Ad + Iz

Karya Dari Eury Athena

APA KATA HEROIN?


"Kau bercakap senang la, Qhuz. Aku yang menanggung ni yang rasa sengsaranya. Aku tak sanggup nak lukakan hati orang. Aku juga tak sangup nak lukakan hati sendiri. Benda-benda berkaitan hati dan perasaan ni bukannya boleh ditentukan dengan teori buku. Ia rumit, abstrak, di luar kemampuan…."

APA KATA HERO?



"Adry, kenapa bukan aku? Kenapa Farriel yang berhati batu tu yang jadi suami kau?" keluhnya.

Ad + Iz - Bab 5

BAB 5

KERETA Honda City warna biru metalik meluncur laju. Aku tengok meter. 80km/j. Kalau agak-agak jalan lengang aje sikit, ditekannya minyak sampai 120km/j. Selagi boleh menyelit, dia akan menyelit. Wei, Si Farriel Izumi ni memang nak suruh aku mati cepat ke? Aku belum tempah tanah kubur lagi….

"Izumi!" jeritku bila kereta yang kami naiki hampir dilanggar lori yang entah dari mana datangnya.

Mujur Farriel cepat-cepat mengelak.

"Kan aku kata jangan panggil aku dengan nama tu!" bentaknya kasar.

"Tu nama kau jugak apa...."

Siapa suruh bapak kau letak nama tu? Aku panggil aje la. Seronok jugak dapat ‘usik’ dia ni.

"Aku memang tak suka kau panggil aku dengan nama tu. Aku dah warning kat kau masa sekolah dulu, kan?"

"Bla bla bla… okey, whatever! Macam la special sangat nama tu! By the way, bila kau nak bayar baki upah aku jadi ‘awek’ kau tu? Lagi RM20,000.00 tu. Upah aku jadi isteri kau, kau jangan buat-buat lupa pulak!"

"Ha ha ha… kau ni tak ada kerja lain. Duit, duit, duit. Kau lahir atas duit ke dulu?" kata Farriel jengkel.

"Aku tuntut hak aku aje. Mana ada benda free dalam dunia ni. Nak masuk toilet pun kena bayar tiga puluh sen tau. Ada sesetengah toilet, kena bayar sampai lima ringgit tau!"

Aku buat muncung itik. Dia yang janji! Triple dari upah yang kononnya Si Marina tawarkan pada aku. Dan RM2,000.00 ‘bersih’ sebulan. Upah jadi isteri kontrak mamat senget sebelah aku ni. Masyuk! RM20,000.00 + RM10,000.00 (lima bulan duit gaji aku) = RM30,000.00. Dengan duit sebanyak tu, dapat la aku bayar hutang ayah tiri aku dengan Ah Long. Tak payah sakit-sakit kepala lagi fikir. Beres!

Perjalanan kami berakhir di sebuah banglo dua tingkat. Ia terletak di bahagian paling hujung dalam deretannya. Tanpa menunggu Farriel, aku terus keluar dari kereta. Meninjau keadaan sekeliling rumah. Tengok dari luar aje aku dah jatuh suka. Dindingnya dicat warna kuning jagung dan putih. Ada garaj yang boleh muat dua buah kereta. Ada laman sederhana luas di tepi. Hmmm… boleh tanam bunga macam nenda buat. Letak kerusi batu kat tengah. Kalau kaya sikit, boleh buat landskap air terjun ke kolam ikan ke. Petang-petang boleh la minum petang sambil ambik angin. Huish, tingginya angan-angan! Tapi memang betul la… betul-betul macam rumah yang aku idam-idamkan. Kecuali part yang aku kena tinggal dengan Farriel hyppo ni la… yaiks!

Cermin kereta diturunkan. Farriel julur kepala dari dalam kereta.

"Hah, apa lagi?" sergah Farriel.

"Apa?" soalku terpinga-pinga. Lupa pulak ada mamat ni!

"Bukak la pintu pagarnya…."

Hujung bibir atas sengaja aku naikkan sehingga mencecah bahagian bawah hidung. Apa punya laki! Kerjanya asyik membuli aku aje. Masa kat rumah mama papa dia lagi dia dah tunjuk belang. Tak boleh tengok aku senang. Kejap-kejap…

"Ad dearie, buatkan kopi kurang gula satu."

Padahal kat meja depan mata dah ada kopi seteko. Tak nak, katanya manis. Nanti bertambah gemuk. Cheh, tak nak minum air manis konon. Tapi kalau kat meja makan tu, lagaknya dah macam orang Somalia, takpe pulak. Aku yang tengah syok tengok TV dengan nenda, nak tak nak terpaksa la menapak ke dapur. Kalau tak fikir nenda dan mama papa dia yang ada sama, nak aje aku mandikan Farriel tu dengan sebaldi air kopi. Biar dia rasa. Tapi bila aku sukat tahap kesabaran, untung la masih ada yang berbaki.

Satu lagi taktik dia nak membuli…

"Sayang, briefcase tinggal kat bilik. Tolong ambik."

Hui… dalam pada nak muntah dengar dia panggil sayang, aku gagahkan jugak panjat tangga sampai ke tingkat tiga. Kut ada lif lain la cerita! Patutnya dia la yang kena exercise turun naik tangga. Biar lemak-lemak dalam badan dia tu susut. Ni tak, aku jugak yang bertambah slim!

Tapi yang paling sadis…

"Ad, pinggan dengan sudu ni berminyak la. Pergi ambik yang lain."

Belum sesudu nasi masuk dalam mulut. Air pun tak sempat diteguk lagi. Dengan perut yang berirama heavy metal, aku seret jugak la kaki ke dapur. Nasib rumah orang. Kalau rumah aku, aku bagi dia makan atas pinggan kertas. Nak tambah sadis, aku bagi daun pisang aje buat alas. Biar dia rasa. Manja tak bertempat. Kalau dah depan mama papa dan nenda dia buat aku macam tahanan juvana, bila dah dok rumah sendiri ni, aku tak tau la apa bentuk ‘seksaan’ dia akan ‘hadiahkan’ kat aku.

Dalam pada mengomel tu, pintu pagar tetap aku buka. Yelah, aku ni kerja makan gaji. Kena la patuh.

Pintu rumah dibuka oleh Farriel.

Pergh! Macam tongkang pecah. Tak ubah macam kapal Jack Sparrow lepas kena serang dengan sotong kurita bersaiz giant tu. Almari, rak kasut, kotak-kotak, beg baju berlambak sana sini. Habuk tak usah cerita la. Lagi tebal dari tapak kasut aku ni!

"Wei, kau cakap kau dah kemas rumah ni! Kau tipu nenda, ek?"

Farriel angkat bahu dengan wajah selamba. "White lies! Aku tak nak sia-siakan duit gaji yang aku bagi kat kau tu!"

Jawapan yang dia bagi… memang marvelous! Ei, geramnya aku tengok muka dia! Rasa nak ‘uli-uli’ aje muka dia yang cerah tu.

Farriel menghilangkan diri di tingkat atas. Tak lama kemudian dia turun dengan memakai t-shirt kusam berwarna biru bersama jeans yang dah koyak di bahagian lututnya.
"Tunggu apa lagi? Pergi la tukar baju! Kemas mana yang patut."

Bila dilihatnya aku masih kebingungan, Farriel menyambung arahannya.

"Dalam masa tiga puluh saat, Ad! Kalau kau tak siap jugak, aku potong gaji kau! RM10.00 for every seconds," katanya bersungguh-sungguh.

Mendengar kata-katanya, tangga pantas aku daki. Aku angkut sekali beg pakaian. Menukar pakaian secepat mungkin. Apa punya arahan da…. Mengalahkan trainee kat akademi polis. Yang tak tahan tu, siap bagi masa lagi. Kalau lama takpe jugak. Ni setakat tiga puluh saat. Okey, siap! Tangga rumah aku turuni.

"Lambat sembilan saat. Potong RM90.00." Ujar Farriel sambil melihat jam di pergelangan tangannya.

Aku hanya mampu mengeluh. Kau ingat aku robot ke apa? Takpe… kenakan la aku selagi boleh. Sampai masanya, giliran kau akan tiba pulak! Revenge!!!!



FARRIEL celikkan mata. Jam di sisi pantas dicapainya. Tujuh tiga puluh minit pagi? Alamak… dah lambat! Mampus! Terbabas subuh aku! Bertuah punya Ad. Bukannya nak tolong ketuk pintu, kejut aku. Nama aje jiran sebelah bilik.

Pintu bilik dibuka. Cuba mengesan di mana kedudukan Ad. Bila didengarnya bunyi bising di dapur, dia membuat kesimpulan bahawa Ad sedang memasak. Perutnya terasa lapar serta-merta. Tuala mandi dicapai. Siap mandi ala kadar, pakaian dalam almari diselongkarnya. Mencari kemeja yang paling tak berkedut. Setelah berpuas hati dengan penampilannya di cermin, baru la dia turun.

Suasana rumah senyap sunyi. Ad tak kelihatan di mana-mana. Dah blah ke mana pulak? Lantak la! Tudung saji atas meja dibuka. Masa untuk makan.
Apa ni???

Sudu, garpu, pinggan, gelas, semua elok susunannya. Masalahnya pinggan dan gelas yang ada, semuanya kosong. Tak ada isi. Ke... lutsinar makanan yang dihidangkan dek Ad ni? Nota di atas meja dicapai oleh Farriel.

To Izumi: Orang diet tak boleh makan banyak-banyak. Makan banyak angin takpe… sebab angin free dan tak menggemukkan!
~AD~

Kertas kecil itu direnyukkan.

"Aaa… ddd!!!!"

Aku yang baru nak melangkah masuk ke dalam teksi, tersengih-sengih macam kerang busuk sebaik sahaja terdengar jeritan Farriel. Padan muka kau! Ada ubi ada batas, ikut hati hari-hari aku nak balas!



"HA ha ha… baru padan muka dia!"

Hana gelak besar mendengar cerita minggu lepas yang aku import dari rumah.

Gelak aku pun berterabur. Tak larat nak kutip lagi dah bila membayangkan wajah kebulur Farriel.

Kami dah tak ambik pusing pengunjung-pengunjung Midvalley. Biarlah! Datang sini nak bergembira. Nak release tension. Deretan kedai terus kami jelajahi. Tangan aku dan Hana sudah penuh dengan barang yang dibeli. Kebanyakannya pakaian dan barang yang dirasakan sesuai untuk aku. Tak sempat nak buka mulut, dia dah bawa ke kaunter. Hulur sekeping kad, cashier swap kad, barang terus masuk dalam beg plastik. Memang indah jadi orang kaya.

"Since bila abang jadi…."

Aku penuhkan mulut dengan angin. Kembang pipi di kiri dan kanan.

"You mean jadi ‘chubby’ gitu?"

Hana gelak tengok aksi aku mengejek Farriel.

"Yap!"

Kasut pink tumit tiga inci aku pandang dengan wajah ngeri. Eeuuww… ada ke orang nak pakai kasut tinggi macam tu? A good way to torture your feet. First time aku pakai kasut setinggi tu, malam pernikahan antara aku dan Farriel. Seksanya? Tuhan aje la yang tau. Terpelecok tak payah cerita la. Itu dah semestinya. Nasib baik tak menyembah ke bumi aje.

Tangan Hana aku tarik keluar dari kedai kasut. Sebelum dia berkenan, baik aku jauhkan pandangan dia dari kasut-kasut mahal tahap belanja makan aku tiga empat hari tu. Tak pasal-pasal dia suruh aku try pakai nanti.

"Well, since he’s in and out of hospitals. Akak tau kan abang pernah sakit?"

"Yeah…."

Apa tak taunya? Siap pengsan-pengsan kat sekolah lagi. Sampai riuh satu sekolah. Otai tegar sekolah pengsan masa show amal. Tu belum kira kejadian kat padang dan lain-lain lagi.

"So, has he fully recovered?"

Kedai accessories aku attack.

Hana ikut aje. Sama dia menilik cermin kaca di situ. Gelang kristal menarik perhatiannya. "So far, yes. But he’s got new diseases la pulak!"

"Penyakit apa la pulak tu?"

Risau pulak aku mendengar kenyataan Hana. Mana tau, kut-kut dia ada penyakit anjing gila. Tak ke parah aku nanti?

"Obesity plus loveholic dengan akak. Ha ha ha…!" jawabnya.

Aku join gelak. Budak tu loveholic dengan Marina. Tak berkenaan dengan aku pun; hidup atau mati.

"Ada-ada aje la Hana ni! Nak beli ke?" tanyaku bila dia mengacukan seutas rantai tangan ke pergelangan tangannya.

"Not for me," jawabnya sambil menggelengkan kepala.

Hana acu seutas ke pergelangan tanganku pula.Dapat sambar seutas, Hana menyeret aku ke kedai seterusnya pulak. Kedai baju… lagi! Aku yang pakai sport shoes pun rasa dah tak larat nak jejak lantai, Hana yang pakai heels… aku tak pasti la pulak. Dah biasa kut!

Tiba-tiba Hana berhenti melangkah.

Tanpa signal, aku terbabas melanggar belakang badannya. Hana pandang aku. Lama. Macam mengenal pasti sesuatu.

"You know what… bila tengok akak ni, Hana macam teringat sesuatu…."

"Hmmm… ye ke?"

"No… I mean, akak mengingatkan Hana pada something and someone!"

Pulak dah….

"Yeah?"

Hana diam seketika. Memerah otak. Beberapa saat kemudian, dia memetik jari. "Hmmm… macam Kak Ann. Tengok akak, terus teringat kat dia. Sempoi, kelakar, nakal, and cute. Boleh kata semua sama la…."

That’s it! Ann lagi. Who is this Ann anyway? Mystery girl? Awek Farriel jugak ke? Apa, hyppo tu player ke? Nenda pun ada jugak dok sebut-sebut nama pompuan ni hari tu. Eh, aku emo (emosional) tiba-tiba ni apehal pulak? Biar la Si Farriel tu nak jadi stokis pompuan ke, apa ke. Takde kena-mengena dengan aku!

"Rupa kami, tak sama?" soalku. Sekadar menyakat.

"Tang tu, tak pasti sangat la sebab Hana kecik lagi masa tu. Lagipun, Hana tak stay kat Malaysia. Sekali-sekala aje balik. Ikut mama dan papa stay kat Amerika. Tapi, Hana ingat sangat yang abang banyak lukis gambar sorang pompuan ni. Hana jumpa masa selongkar bilik dia. He he… jahat, kan? Rupa dia sebijik macam muka akak."
Aku turunkan bahagian bawah mulut. Farriel Izumi lukis gambar aku? Ridiculous! Unreasonable! Nehi kabi nehi! Tak mungkin! Pandang muka aku pun dia tak ingin. Nikan pulak nak abadikan aku dalam lukisannya. Dan aku rasa sangsi jugak mamat takde emo tu boleh melukis. Coz I can’t imagine and I don’t think he can dedicate into something… ha ha ha… no offense!

"Tapi bila fikir-fikir, macam tak logik la pulak…."

Hana buat muka keliru.

"Kenapa pulak?"

Pening dah aku dengan Hana ni!

"Seingat Hana, pompuan dalam lukisan tu rupa macam akak, tapi Hana tak rasa pompuan tu adalah akak. First of all, you all met three years ago. Gambar tu Hana jumpa five years ago. Tak mungkin, kan?"

Aku angguk. Tak ada sesiapa pun tau aku dan Farriel pernah satu sekolah. Diorang kan ingat aku ni Marina Irriani, pramugari yang ditemui semasa dia menuntut di luar negara.

"Secondly, kalau tak silap la, pompuan dalam gambar tu ada parut, somewhere kat muka dia. But, you don’t have any! Hmmm… bukan kut!"
Hana masih kerah otak supaya mengingat.

Aku dah tak minat nak dengar. Dah tentu-tentu Si Farriel tu takkan lukis muka aku. Siapa aku? Ada ke orang nak lukis gambar musuh sendiri? Lagipun muka budak pompuan tu ada parut. Aku… alhamdulillah la tak ada parut walaupun teruk aku kena dera dengan mak dan ayah tiri aku dulu.

Bunyi nyaring dari handphone mencuri tumpuan kami.

Hana segera mengeluarkan handphone dari begnya. Skrin handphone dipandang dengan rasa pelik. "Abang Aril? Apa hal pulak ni?"
Bahu kuangkat tinggi.

"Jawab la," cadangku.

Hana mengangguk. Butang hijau diikuti loudspeaker ditekannya. "Helo! Abang…!"

"Hana, Kak Ad ada dengan Hana ke?"

Suara Farriel kedengaran mesra.

"Haah! Beli barang sikit. Kan Hana dah mesej, cakap nak ‘pinjam’ dia kejap. Lupa, ek? Takkan tak boleh pisah kejap kut?" perli Hana.

Dijelingnya aku. Aku buat bodoh aje. Blaus berderet depan mata, aku tilik satu per satu. Cantik jugak yang ni.

"Ops, sorry! Lupa la…."

"Ha ha ha… tanda-tanda umur dah senja la tu!"

Mengekek tawa aku dan Hana.

"Oit, mulut ada insurans tak tu?! Ad sayang, I know you’re listening. Don’t you know how to pick up your phone, darling? Kalau tak tau, I will give you ‘special’ lesson just on how to pick up the phone. Tak kesian ke kat I? Nak tercabut jari hubby you ni menelefon tau!"

Sayang? Hubby? Aku tahan muntah.

Meleret senyum Hana.

"Wow! Special lesson?! Abang tak pernah pun bagi special lesson kat Hana. Hana baca manual handphone aje."

"Hana lain. Kak Ad lain. Dia tu slow learner!"

Oui… sedapnya mulut mengata. Bukan menyirap, dah meng‘oren’ darah aku mendengar dah ni!

"Okey la… jangan pinjam my wife lama-lama sangat, sis. Home is not home at all without her. ‘Miss’ you so much, Ad! Bye!"

Talian diputuskan.

"Sweetnya… tak sangka pulak abang Hana yang ‘batang kayu’ tu romantik orangnya! I think he misses you so much! Terpaksa la Hana ‘pulang’kan akak cepat-cepat!"

Ha… yelah tu! Dia bukan ‘miss’ aku macam yang Hana fikirkan. Dia cuma rindu nak jerit-jerit dan arahkan aku buat itu ini aje. Dalam pada tu, telefon bimbit aku seluk dari dalam poket. Nak tengok kebenaran kata Farriel. Mak aih! Empat puluh missed calls. Tiga mesej menanti untuk dibaca.

Ad, where is my shirt? Aku suruh kau jahit aje baju tu. Bukan suruh tenun benang untuk buat baju tu!

Ad, pick up the phone! Pekak ke? Lain kali set tone 5 la! Tak dengar jugak, pasang vibrate!

Ad, sabar aku ada batas, ok… answer your phone!

Huwargh huwargh huwargh… ingatkan android tanpa perasaan tadi. Rupanya android version baru. Ada rasa marah. Entah apa-apa entah. Baju t-shirt punya la banyak. Standard la kan, anak orang kaya. Melainkan dia ni kategori ‘taik hidung masin’ la….

Tapi, yang aku pelik sangat, dia nak jugak pakai t-shirt hijau ala-ala coklat macam warna daun nak mati tu. Boleh kata every night. Kalau cantik takpe la jugak. Ni tak, dah bertahi lalat pun. Dah nak lunyai! Aku agak kalau letak kat luar, segala jenis kulat boleh buat habitat kat situ.

Dek kerana tension tengok keadaan baju yang begitu menyedihkan tu, aku ‘sedekah’ baju tu kat tong sampah. Yelah, nak jahit macam mana, kan? Dah teruk sangat keadaannya. Nak buat kain buruk pun, ‘warga dapur’ tak nak terima. Nasib kau la, Izumi… duit tinggi bukit, baju kat kedai pun berlambak-lambak. Get a new one!

"Hai!"

Kepala segera kuputar ke arah suara tersebut.

Elok aje Ihsan bersandar kat dinding luar kedai. Dengan senyuman tahap peluntur iman, Ihsan memang mengganggu gugat ketenteraman pengunjung-pengunjung wanita kat situ.

"Apa awak buat kat sini?" soalku pelik.

"Sorry, Kak Adry... Hana ada janji dengan kawan jap lagi. Tapi… jangan risau, Hana dah cari ‘driver’ untuk hantar akak balik. Bye!"

Dengan kata-kata itu, Hana pantas berlalu pergi. Meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga ala-ala rusa masuk kampung.

Ihsan masih tetap tersenyum.

"Makan mushroom fried chicken rice in claypot, jom!" ajaknya.

Setengah jam kemudian, kami dah menghadap nasi goreng cendawan dalam claypot. Aku masih kaku menghadap claypot yang berkepul-kepul asapnya.
Ihsan dah mula menyudu. Merah padam mukanya menahan panas. "Kenapa tak makan? Tak lapar? Tak sedap?"

Aku geleng kepala. Dengan Hana tadi dah banyak benda aku sumbat dalam perut. Sushi la, nasi ayam la, corn la, dan entah apa-apa lagi. Sekarang perut pun dah naik sebu. "Awak ni tak kerja ke? Bukan awak kerja kat US ke?"

"Dah berhenti."

Sesudu lagi masuk ke mulut. Lapar benar mamat ni!

"Habis tu, sekarang buat apa?"

"Duduk. Merewang. Bercuti. Cuci mata. Enjoy!"

"Mmm… gaya orang tak ada tujuan hidup aje!"

"Weih… mulut. Bisanya!"

"Betul la tu! Tak buat apa-apa. Pleasure semata-mata. Menghabiskan harta mak bapak aje. Saya paling benci laki macam tu!" selarku.
Ihsan berhenti menyudu. Matanya tepat memandang wajahku. Ada riak bengang di wajahnya.

Ada aku kisah?

"Oh, ye ke? Pandai cakap orang. Awak, apa tujuan hidup awak? Kahwin dengan orang kaya, kaut harta dia sampai dia jatuh miskin. Gitu?" tuduhnya.

"Cup, cup… bukan saya yang nak kahwin dengan Farriel Izumi tu, ek! The next thing you should know, saya ni bukan pompuan materialistic!"

"Yelah tu… so, lepas ni apa? Lahirkan the next heir of Izumi Corporations?"

"Hah? Apa?! Tidak sama sekali!"

Ihsan ketawa besar melihat wajahku yang kelat dan blushing.

Mamat ni memang suka ketawa dan tersenyum. Muka pun nampak manis aje. Kenapa la Si Izumi tu tak suka ketawa, ek? Okey, kalau tak ketawa pun, at least senyum. Tentu kacak macam rupa Ihsan sekarang. Isk, apa aku fikir ni? Aku ketuk kepala sendiri.

"Awak okey tak ni?"

Jam kukerling. Pukul sembilan malam. "Okey. Jom balik!"



SAMPAI aje rumah, Farriel dah tunggu kat ruang tamu. Bersedia untuk menjalankan proses soal siasat. Beg-beg kertas aku campak ke sofa, sebelum mencampakkan diri sendiri ke sofa hitam tu. Letih gila!

"Siapa tu?"

Muncung mulut dihala ke arah jalan. Menunjuk kereta Ihsan yang dah berlalu pergi.

"Ihsan," jawabku malas.

"Ihsan? Kata keluar dengan Hana?" soalnya pelik.

"Memang la. Tapi Hana ada hal tadi. So, dia suruh Ihsan hantarkan."

"Okey. Whatever! Mana baju aku?"

"Aku dah buang!"

"You… what?"

Kedua-dua kening Farriel seperti ingin bertaut.

"Aku dah buang baju tu!" jawabku dengan yakin.

Soal Farriel dengan mata merah menyala, "you’re joking, kan?"

"Nope!"

Muka Farriel merah padam. Dia mundar-mandir. Tangannya pulak mengusap-usap belakang leher. Kemudian ubun-ubun kepala pulak. Matanya dah macam mata burung helang nak makan mangsanya.

"Siapa yang bagi kebenaran kau buang baju tu? Kau ni bodoh ke pekak? Aku suruh kau jahit bahagian yang koyak aje. Bukan buang!" tempiknya.
Betul-betul kat depan muka aku. Terkejut aku dibuatnya.

"Baju tu dah nak hancur! Agaknya sebelum aku jahit, baju tu dah lunyai. Pakai aje la baju lain! Kau bukannya miskin baju pun!"

"Kau memang tak faham! Langsung tak faham! You know what? Kau adalah pompuan yang paling bodoh dan menjengkelkan yang pernah aku jumpa!!!"
Pandangan ‘maut’ tu diberikan lagi padaku, sebelum dia naik ke atas. Pandangan yang sama. Pandangan yang pernah diberikan kepadaku masa sekolah dulu.



ENAM orang pelajar lelaki muncul entah dari mana. Gaya pakaian dan cara jalan, dah macam crook dalam cerita koboi. Selebet. Necktie entah ke mana. Kemeja putih tak tight-in.

"Adly… my friend!" tegur salah seorang daripada mereka.

Head boy, Senior Adly tetap tenang.

Fasilitator yang lain tidak mengendahkan mereka. Sibuk membuat persiapan untuk acara riadah sebentar nanti.

"Qhuz… and the gang. Tolong jangan kacau junior-junior ni. Diorang ada program ni."

"Bagi la kami mesra-mesra dengan diorang. Diorang junior kami jugak apa. Dah tiga hari diorang dengan korang. Kita orang pun ada buat ‘special program’ untuk diorang apa?" kata senior yang satu lagi.

Pelajar junior yang duduk ala-ala berkelah di tepi pantai, mula bergosip sesama sendiri. Berdengung tengah padang. Matahari yang masih memancarkan kehangatan petang bukan lagi menjadi isu. Masing-masing sudah terbiasa ‘dipanggang’ sejak mengikuti minggu orientasi.

"Siapa diorang ni?" bisik Jue di sebelahku.

"Kau ingat aku kenal," jawabku perlahan.

Jue menggeleng. Tanda tak faham.

Aku angkat bahu. Group yang aku sendiri gelar Enam Jahanam masih ‘berdebat’ di tepi padang. Tiba-tiba salah seorang senior bermuka cengil dalam group tu memandang kami. Macam nak telan orang aje gayanya.

"Woi, junior! Tundukkan kepala korang! Jangan angkat kepala selagi aku tak suruh! Faham?!"

"Faham!" jerit kami. Kami melakukan seperti yang disuruh. Nak tak nak, kepala terpaksa ditundukkan. Mengira setiap helai rumput di padang.

"Siapa nama kau?"

Entah bila ‘dia’ berada di situ. Tau-tau aje dah mencangkung menghadapku.

"Woi, nama kau siapa? Bisu ke apa?!"

Bingit telinga aku ditempik. Aku tak ada suara la, bodoh! Dah korang dera kami melalak tengah padang siang malam pagi petang. Pen dan kertas aku keluarkan dari poket fail. Kertas ditarik. Cuma dua huruf ditulis – AD.

"Ad? Tu aje nama kau?"

Suara garaunya terus mengasak telingaku.

Aku mengangguk dalam keadaan tunduk. Nak jawab, takde suara.

"Woi! Aku tanya ni. Jawab la. Jangan kurang ajar, boleh tak?"

Buta apa? Dah macam burung belatuk aku mengangguk tadi. Dengan rasa marah, kepala aku dongakkan ke atas. Setentang dengannya. Itulah kali pertama aku bertentang mata dengan insan yang hanya mahu dikenali tanpa gelaran tengku di pangkal namanya. Farriel Izumi. Sebaris nama itu masuk dalam kotak memoriku. Dan hatiku.

Dia hanya memandangku. Tanpa suara. Tanpa reaksi. Cuma memandang dengan mata terbelalak dan mulut ternganga. Aku tak pasti mengapa. Yang pastinya, wajahnya seperti ternampak hantu. Pandangannya aku klasifikasikan sebagai pandangan ‘maut’ tahap ICU.

"Aril!"

"Aril, kenapa dengan kau ni?"

Dia tetap kaku di situ. Dan matanya masih melolot padaku, sebelum dia dibawa pergi oleh rakannya.

Kami terus berpandangan sehinggalah jasad kami hilang dari pandangan masing-masing. Pandangan yang membuatkan aku tak lena tidur malam; memikirkan mesej tersirat pada pandangannya itu.

Farriel Izumi….

0 comments:

Post a Comment