hana pula sibuk bertanyakan Ihsan tentang fesyen terbaharu di New York. Khabarnya Ihsan baru pulang dari sana; melancong dengan kawan-kawannya.

Tengku Murni Hadirah pula lebih senang melayan perasaannya sendiri.

"Kata Nani, kamu yang goreng mihun ni. Betul ke, Rianna?" soal Nenda Nerrisa. Perhatiannya kembali padaku.

"Ye, nenda. Saya main campak aje dalam kuali. Kenapa? Tak sedap ke, nenda?"

Aku sudu mihun goreng ke mulut. Dah cukup rasa dah ni. Tak kena ke dengan tekak Nenda Nerrisa?

"Sedap sangat... kalah tukang masak rumah ni. Tak sangka kamu pandai masak. Dengarnya kamu ni pramugari. Ada juga masa kamu nak praktis masak ye?" balas Nenda Nerrisa.

Mihun goreng dikaut lagi ke dalam pinggan. Ini kali kedua dia menambah.

"Ooo… betul la tu! Saya memang suka masak. Dalam kapal terbang pun saya yang masak," jawabku riang. Senyum tak lekang-lekang di bibir. Senyum berbayar ni.…
Farriel siku tangan aku. Mujur sudu tak tersua ke hidung. Aku buat isyarat bertanya, apa?

Farriel ketap gigi.

"Adry ni memang suka bergurau, nenda! Kadang-kadang dia cakap dulu, baru fikir kemudian," kata Farriel dalam nada seloroh sambil menepuk kuat bahu isterinya.
Nenda Nerrisa senyum. Matanya beralih pada Ihsan pula. "Ihsan, kamu bila lagi nak kahwin? Umur pun dah nak masuk dua puluh lapan tahun."

"Apa kelas kahwin awal, nenda? Hidup ni sekali aje, kena la enjoy puas-puas," sambut Ihsan.

"Enjoy aje la kerja kamu. Ni… sampai bila kamu nak duduk US tu? Ke kamu nak sambung PhD pulak kat US tu? Bertahun-tahun dok sana, perangai kamu pun dah macam orang sana. Tengok, warna rambut pun dah ‘berkarat’ (perang)!"

Ihsan tersengih sambil garu kepala.

"Biar la, ma… dia nak kerja kat sana dulu. Nak cari pengalaman." Tengku Makmur ‘backing’ anak dia.

"Cari pengalaman kerja, takpe. Mama takut dia cari pengalaman lain aje…."

Masing-masing diam. Malas nak berbalah dengan Nenda Nerrisa.

Sebelum masing-masing selesai makan, Nenda Nerrisa menyesakkan ruang rongga hidung aku sekali lagi.

"Khalidah, Muhainis, panggil semua ahli keluarga kita. Mama nak bincang pasal kenduri kahwin Si Aril ni. Dah la kahwin koboi (kahwin segera), takkan tak nak buat kenduri pulak. Nanti orang kata kita lupa adat pulak. Rianna, Aril, kamu sediakan nama jemputan. Rianna, jangan lupa jemput keluarga dan kawan-kawan kamu. Nenda teringin nak kenal mereka."

"Baik, mama!"

"Baik, nenda!"



"HAI!" sapa Ihsan sebaik sahaja cermin kereta diturunkan.

Keretanya diberhentikan di bahu jalan. Berdekatan dengan tempat aku berdiri. Aku buat pandang tempat lain, kat jalan raya. Aik, takkan takde sebuah teksi pun lalu kat sini? Bas... toksah (tak usah) harap la. Mana ada orang nak naik bas kat kawasan perumahan mewah macam ni?

"You nak pergi mana? Joging?" sindirnya dalam tawa.

Tau la aku pakai track bottom. Tak payah la perli. Ni satu aje baju yang ada. Nama pun kahwin ekspres. Mana la ada preparation. Tu pun nasib Kak Nani bagi pinjam baju ni. Kalau tak, aku pakai aje baju semalam, alamatnya pengsan la kau dan yang lain-lain tadi.

"Okey, sorry! Saya minta maaf. Saya tak usik awak lagi."

Aku buat tak dengar. Mana teksi ni? Mogok ke driver teksi hari ni? Ke dah habis rosak semua teksi kat kawasan ni?

"Adrianna, saya minta maaf. Boleh tak awak maafkan saya?" rayu Ihsan.

Bila tengok muka seposen (kesian) Ihsan, aku jadi tak sanggup nak buat perang dingin. "Boleh, tapi dengan satu syarat. Saya tak nak awak buat macam malam tadi..."

"Buat apa?" pintasnya sebelum aku meneruskan kata.

"Yang kat belakang pasu tu!"

"Ooo… yang tu! Okey… okey! So, awak nak pergi mana ni? Jom saya hantarkan. Kawasan rumah nenda ni memang susah nak dapat teksi."

"Boleh ke?"

"Boleh sangat-sangat! Saya bukan ada kerja pun. Jom la…."

Pintu di sebelah pemandu kubuka. Sebenarnya, aku malu nak berhadapan dengan Ihsan. Lebih-lebih lagi lepas kejadian malam tadi. Dan kejadian di KLIA. Sampai sekarang aku masih gagal mengucapkan terima kasih dan memohon maaf atas kejadian itu. Dan aku takut jugak kalau ‘rahsia’ aku dengan Farriel pecah. Tapi dah nak sejam aku terpacak kat hujung simpang rumah nenda ni, terpaksa jugak la aku terima pelawaan Ihsan. Tambahan pulak aku ada urusan yang perlu diselesaikan.

"Nak pergi mana?"

"Bank."

Kemudian, masing-masing diam. Aku tak berani cerita apa-apa. Takut terlepas cakap. Tapi, Ihsan nikan Mr. Charity. Secara tak langsung dia dah tau sikit-sikit tentang ‘rahsia’ kami. Cuma tak ada hitam putih dari aku dan Farriel aje.

"Awak boleh tunggu sampai saya habis berurusan kat bank, tak?"

"Boleh aje," balas Ihsan senang.

Seketika kemudian kereta Ihsan meluncur laju ke arah yang ingin kutujui.

Setelah selesai urusanku di bank, aku segera meloloskan diri ke dalam kereta Ihsan.

Ihsan tersenyum nipis sambil bertanya, "nak ke mana lepas ni, madam?"

Setelah diberitahu arah tuju, Ihsan segera menekan pedal minyak.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana. Tapi, boleh tak awak rahsiakan apa yang awak dah tau?"

"Pasal awak berlakon jadi awek Aril atau tentang kahwin kontrak korang?" soalnya bersahaja.

"Semuanya. Saya tak nak benda ni kecoh!"

"Huh! Memang dah kecoh dah pun. Awak tau tak yang awak jadi topik utama dalam majlis malam tadi?"

"Ye ke? Kenapa jadi gitu pulak?" soalku. Teruja nak tau apa yang dibualkan oleh keluarga kerabat itu.

"Okey. Firstly, awak perlu tau Tengku Farriel Izumi adalah calon utama untuk jawatan CEO Izumi Corporations selepas Tengku Faris bersara kelak. He’s perfect! Dia tu highly educated, perangai pun okey, plus dia cucu kesayangan nenda. Tapi, perkahwinan awak dan Aril semalam dah buat saudara-mara kami, merangkap Board of Director (BOD) Izumi Corporations hilang keyakinan terhadap kredibiliti Aril…"

"Apesal pulak?" Segera kupintas ayat Ihsan.

"Awak pernah dengar tak orang kata; terdapat seorang wanita di belakang kejayaan setiap lelaki. Dalam kes ni, kejayaan Aril menerajui Izumi Corporations sedikit sebanyak bergantung pada awak. BOD langsung tak yakin awak boleh membawa apa-apa kebaikan pada company bila tengok awak punya…"

"Pendidikan? Personaliti? Gaya penampilan? Background?" pintasku lagi.

"Mmm… lebih kurang la! Awak jangan ambik hati pulak. Bagi mereka, kalau pilih isteri pun Aril dah failed, macam mana nak deal dengan clients esok lusa…."
Aku terdiam seketika. Timbul pertanyaan lain dalam benakku. "Kenapa Aril perlu jadi CEO? Kenapa bukan orang lain?"

"CEO mesti dilantik di kalangan keluarga kami sebab kami pemegang saham terbesar dalam company, selepas companies kami merge. Saham nenda, pak cik mak cik saya, sepupu-sepupu, Aril dan saya mewakili 60% saham syarikat. CEO biasanya disandang ikut seniority."

"Okey… kalau gitu, kenapa papa awak tak jadi CEO? Dan kenapa awak tak jadi calon utama CEO? Bukan ke awak cucu sulung nenda?"

Ihsan tersengih.

Sedaya upaya dia cuba mengelak dari pandangan mataku. Aik, ada nak sorok sesuatu ke?

"Papa saya ada syarikat lain dan ada problem sikit dengan nenda. So, dia passed down jawatan tu pada pak ngah. Saya pulak dah hilang ‘kelayakan’ untuk pegang jawatan tu."

"Kenapa pulak jadi gitu?"

"Rahsia!"

Ihsan senyum menggoda ke arahku. Isk, kalau tak kuat iman, boleh cair ni! Playboy diraja betul!

"Dan kenapa hubungan awak dengan Aril macam ‘tegang’ aje?" soalku ingin tahu.

"Aaa… awak ni peka jugak, ek? Dalam satu malam awak boleh tau. Even some of our relatives tak perasan ‘benda’ ni," balas Ihsan.

"Well, tengok kaki la!"

"Ha ha ha! Funny… well, saya dan Aril bersaing dalam banyak perkara. And most of the times, he gets whatever he wants. Termasuk la ‘benda’ yang saya paling nak dalam dunia ni."

"Benda apa?"

"Actually, the ‘thing’ is a person. And that person was a ‘she’… it was an old story anyway! Tak payah sebut lagi la."

"Ooo… ni kes berebut pompuan la ni, ek?"

"Lebih kurang la…."

"Then, apa lagi yang saya patut tau?" soalku.

"Saya kenal Marina Irriani tu."

"What?! Tapi Aril kata dia tak pernah bawak Marina jumpa dengan famili."

Penipu punya Farriel!

"Well, kami tak kenal secara rasmi. Saya pernah terserempak dengan diorang masa diorang dating. Sebab tu la dengan confidentnya saya kata awak bukan awek Aril. Lagipun saya ada kat KLIA semalam kan… so, saya tau la Aril kejar siapa dan awak kejar siapa."

"Ooo…."

Punyalah nak sorok, walhal dia dah tau cerita sebenar. Lega sikit. Sekurang-kurangnya, aku tak perlu berbohong dengan Ihsan. "So, adakah awak akan bocorkan rahsia kami pada nenda dan yang lain-lain?"

Huh, skema sungguh bunyi soalan aku tu.

"Saya mungkin busybody, tapi saya bukan peruntuh rumah tangga orang. Not yet, so far. Okey, kita dah sampai!"

Punyalah rancak berborak, sampai tak sedar dah sampai ke tempat yang dituju. Wajah Ihsan yang ‘karchak’ a.k.a kacak aku pandang.

Ihsan tersenyum.

Alahai… aku tak tau la berapa ramai pompuan dah masuk hospital gara-gara senyuman Ihsan ni. Manis tahap kencing manis!

"Thanks… susahkan awak aje. Anyway, thanks and sorry pasal kejadian kat KLIA tu. I was rude and out of manners. Tentang duit tu, nanti saya bayar."

"It’s okay. Tak payah bayar. Kita pun dah jadi famili."

Aku mengucapkan terima kasih sekali lagi. Pintu kereta kututup. Belum sempat melangkah, Ihsan memanggil namaku. Cermin tingkap diturunkan.

"Nice chatting with you. Kalau awak ada problem ke or what-so-ever, feel free to call me. I will gladly to serve you in anyway you want…."

Aku tersentak mendengar kata-katanya. Aku ni tak la pandai sangat berbahasa Inggeris. Tapi kalau ikutkan pemahaman aku, dia ni macam try nak berbaik-baik dengan aku. Dan ayat last dia tu… is he trying to flirt with me? Nooo…. Dengan berat hati, kad nama yang dihulurkan aku sambut. Apa-apa aje la!



KAWASAN rumah setinggan di tepi lombong tu sudah sunyi. Mungkin ramai yang sudah keluar bekerja. Bunyi jeritan dan tempikan kuat dari dalam rumah membuatkan aku mempercepatkan langkah. Kemudian kedengaran pula bunyi kaca pecah. Tiba di muka pintu, aku bertembung dengan empat orang lelaki bertubuh sasa. Aku mula cuak. Siapa pulak ni? Masing-masing tersenyum sinis sebelum berlalu pergi. Aku menerpa masuk. Perabot rumah berselerakan. Emak dan Zalika terduduk di sudut rumah. Ada kesan darah mengalir di bibir emak.

"Apa dah jadi, mak? Zalika?"

Wajah Mak Cik Midah yang kupanggil emak dan Zalika pucat. Ada bekas air mata di pipi. Tanganku segera ditepis tatkala aku cuba membantu mereka.

Zalika bingkas bangun. Berhadapan denganku.

"Ah Long tu datang nak kutip hutang! Akak ke mana minggu lepas? Bukan ke sepatutnya akak hantar duit pada kami? Kalau akak hantar duit, tak ada la kami kebulur kat rumah ni! Tak ada la ‘penyangak’ tu datang sampai ke rumah nak kutip hutang!" jawab Zalika kasar. Sudah hilang traumanya digertak ‘Ah Long’ tadi.

"Akak tak ada duit minggu lepas… gaji tak masuk lagi…."

Mata emak mencerlang mendengar kata-kataku. Dia bangun dan mencekak leherku dan ditolaknya ke dinding rumah. Berpinar sedikit pandanganku.

"Kau dengan ayah tiri kau tu sama aje tak gunanya! Dia berhutang sana-sini, lepas tu hilang entah ke mana. Kau pulak tak sudah-sudah menyusahkan aku, dari kecik sampai besar! Semuanya bawak sial kat aku!" jerkahnya.

"Agaknya akak lagi suka tengok kita kena pukul, kena sembelih dengan Ah Long tu, mak. Yelah tak payah nak tanggung makan pakai kita lagi. Betul, kan?" tuduh Zalika. Seperti sengaja mengapi-apikan kemarahan emak.

"Buat apa kau balik lagi ke rumah ni? Pergi la berambus! Mentang-mentang la aku ni mak tiri kau, kau layan aku macam sampah aje. Sedar la sikit, siapa yang bela kau lepas mak kau mati dulu? Siapa yang selamatkan kau bila ayah tiri kau tu nak rogol kau? Siapa? Aku! Bila dah besar, kau lupa semua jasa aku. Dasar anak tak mengenang budi!" tengking Mak Cik Midah, emak tiriku.

Air mataku mula bertali arus. Aku anak yang menyusahkan. Betul ke? Seingat aku, selepas ibu meninggal dunia, aku sendiri yang menguruskan kehidupanku. Aku bekerja untuk menyara makan pakaiku. Hatta yuran persekolahan pun aku bayar dengan hasil titik peluhku.

Emak dan Pak Cik Bakar, iaitu ayah tiriku tak pernah kisah denganku. Apa yang mereka tau, berseronok dan memanjakan anak-anak mereka dengan duit dan barangan mewah. Apa sahaja permintaan Zalika dan Bakhtiar pasti akan ditunaikan.

Sebaliknya pula jika aku yang meminta. Naik la sepak terajang ke badan. Ayah berhutang dengan Ah Long pun gara-gara sikap emak yang suka bermewah-mewahan dan sikap ayah yang suka berjudi. Dan sekarang, aku yang perlu membayar balik setiap sen yang dipinjam oleh ayah. Masih salah aku jugak ke?

"Saya datang nak bagi duit ni. Mak gunalah untuk bayar Ah Long tu." Kataku lemah.

Sampul berisi RM10,000.00 ‘dirampas’ dariku.

Zalika mula mengendeng pada maknya. Mengintai isi sampul surat.

"Ingat, Adry! Kau mesti cari baki lagi RM30,000.00 dalam masa terdekat ni! Kalau tak, aku tak halalkan setiap sen yang aku belanjakan untuk kau. Barang-barang ibu kau, aku akan bakar. Faham?"



"HAH? Kahwin paksa? Malam tadi?" Tawa Qhuzhairi atau nama panggilannya Qhuz pecah.

Fitri yang mendengar, tumpang sekaki gelak.

"Aku serius ni. Jangan la gelak! Tak sensitif betul dengan masalah member!" rungut Farriel.

"Kira bagus la tu! Nenek kau bagi kau kahwin free aje dengan Marina tu. Kau kan memang dah kemaruk sangat nak kahwin dengan minah ‘celup’ tu!" ujar Fitri dalam tawa.
Farriel menghirup air kopinya. Mukanya masam. Mujur tidak ramai pengunjung di Starbucks ketika itu. Kalau tak, tentu ramai tertoleh-toleh ke arah mereka yang agak ‘lepas’ laku.

"Masalahnya, aku bukan kahwin dengan Marina…." Farriel menyambung kata.

"Habis tu, dengan siapa?" soal Qhuz dan Fitri hampir serentak.

"Dengan Ad…." Suara Farriel mengendur.

"Pompuan mana pulak tu?" soal Fitri.

Qhuz kerut dahi. Serasanya dia pernah mendengar nama tersebut.

"Ad? Ad budak ala-ala tomboy tu ke? Yang sama sekolah dengan kita dulu?" teka Qhuz.

Farriel mengangguk lemah.

Qhuz sambung gelak. Kali ni lebih kuat dari tadi.

Mujur Qhuz satu sekolah, malah satu geng dengannya dulu. Tak la jenuh dia menerangkan siapa gerangannya Si Ad itu.

Fitri tercengang-cengang. Masih tak faham kenapa Qhuz tergelak tak ingat dunia. "Woi, apa ni? Korang-korang aje faham. Aku tak faham satu apa pun!"

Qhuz mematikan gelaknya. "Kalau kau nak tau, Fit… Ad tu satu sekolah dengan kita orang dulu. Minah tu pelik sikit! Kasar, garang. Yang peliknya, dia langsung tak ada kelayakan masuk sekolah kita orang. Tak tau macam mana dia lepas ujian kelayakan. Aku agak dia ada ‘kabel’ besar kat sekolah tu."

Fitri mengangguk. Seketika kemudian, dahinya kembali berkerut. "So, apa masalahnya kalau dia kahwin dengan Si Aril ni?"

Qhuz ketawa sebelum menjawab, "masalahnya, Si Aril dengan Si Ad ni memang tak boleh jumpa. Macam minyak dengan api. Panas aje sentiasa. Tak pun macam anjing dengan kucing!"

Fitri join Qhuz gelak.

Farriel merengus kasar. Hantu punya kawan! Bukan nak tolong selesaikan masalah.

"So, Ril… macam mana pulak Ad boleh muncul dalam majlis tu?" soal Fitri.

"Ad datang hantar baju yang Marina tempah. Si Che Nan tu pulak, punya la ‘bijak’. Dia ingatkan itulah awek aku. Aku memang tengah bengang gila dengan Si Marina tu! Aku upah la Ad jadi ‘awek satu malam’ aku. Tak sangka pulak lain jadinya. Kahwin kontrak la jawabnya," terang Farriel.

"Kesian budak tu… tak pasal-pasal budak tu kena kahwin dengan kau."

"Aku, kau tak kesian? Tak pasal-pasal jadi laki orang!"

"Buat apa nak kesian kat kau! Kau laki. Boleh kahwin empat. Kalau cerai pun, saham kau tetap tinggi. Dia tu pompuan…" tukas Fitri.

Ad tu pompuan ke? Kenapa aku tak pernah address dia sebagai pompuan sejak zaman sekolah dulu sampai sekarang? Farriel pegang kepala. Berat, berat….

"So, mana isteri kau sekarang? Takkan kau kurung dia kat rumah kau? Bila kau nak bawak dia jumpa aku? Teringin jugak nak tengok junior aku tu," soal Qhuz penuh minat.

"Entah! Pagi-pagi lagi dah lesap."

"Aik! Tak sampai dua puluh empat jam kahwin dah lesap? Dahsyat, dahsyat!" perli Fitri.

"Amanah tu, Ril. Dia bawah tanggungjawab kau. Tak kira la korang kahwin paksa atau rela. Cari la dia. Dia isteri kau...."

"Masalahnya, aku sendiri tak tau nak cari dia kat mana. Nombor telefon dia tak bagi. Alamat lagi la…!"

"Aik! Waktu sign kontrak tak catat ke butir-butir diri semua? Aril, Aril… tak tau la macam mana kau nak handle business nenda kau esok lusa…."

"Apa punya suami la? Fail!"



PINTU kaca butik aku tolak masuk. Kepala sudah menjengah masuk terlebih dahulu. Memerhatikan keadaan di segenap ruang butik pakaian itu.

"Hai Adry… lambat datang hari ni. Dah nak petang baru tiba," tegur Kak Timah sebaik sahaja muka aku tersembul di hadapannya. Mujur butik kosong tanpa pelanggan. Dan mujur juga big boss tak ada. Kalau tak, free aje kena potong gaji.

"Eh, apesal kau pakai baju ni? Macam nak pergi bersenam aje? Dah tu, muka pucat aje? Ada problem ke? Tak nak kongsi dengan akak?"

Hu hu hu…. Kalau la boleh kongsi. Aku kena kahwin paksa semalam, kak! Hari ni pulak aku dapat tau yang kerjaya Farriel hampir dimusnahkan disebabkan ‘kekurangan’ aku. Dan aku tak pernah dihargai oleh satu-satunya keluarga yang aku ada…. Kepala ni pulak sakit semacam aje.

"Tak ada apa-apa la, kak! Small matter aje," jawabku perlahan.

"Adry! Rindu sangat dengan kau!"

Jeritan Chot menghambat gegendang telinga. Chot berlari mendapatkan aku. Dipeluknya aku erat. Eh, Chot ke ni? Bila pulak minah ni balik dari honeymoon ni? Apesal warna muka dah bertukar ni?

"Ler… takkan kau dah tak kenal aku? Aku tau la aku dah hitam sikit. Tapi kan ke ‘hitam itu menawan’? Ke kau marah aku sebab aku honeymoon lama sangat? Sorry la…. Sebagai ‘upah’ kau tolong buat kerja-kerja aku, aku belikan hadiah special untuk kau."

Sebungkus hadiah dihulurkan padaku. Masa tu la Chot terperasan ‘sesuatu’ yang bersinar di jari manisku. Cincin emas putih bertatah sebutir berlian. Pantas dicapainya tanganku.

"Cantiknya cincin! Cincin emas putih, kan? Yang kat tengah ni, bukan diamond ke? Siapa bagi? Cantik macam cincin tunang aje. Kau dah tunang, ek? Ke kau dah kahwin?" soalnya bertalu-talu.

Kak Timah pantas menyerbuku. Begitu juga Imah, Nini dan Sabariah. Bergilir-gilir diorang menilik cincin kahwinku. Mulut masing-masing heboh dengan pelbagai soalan.
Naik sesak nafasku. Tiba-tiba suara mereka jadi bergema dan semakin jauh dari pendengaranku. Pandanganku pulak berubah jadi macam filem P. Ramlee; cuma dua warna aje yang ada, hitam dan putih. Dan aku tak ingat apa-apa lagi selepas itu.



"KAMU sendiri tak tau mana Rianna pergi? Kan ke kamu ni suami dia?" tukas Nenda Nerrisa.

Farriel tak senang duduk. "Dia kata nak pergi ke rumah sewa. Nak ambik kain baju. Tapi tak tau pulak lewat sampai macam ni. Mungkin dia keluar dengan kawan-kawan dia kut."

Farriel mereka cerita. Ad, mana la kau pergi? Menyusahkan aku nak menjawab soalan nenda aje.

"Takkan keluar dengan kawan sampai lewat petang macam ni? Cuba kamu telefon dia. Kamu ada nombor telefon dia, kan?" saran Tengku Khalidah.

Farriel garu kepala sambil memandang mamanya. Mama, masalahnya Aril tak ada nombor telefon Si Ad tu. Entah ada handphone entahkan tidak dia tu. Seingat dia, tak ada pulak Si Ad tu tayang handphone kat dia semalam.

"Ye tak ye jugak! Cuba kamu telefon handphone dia. Mana la tau kut-kut dia ada masalah kat rumah sewa dia tu. Telefon, telefon…" arah Nenda Nerrisa.

"Aaaa…." Balik nanti, siap kau Ad!

"Aaa… actually Si Adry tu lupa nak bawak handphone pagi tadi. Handphone dia ada kat dalam bilik, atas meja solek. Tu pun bateri dah low!"

Nenda Nerrisa menggeleng kepala. Kesal dengan sikap cucunya yang sambil lewa. Dalam pada itu, dia bimbang dengan keselamatan Adrianna, gadis yang berjaya meraih perhatian dan kasih sayangnya dalam masa satu malam. Puas dia bertanya pada pembantu-pembantu rumah. Kut-kut ada Adrianna meninggalkan pesanan sebelum keluar. Namun hampa.

Tengku Khalidah pulak silang tangan di sofa. Bersikap tunggu dan lihat.

"Nenda dengan mama jangan la risau. Pandai la Si Adry tu balik ke sini nanti. Dia dah besar. Dah boleh jadi mak orang pun."

Masing-masing diam tak berkutik.

"Bila pak long dan mak long balik JB, ma?" soal Farriel memecah kesunyian.

"Tengah hari tadi."

"Ihsan balik sekali?" soalnya lagi.

Sepupunya itu memang dah lama ‘dingin’ dengannya. Kalau bercakap pun sekadar perlu aje. Dia tidak menyimpan dendam pada Ihsan walaupun Ihsan adalah saingan terdekatnya untuk merebut jawatan CEO. Kalau bergaduh pun, masa kecik-kecik dulu. Budak-budak, adat la bergaduh dan berbaik semula.

"Pasal Ihsan tu, mama tak pasti. Lepas sarapan tadi, dia terus hilang entah ke mana. Budak tu mana penah lekat di rumah!"

Suasana sepi kembali. Farriel kerling jam di tangan. Pukul enam lima puluh enam petang. Mana pulak la minah ni pergi? Mintak-mintak la dia tak cabut lari. Apa aku nak jawab kat famili aku kalau Ad ghaib terus? Walhal baru sehari usia perkahwinan kami….

"Hish! Nenda tak boleh tunggu lagi dah. Nenda nak report polis. Biar polis aje cari Si Rianna tu!"

"Eh, jangan la, ma. Kejap lagi balik la dia tu," bantah Tengku Khalidah.

"Entah, nenda ni… tak sampai dua puluh empat jam pun lagi dia hilang. Entah-entah dia tengah seronok dengan kawan-kawan dia. Kita aje risau tak tentu arah kat sini!" tambah Farriel.

"Dunia sekarang ni dah tak selamat lagi. Hari-hari ada kes bunuh, kes ragut la, rogol la. Nenda takut sesuatu terjadi pada Rianna. Kita mana tau!"
Dan ketika itu la….

"Assalamualaikum…."

Ihsan pulang menyelesaikan persoalan ‘di mana Adrianna’ yang ada di dalam kepala kami. Namun kepulangan Ihsan dan Adrianna itu juga menimbulkan persoalan baru di fikiran kami. Macam mana Adrianna boleh bersama-sama Ihsan? The main thing is, kenapa Adrianna berada dalam pelukan Ihsan?

Farriel tercengang melihat Ihsan yang kemas mencempung tubuh Adrianna.

0 comments:

Post a Comment