Ad + Iz

Karya Dari Eury Athena

APA KATA HEROIN?


"Kau bercakap senang la, Qhuz. Aku yang menanggung ni yang rasa sengsaranya. Aku tak sanggup nak lukakan hati orang. Aku juga tak sangup nak lukakan hati sendiri. Benda-benda berkaitan hati dan perasaan ni bukannya boleh ditentukan dengan teori buku. Ia rumit, abstrak, di luar kemampuan…."

APA KATA HERO?



"Adry, kenapa bukan aku? Kenapa Farriel yang berhati batu tu yang jadi suami kau?" keluhnya.

Ad + Iz - Bab 20

Bab 20

ADLY menjenguk ke dalam bilik. Mata ayahnya terpejam rapat. Mungkin sudah tertidur dek keletihan. Dengan usia yang semakin meningkat, ditambah pula dengan penyakit jantung yang dihidapi, ayahnya mudah letih. Semenjak ayahnya menjalani pembedahan, keadaan ayahnya bertambah lemah. Bukan kerana pembedahan yang dijalankan oleh pakar jantung di hospital terkemuka itu gagal, tapi disebabkan kerinduan terhadap seseorang yang sudah tidak mampu dibendung lagi.

Diperhatikan keadaan sekeliling bilik. Mamanya tak kelihatan di mana-mana. Mungkin masih belum pulang dari majlis anjuran kelab yang dianggotai atau temu janji bersama pelanggan. Dalam hati, dia bersyukur. Memang dia kurang selesa bertemu atau berbual dengan ibu tirinya itu. Bukan kerana benci. Mungkin kerana hubungan mereka yang tak pernah rapat.

Perlahan-lahan dihampiri katil ayahnya, lalu duduk di kerusi yang ada di situ. Wajah tua si ayah diperhatikan dengan perasaan belas. Diusap dan dikucupnya ubun-ubun si


ayah. Ayahnya bergerak lalu mata yang tadinya terpejam mula celik.
"Adly…" panggil ayahnya perlahan.

Adly tersenyum. Diraihnya jemari ayahnya, dan didekatkannya bibir ke wajah tua itu.

"Ya, ayah…" jawabnya perlahan.

"Lambat kamu balik hari ni…" kata ayahnya setelah mengerling ke arah jam di meja.

"Kawan Adly masa sekolah dulu kahwin, yah. Jumpa ramai kawan kat majlis tu tadi, leka berbual sampai tak sedar dah tengah malam!"

Ayahnya cuma sekadar mengangguk.

Adly memicit-micit lengan ayahnya tanpa dipinta. Nafas ayahnya turun naik perlahan. Sesekali dia kelihatan amat payah sekali untuk berbuat demikian. Rasa sayu menggamit hati Adly. Ayah bukan lagi tokoh perniagaan yang gagah ke sana sini seperti lima, enam tahun lalu.

"Kamu dah jumpa Rabitah?" soal ayahnya.

Setiap kali menyebut nama perempuan itu, matanya akan bersinar. Seperti membayangkan kenangan indah yang pernah dilalui bersama-sama perempuan tersebut.

"Belum lagi, yah!"

Adly tunduk. Tak sanggup rasanya nak menatap sepasang anak mata yang sudah pudar sinarnya tatkala mendengar jawapan darinya. Sukar benar ingin dikhabarkan pada ayahnya bahawa pencariannya selama bertahun-tahun lamanya, belum lagi menampakkan hasil yang memberangsangkan. Masih samar-samar untuk mencari seseorang yang sudah lebih dua puluh tahun menghilangkan diri. Dia terdengar ayahnya mengeluh berat.


"Panjang sungguh rajuknya. Tebal lagi amarahnya pada ayah. Langsung dia tak tinggalkan jejaknya untuk ayah kesan. Di mana kau, Rabitah?"

Antara dengar tak dengar ayahnya menuturkan kata-kata itu. Seperti merungut sendirian dalam nada sedih gayanya.

"Sabar la, ayah… Adly janji, Adly akan cari dia sampai dapat!"

"Kamu mesti cari dia sampai dapat Adly! Sebelum ayah mati, ayah teringin sangat nak jumpa dan minta maaf dengan dia. Ayah dah banyak berdosa dengan dia."

Air mata ayahnya mengalir lagi. Seperti selalu, setiap kali ayahnya terkenangkan kesalahan dan dosa-dosa yang telah dilakukannya, hati tua ayahnya akan menjadi sayu.

"Ayah, ayah jangan putus harapan. Esok lusa tentu Adly akan dapat berjumpa dengan dia. Adly dah upah penyiasat profesional untuk mencari dia. Kita dah berusaha, selebihnya kita berdoa aje…"
Diusap-usapnya tubuh ayahnya. Meredakan kesedihan ayahnya.

"Yelah… siang malam ayah berdoa dapat dipertemukan dengan dia. Ini…."

Ayahnya mengeluarkan sesuatu dari laci meja. Sekeping gambar lama dihulurkan pada Adly.

"Adly ingatkan semuanya dah habis terbakar."

Lambat-lambat Adly menuturkannya. Terkejut dengan kehadiran gambar tersebut.

"Satu-satunya gambar Rabitah yang berjaya ayah selamatkan. Mungkin pencarian kamu akan lebih mudah dengan adanya gambar ni."


Adly menatap gambar tersebut. Gambar yang diambil lebih dua puluh lima tahun lepas. Walaupun sudah kabur dan hampir hilang warna gambar tersebut, namun jelas di matanya kegembiraan yang terpancar di wajah kedua-dua insan di dalamnya.

"Cantik!" puji Adly spontan.

Ayahnya tersenyum. Matanya jauh memandang ke suatu arah. Seperti sedang membayangkan sesuatu.

"Ibu kamu memang cantik. Rasanya dialah wanita yang paling cantik yang pernah ayah lihat. Tapi ayah terpikat padanya bukan kerana kecantikan semata-mata. Ayah terpikat pada ketulusan hatinya mencintai ayah dan sikapnya yang sopan santun. Tak ada sesiapa yang dapat menggantikan tempatnya dalam hati ayah."

Pintu bilik dikuak kasar dari luar. Muncul wajah Jasmine, ibu tiri Adly yang kepenatan.

Ayahnya segera mengisyaratkan agar gambar Rabitah disembunyikan dari pandangan ibu tirinya itu.

Adly akur.

"Hah! Adly, abang… apa yang dibualkan tu? Berbisik-bisik nampaknya! Ada rahsia yang mama tak patut tahu ke, Adly?" tegurnya lantang.

"Tak ada apa-apa, ma! Adly dengan ayah cuma berbual kosong aje…" dalih Adly.

Jasmine yang menanggalkan barang kemas di leher sekadar tersenyum sinis. "Tak usah nak bohong la, Adly! Mama tahu kamu dengan ayah kamu tengah merancang nak singkirkan mama dari syarikat dan rumah nikan? Mama tahu. Mama sedar yang mama dan Farah cuma menumpang harta-benda ayah kamu. Sampai masanya, kami akan disingkirkan."


Suara Jasmine seperti jauh hati.

"Apa yang kamu merepek ni, Jas! Abang tak pernah terfikir pun pasal benda tu semua!" bidasnya tegas.

"Jas tak merepek, bang! Memang betul pun Jas anak-beranak ni cuma menumpang. Siapalah kami di mata abang dan Adly. Jas cuma emak tiri pada Adly. Farah pulak sekadar adik tiri Adly. Kalau ditakdirkan abang ceraikan Jas, putus la pertalian antara kita."

"Ma, jangan cakap macam tu… Adly dan ayah sayangkan mama dan Farah. Walau apa pun yang terjadi, kita tetap bersaudara. Walaupun mama dan ayah tak berkahwin, mama tetap sepupu ayah. Adly dan Farah tetap punya pertalian darah. Adly dan ayah tak pernah terfikir pun nak diskriminasi mama dan Farah dalam apa jua perkara. Buktinya, ayah bagi sepenuh kepercayaan pada mama untuk kendalikan urusan syarikat, kan?" Terang Adly bersungguh-sungguh.

"Ye la… kalau dah itu kata kamu, kata ayah kamu, mama bersyukur kerana diberi ruang dalam keluarga ni…."

Adly menarik nafas lega. Jauh di lubuk hatinya, dia berasa tenang apabila ibu tirinya dapat menerima kata-kata yang dilafazkan tadi.

ADLY menarik keluar gambar yang sudah lusuh dari kocek seluarnya. Gambar yang diberikan oleh ayahnya sebentar tadi. Lama ditatapnya gambar itu. Wajah tampan seorang lelaki di usia mudanya bergandingan dengan seorang wanita cantik; Rabitah, ibunya. Perasaan Adly bercampur baur saat itu. Buat pertama kalinya dia menatap wajah ibu kandungnya. Kali


terakhir dia bertemu dengan ibunya kira-kira dua puluh tiga tahun yang lalu.

Bercampur baur perasaannya saat itu. Ada rasa rindu, sedih, gembira dan kecewa menguasai hatinya. Rindu kerana setelah sekian lama tidak bersua. Gembira kerana gambar itu mengingatkan dirinya kembali memorinya kepada wajah si ibu yang semakin kabur. Kecewa kerana hasil pencarian penyiasat upahannya masih samar-samar. Sedih kerana campur tangan arwah datuk dan neneknya membuatkan ibu dan ayahnya berpisah.

"Ibu kamu dulu bekerja sebagai penari kelab malam. Itu bukan kerelaannya. Tuntutan hidup membuatkan ibu kamu terpaksa mengikut saranan kawan-kawannya. Cuma dua bulan dia memegang gelaran itu. Kemudian ayah bertemu dengannya dan berkahwin dengannya beberapa bulan kemudian. Arwah datuk dan nenek kamu begitu bangga dengan kekayaan dan status mereka di mata masyarakat. Rabitah bukan menantu pilihan mereka. Jasmine adalah calon yang mahu dipadankan untuk ayah. Perkahwinan kami hancur akhirnya apabila ayah termakan fitnah-fitnah yang disogokkan kepada ayah. Ayah halau ibu kamu keluar dari rumah ini sehelai sepinggang."

Kelopak mata Adly basah. Sedih mengenangkan nasib ibunya yang menjadi mangsa kepada sikap materialistik arwah datuk dan neneknya. Adly bertekad dalam hati. Dia akan menggandakan usahanya untuk mencari ibunya!

2 comments:

  1. Unknown said...
     

    Next chapterrr kak, im begging you

  2. Unknown said...
     

    Please, next chapter

Post a Comment