Ad + Iz

Karya Dari Eury Athena

APA KATA HEROIN?


"Kau bercakap senang la, Qhuz. Aku yang menanggung ni yang rasa sengsaranya. Aku tak sanggup nak lukakan hati orang. Aku juga tak sangup nak lukakan hati sendiri. Benda-benda berkaitan hati dan perasaan ni bukannya boleh ditentukan dengan teori buku. Ia rumit, abstrak, di luar kemampuan…."

APA KATA HERO?



"Adry, kenapa bukan aku? Kenapa Farriel yang berhati batu tu yang jadi suami kau?" keluhnya.

Ad + Iz - Bab 7

BAB 7

MANA ni? Tanganku terus membongkar segenap isi bilik. Tak cukup dengan tu, habis perabot di ruang tamu pula jadi mangsa pemeriksaan ala-ala penguatkuasa kastam.

Isk… mana aku taruh Si Kepam ni? Malam tadi ada aje masa aku tengok cerita hantu Korea tu. Takkan dah ghaib kut? Bukan teddy bear kecik tu boleh jalan pun. Paling tak pun jatuh bawah sofa atau meja. Tapi masalahnya tak ada. Celah sofa pun tak ada.

"Kau apehal? Terbongkok-bongkok. Cari apa?"

Farriel turun dengan short paras bawah lutut dan t-shirt pink. Pink? Lantak kau la! Janji kau berbaju. Kalau tak berbaju, haru aku jadinya.

"Kau ada nampak tak teddy bear aku warna putih? Semalam ada kat sini!"

Bawah meja aku intai. Tak ada. Celah-celah almari pun tak ada. Takkan ghaib kut? Si Kepam tu bukan ada ilmu ghaib pun!

"Last sekali kau letak kat mana?"

"Rasanya atas meja ni…."

Meja kaca tu aku pandang. Cuma surat khabar hari ni aje yang ada di atasnya.

Farriel garu kepala. Perlahan-lahan riak wajahnya berubah. Macam dah buat benda salah.

Tak ubah macam riak muka Bakhtiar, adik tiri aku yang dah pecahkan pinggan mangkuk yang ada kat dapur. Jadi, berasas la syak aku padanya!

"Aku rasa, aku dah terbuang teddy bear kau tu."

Aku segera berpaling menghadap Farriel. Tiba-tiba telinga aku jadi panas bila mendengar perkataan-perkataan yang meluncur dari mulutnya. "Izumi, we’re not playing hide and seek. Bagi balik teddy bear aku!"

"Betul la! Aku dah terbuang teddy bear kau tu masa aku kemas sampah atas meja ni semalam."

"Kat mana kau buang?" soalku. Nada suara masih kukawal.

Farriel menuding ke arah bakul sampah.

Aku berlari ke bakul sampah. Kosong! Dahi kutepuk. Pagi tadi aku dah buang sampah dalam plastik hitam tu dalam tong sampah besar kat luar. Biar senang lori sampah nak kutip. Aku berlari pula keluar. Berharap ada keajaiban berlaku.

Farriel yang masih tercengang-cengang, ikut aje belakang aku. Bila tong sampah tu aku buka dan selongkar, mulutnya jadi macam bertih digoreng.

"Weih, Ad! Kau ni apehal? Ad, yang kau pegi selongkar sampah tu apehal? Busuk la! Ad!"

Aku terduduk di tepi pagar itu. Si Kepam tak ada!

"Okey, aku minta maaf sebab buang teddy bear kau tu. Tapi teddy bear tu dah ‘teruk’ sangat. Kau pun satu. Pandai buat sampah aje. Aku ni jenis tak boleh tengok sampah… bla bla bla…."

Walaupun perkataan maaf terucap, namun nada suara Farriel langsung bukan dalam mood memohon maaf.

Aku bangun. Melangkah longlai masuk ke rumah. Air mata mula bertakung.

"Dah la, banyak lagi teddy bear cantik-cantik kat kedai. Beli aje lain. Esok aku bagi kau duit, okey? Case closed, boleh?"

Aku terus menonong menuju ke bilik.

"Ad!"

Bahuku terasa ditarik. Farriel memintas dan berdiri di hadapanku. Kedua-dua belah tangannya sudah mendarat di atas bahuku. Tanpa pilihan, langkah kumatikan.

"I said, I’m sorry! Sorry, okay!"

Aku tetap kaku. Kepala kutundukkan. Cuba menyembunyikan air mata yang bila-bila masa aje akan gugur.

"Ad! Kau dengar tak ni?"

Farriel menggoncang tubuhku. Aku masih dalam keadaan tadi. Farriel tundukkan kepala. Mencari wajahku. Dan… Farriel berundur ke belakang, setapak demi setapak menjauhi diriku. Tangannya sudah longlai di sisi tubuh. Aku terus berlalu masuk ke dalam bilik.

Farriel tersandar di dinding. Ad… crying? Kepala digelengkan. Otak enggan menerima input dari retina mata. She can’t be!



MID VALLEY dah dijelajahinya. Berjaya Times Square tak ketinggalan. KLCC dah dibuatnya macam gelanggang futsal aje. Lot 10 pun dah diputarnya dua tiga kali. Semua kedai yang ada menjual teddy bear dia ‘geledah’. Mencari wajah teddy bear kepam Si Ad.

Kaki lenguh minta rehat, langsung tak dipedulikan. Bila teringat air mata Ad yang mengalir tak henti-henti semalam, hati Farriel jadi tak tentu arah. Dan semangatnya berkobar semula untuk terus mencari dan mencari.

"Kalau teddy bear macam ni, kau rasa comel tak?"

Winnie The Pooh diangkatnya, lalu disuakan pada Qhuz.

Qhuz tergelak. "Woi! Kau ingat aku ni ‘dua alam’ ke apa? Aku mana main bear-bear ni, weih! Malam sikit, ek!"

Qhuz menolak Winnie The Pooh ke arah Farriel semula. Bimbang disalah anggap oleh pengunjung-pengunjung kedai yang dah mula bagi pandangan ‘laser’ ala-ala Kal-el, Si Superman.

Farriel letak balik Winnie the Pooh sebesar budak setahun. Ubun-ubun kepala dipicit-picitnya. Pening! Pening memikirkan kat mana nak cari teddy bear kepam yang serupa dengan teddy bear milik Ad.

Aku tak rasa teddy bear tu handmade. Kalau bukan handmade, mesti ada kedai yang jual teddy bear macam tukan? Masalahnya, di manakah kedai tersebut? Ha, kan dah skema soalan aku bagi ni!

"Apa kes ni, Ril? Lunch hour kau ajak aku ke Mid Valley. Tak cukup ‘ukur’ lantai konkrit kat situ, kau seret pulak aku ke Berjaya Times Square. Ni sekarang, KLCC, Lot 10. Lepas ni ke mana pulak? Pavilion? Alamanda?"

Qhuz pandang Farriel. Serabut sungguh. Lagi serabut dari masa menyiapkan tender. Padahal cari teddy bear aje. Bukan cari supplier barang ke apa!

"Aku cari teddy bear la. Warna putih. Tak! Tak berapa putih sangat la. Lepas tu, teddy bear ni besar lebih kurang tapak tangan aku ni aje. Rupa… kalau sekali tengok macam kambing. Dua kali tengok macam monyet. Tiga kali tengok macam ntah…."

"Ha ha ha! Teddy bear apa yang ada specification macam tu? Ha ha ha…!"

Farriel buat muka bengkek. Dalam pada tu, matanya liar memerhatikan kedai menjual teddy bear dan anak patung yang ada di situ.

"Qhuz, kalau kau datang sini sebab nak gelakkan aku, baik tak payah. Simpan gelak kau tu dan balik rumah, okey!"

"Yo! Jangan la emo, kawan… gurau aje la! Yelah, yelah, aku tolong… tapi kau punya description tentang teddy bear tu, tak membantu langsung! Cuba describe betul-betul. Kalau ada gambar lagi bagus!"

"Qhuz…!"

"Okey, okey! Mulut tutup, mata cari!"

Bila hari menginjak ke malam, Farriel mula putus asa.

"Apa kau dah buat dengan teddy bear Adry tu?" soal Qhuz. Serius.

Masa tu mereka lepak kat kedai mamak. Pekena teh tarik setelah misi pencarian menemui kegagalan.

Farriel buat muka terkejut. Sejak bila Qhuz jadi ahli nujum? "Mana kau tau?"

"Aku teka aje! Kira tepat la tekaan aku tu, ek?"

Farriel angguk kepala.

"Aku dah lama kenal kau, Ril. Kenal sangat dengan perangai kau. Satu-satunya pompuan yang boleh bagi kau hangin satu badan, yang boleh buat kau sesejuk iceberg, sepanas lahar volcano, pendek kata yang buat mood kau tunggang terbalik, dari dulu sampai sekarang adalah insan yang bernama Adrianna Mayesa. Itu pun selepas Ann ‘dipadam’ dari list."

Konfiden aje Qhuz buat spekulasi.

Farriel tarik nafas dalam-dalam. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Dulu Ann. Sekarang Ad. Ad.…

"Aku terbuang teddy bear dia. Sumpah, aku tak ada niat nak buang! Entah macam mana selamba aje tangan aku ambik teddy bear tu terus masuk dalam tong sampah. Mengamuk la Si Ad tu."

Qhuz geleng kepala. Letih tengok Farriel dan Adry beramuk sejak dari bangku sekolah. Dia tak pernah tau kenapa Farriel benci benar pada Adry. Bukan dia tidak bertanya. Cuma Farriel tak mahu menjawab. Farriel ni perahsia orangnya. Namun untuk kali ini, Farriel membuka mulut. Dan dari air muka Farriel, dia yakin Farriel tidak berbohong.

"Kau dengan Adry tu aku tengok memang dah padan sangat la tu. Sama-sama keras. Sama-sama ego. Sama-sama kaki melawan. Tapi ada keserasian. Cuba korang…"
Farriel angkat dua-dua belah tapak tangan. Minta Qhuz berhenti. "Qhuz… aku tak minta tazkirah kau pun. Please…."

Qhuz angkat bahu. Telan balik nasihat yang tak terluah tadi. "Aku cuma nak cakap, kalau kau perlukan nasihat aku, anytime kau boleh cari aku. Kau tau kan, aku ni bekas pembimbing rakan sebaya terbaik zaman kita sekolah dulu."

Farriel tersengih, tak percaya. Berlawanan sungguh dengan kenyataan! "Ye la sangat pembimbing rakan sebaya! Perosak rakan sebaya ada la! Ada ke kau suruh apek four flat tu hisap dua kotak rokok sekali gus! Nasib baik tak gol budak tu! Kalau tak, menjawab la kau dengan bapak dia tokey keranda tu!"

Qhuz tersengih. Teringat kembali kenangan ketika berada di tingkatan empat. Muka Lee Hai Nan yang kecewa dengan result examnya, tergambar.

"Aku menolong dia apa! Menjimatkan masa dia nak menghabiskan rokok-rokok yang dibeli. Jimat minyak lighter lagi. Ha ha ha! Kan langkah bijak tu!" Qhuz bela dirinya.
Farriel tergelak mendengar hujah Qhuz. Tak boleh pakai punya kawan! Tapi dia serasi dengan Qhuz. Boleh terlebih terkurang aje dengan mamat ni. Buat apa pun komited. Sebab tu dia syorkan pada Nenda Nerrisa agar Qhuz diambil bekerja di Izumi Corporations. Mujur Qhuz memang benar-benar layak. Jadi, tak la susah nak meyakinkan Nenda Nerrisa.

"Kau rasa, aku kena buat apa ek nak selesaikan ‘masalah’ aku dengan Ad ni?"

Qhuz petik jari.

Farriel membetulkan duduknya. Bersedia mendengar cadangan Qhuz.



BALIK dari jumpa Qhuz, Farriel terus naik ke bilik untuk bersihkan diri, solat isyak. Lepas tu mundar-mandir dalam bilik. Farriel menunggu datangnya sebuah keberanian untuk meminta maaf daripada Ad, seperti yang dicadangkan dek Qhuz tadi. Bilik Ad gelap. Farriel jenguk pula ke tingkat bawah. Meninjau di mana Ad. Susuk tubuh seseorang di halaman rumah, menangkap pandangan Farriel. Ad, tengah duduk kat kerusi batu di tengah laman. Tengah bermandikan embun.

Perlahan-lahan, Farriel menghampiri Ad. Ad tetap kaku di situ. Tak berganjak atau pun melarikan diri. Namun Farriel tahu, Ad sedar akan kehadirannya di situ. Farriel melabuhkan punggung, bersebelahan Ad. Tapi masih ada ruang antara mereka, khas untuk ‘emergency’ incident. Kut-kut Ad layang penumbuk ke….

Farriel di sisi aku kerling. Aku tak mahu dia berada di situ. Menyampah! Namun aku tak mampu nak menghalaunya. Ini rumahnya. Aku cuma menumpang di sini, sehingga kontrak kami tamat.

"Ad… aku nak minta maaf pasal teddy bear kau tu."

Mukadimah sesi meminta maafnya dimulakan dengan ayat itu.

"I didn’t mean…" sambung Farriel.

"It’s okay. Teddy bear murah dan buruk macam tu memang layak dok dengan sampah aje…" ujarku perlahan.

"Tak! Bukan macam tu. Maksud aku…."

Farriel diam. Tak mampu nak teruskan kata-kata. Tak tau perkataan apa atau bahasa apa yang patut dituturkan untuk membetulkan keadaan yang dah sedia kacau. Dia masih berfikir cara terbaik untuk meminta maaf.

Aku masih tetap berteleku di situ sambil memeluk kaki. Sesekali mendongakkan kepala ke langit. Menebar pandang pada dada langit. Mengira bintang yang berjuta. Merenung bulan yang tetap satu. Dan kenangan lalu terimbas serta-merta di layar pandang.

"Masa aku kecik dulu, aku selalu fikir. Kenapa aku tak ada ayah? Kawan-kawan aku yang lain semua ada ayah. Contohnya Siti. Dia ada ayah. Ayah dia baik, penyayang. Tiap-tiap kali nak pergi kerja, ayah Siti akan cium Siti. Kadang-kadang ayah Siti belikan Siti mainan, coklat, anak patung, baju, macam-macam la. Tapi aku… aku tak pernah dapat semua tu. Tapi aku tak pernah complaint. Sebab aku tau, ibu susah nak cari duit. Ibu terpaksa ambil upah cuci pakaian di rumah orang kaya, jahit baju, kadang-kadang jual kuih untuk tampung kehidupan kami sekeluarga…."

Kata-kata Ad berhenti di situ. Jari-jemarinya menyapu pipi.

Ad menangis… lagi sekali? Hati Farriel meruntun bila melihat keadaan Ad yang hiba. Bagaikan ada benda tajam menusuk hatinya. Bahagian dada kirinya ditumbuk perlahan. Ada masalah ke hati aku ni?

Air mata di pipi aku kesat. Menarik nafas dalam-dalam untuk meneruskan bicara. "Aku tak pernah kenal siapa ayah kandung aku. Satu-satunya ayah yang aku kenal, Pak Cik Bakar, ayah tiri aku yang suka berhutang dan menyusahkan ibu. Silap sikit, naik la penampar. Cakap lebih aje sikit, sepak terajang la jawabnya."
Aku berjeda lagi. Bulan penuh aku renung.

"Aku pernah minta Pak Cik Bakar belikan mainan untuk aku. Pak Cik Bakar marah dan tampar aku. Aku menangis. Ibu bergaduh dengan Pak Cik Bakar. Last-last, ibu pun kena pukul dengan Pak Cik Bakar. Sejak tu, aku tak berani minta apa-apa lagi. Satu hari, ibu bawak balik teddy bear. Ibu kata, teddy bear tu tak la mahal tapi itu aje yang mampu ibu beli. Aku suka sangat. Langsung tak pernah berenggang dengan teddy bear tu. Aku namakan teddy bear tu, Si Kepam. Sebab badan teddy bear tu makin lama makin kepam. Itulah benda pertama dan terakhir ibu pernah bagi pada aku. Masa umur aku lima tahun, ibu meninggal dunia. Cuma Si Kepam yang aku ada untuk mengadu nasib… dan keluarga tiri aku…."

Farriel kalih pandang ke arah Ad yang sudah diam. Mula mengerti mengapa teddy bear kepam itu penting dalam hidup seorang Ad yang keras hatinya.

"End of the story. R.I.P to Si Kepam.

Aku tarik nafas panjang-panjang.

"Kisah hidup aku sedih, kan? Kau mesti rasa kesian kat aku, kan?" Farriel yang turut merenung ke arah sang purnama, aku soal.

Farriel berpaling ke arahku. "Tak! Aku tak rasa kesian pun…."

Nada suara Si Farriel android kedengaran.

"Kenapa tak rasa kesian?"

"Sebab ada orang yang lebih malang dari kau!"

"Ye ke? Tak mungkin la…."

Aku macam tak percaya aje ada orang yang bernasib lebih malang dari aku. Mustahil….

"Nasib Ann lebih malang dari kau, Ad."

Farriel membuang pandang. Tanpa arah. Sekadar memandang kosong.

"Ann tu siapa?"

Soalanku tidak berjawab. Farriel masih membisu sambil merenung ke arah bulan. Seperti mencari sesuatu di situ. Mengungkap kenangan hidup dalam bentuk cerita.

"Ann tak pernah kenal mak dan ayah kandungnya. Dia dijual kepada sepasang suami isteri sewaktu bayi lagi. Masa umur aku dua belas tahun, aku jumpa Ann di lorong gelap. Dia lari dari rumah pelacuran. Ayah angkat Ann jual Ann pada ‘bapak ayam’ gara-gara berhutang."

Farriel sambung ceritanya. "Aku selamatkan Ann. Bawak Ann tinggal kat rumah aku. Mama papa tak pernah suka pada Ann. Tapi sebab hormat pada nenda, mereka terpaksa ambil Ann jadi anak angkat."

Mata Farriel sayu memandang langit malam.

"Ann keluar dari traumanya lepas beberapa ketika. Dia mula bersekolah, mula berkawan dengan aku, Ihsan dan Murni. Ann berubah jadi gadis yang periang, lincah, lucu, sentiasa bersemangat, tak pernah putus asa. Semua orang suka pada Ann. Mama pun mula terima Ann jadi sebahagian dari keluarga kami."

Tak semena-mena, Farriel mengukir senyuman lebar. Seperti ada yang melucukan. "Nama Izumi tu… cuma Ann aje yang berani panggil aku Izumi. Walau macam mana aku marah pun, dia tetap panggil aku Izumi. Katanya nama tu unik."

Barulah aku tahu mengapa Farriel marah benar bila aku memanggilnya Izumi. Rupa-rupanya ada kisah, ada kenangan, di sebalik nama tersebut. Ada rasa gembira, sedih, yang dirasainya saat Ann memanggilnya Izumi.

Farriel terdiam seketika. Rentak penceritaan Farriel berubah. Tempo scene air mata pula sekarang.

"Masa umur empat belas tahun, Ann selalu pengsan. Doktor sahkan Ann ada barah otak. Peringkat akhir. Darah beku yang kami tak pernah tau kewujudannya tu, rupa-rupanya dah lama menumpang di dalam kepala Ann. Ann tak pernah mengadu sakit. Dia sentiasa berpura-pura sihat. Dan dia tak pernah mengalah pada sakitnya. Ann berkeras nak jalani pembedahan walaupun harapannya sangat tipis. Akhirnya, Ann meninggal dunia ketika pembedahan tu…."

Air mataku automatik mengalir. Menangisi nasib malang Ann. Entah mengapa, cerita hidup Ann ni membuatkan aku insaf. Memang benar, nasib Ann lebih malang dariku. Sekurang-kurangnya aku kenal ibu kandungku, walaupun hayatnya tak panjang. Aku juga dikurniakan oleh Allah dengan umur yang panjang dan kesihatan yang baik. Alhamdulillah, ucapku dalam hati. Mensyukuri nikmat yang diberikan Allah.

Farriel tetap tenang. Tidak menangis. Cuma berwajah suram.

"Baju tu?" soalku dengan suara serak akibat menangis.

"Pemberian terakhir Ann sebelum dia pergi."

Aku angguk. Mula faham kenapa baju separuh lunyai tu begitu berharga di matanya. "Kau sayangkan Ann?"

Farriel diam. Memandangku sekilas sebelum membuang pandang ke hadapan. "Ann cinta pertama aku...."

Entah kenapa, kata-katanya terkesan di hatiku.

"Ann cinta pertama aku…."

"Iz…" panggilku perlahan.

Tiba-tiba aku teringat semula kata-kata Farriel.

"Nama Izumi tu… cuma Ann aje yang berani panggil aku Izumi. Walau macam mana aku marah pun, dia tetap panggil aku Izumi. Katanya nama tu unik."

Bibir bawah kugigit. Alamak… tersilap panggil. "Sorry! Aku terpanggil. Rasanya, aku tak sepatutnya panggil kau Izumi lagi lepas dengar cerita kau tadi."

"Takpe! Just call me Izumi. Rindu jugak nak dengar orang panggil aku dengan nama tu," kata Farriel.

Aku gosok batang hidung. Pulak? Takpe ke? Tak mengingatkan kau pada Ann?

Suasana menjadi hening kembali.

"Iz…."

"Hurm…."

"Sorry sebab buang baju kau tu. Kalau aku tau, mesti aku tak buat macam tu."

Wajah Farriel tak beriak. Cuma matanya memandang sayu ke arah sang bulan purnama. Langsung tak ada tanda-tanda nak membalas kata-kataku. Tapi aku tau, dia dengar apa yang aku perkatakan.

Diam. Masing-masing menala mata ke langit. Dingin malam kian terasa hingga ke tulang. Salakan anjing menimbulkan suasana seram. Namun aku tak terniat langsung nak melangkah masuk.

"Ad…" panggil Farriel.

"Hmmm?"

"Sorry sebab buang teddy bear yang ibu kau bagi."

"Hmmm…."

Itu aje yang aku jawab. Memang ada rasa sedih, marah, kecewa. Tapi, benda dah jadi. Apa nak buat? Kalau aku menangis air mata darah sekalipun, Si Kepam tak akan menapak balik dari pusat pelupusan sampah yang entah kat mana tu. Kalau aku maki hamun Si Farriel ni pun, buat perabihkan (menghabiskan) pahala aku yang dah memang sikit aje pun. Jadi, adalah lebih baik kami saling bermaafan. Aku pun dah buang baju yang Ann bagi kat dia. Kira adil la tu. Satu sama.

"Ad…."

"Hurm…."

"Sorry sebab sangka kau orang suruhan Marina. Tak pasal-pasal kau kena marah dengan aku hari tu."

"Takpe…."

"Iz…."

"Yap!"

"Sorry. Sebab salah faham tu, kau terpaksa kahwin dengan aku…."

Farriel mengangguk-anggukkan kepala. Bahagian bawah dagu digaru-garunya. Lagak seperti menimbang-nimbangkan perkataan maaf dariku.
Aku siku lengannya.

"Kau maafkan aku tak?" soalku garang.

Farriel senyum. "Tak ada apa-apa yang nak dimaafkan. Kau pun terpaksa kahwin dengan aku jugak apa! So, kira seri la…."

Kami berbalas senyuman. Kedinginan suasana malam yang semakin merangkak ke dinihari ini, benar-benar ‘membantu’ kami untuk berbincang dengan cara manusia yang bertamadun. Bukan seperti orang jahiliyah yang singkat akal dan menurut nafsu amarah semata-mata.

"Friends?"

"Never’ll be!"

Kami ketawa kecil. Dan bulan menjadi saksi. Farriel dan aku merenung ke dada langit sehingga ke dinihari. Tanpa suara. Dengan senyuman.

0 comments:

Post a Comment