Ad + Iz

Karya Dari Eury Athena

APA KATA HEROIN?


"Kau bercakap senang la, Qhuz. Aku yang menanggung ni yang rasa sengsaranya. Aku tak sanggup nak lukakan hati orang. Aku juga tak sangup nak lukakan hati sendiri. Benda-benda berkaitan hati dan perasaan ni bukannya boleh ditentukan dengan teori buku. Ia rumit, abstrak, di luar kemampuan…."

APA KATA HERO?



"Adry, kenapa bukan aku? Kenapa Farriel yang berhati batu tu yang jadi suami kau?" keluhnya.

Ad + Iz - Bab 1

BAB 1

AKU masih khusyuk di meja jahitku, langsung tak menghiraukan kereta yang lalu-lalang di luar cermin kaca butik. Baju kurung yang sudah hampir sempurna jahitannya, aku bawa dekat ke wajah.

"Adry!!!"

Suara Kak Timah meletup macam bom nuklear membuatkan jahitan tulang belut aku nyaris-nyaris bertukar jadi tulang ikan jaws! Tersasar dari tempat yang sepatutnya. Adoi! Haru betul la akak sorang ni. Kalau sehari tak menjerit tak sah. Dibuatnya macam latihan vokal pulak.

"Kenapa, kak?" soalku perlahan.

Dah petang-petang ni, bateri badan aku dah low….Sempat aku mengerling jam di dinding. Sepuluh minit lagi, masa kerjaku akan tamat. Katil di rumah sewa sudah terbayang di layar mata. Keseronokan dapat meluruskan segala tulang-temulang di atas katil sudah terasa-rasa.

"Puan Karen lupa bawak ni!"

Suara high pitch itu betul-betul mendarat di tepi telinga aku. Aku menggosok-gosok cuping telinga. Pekak la aku, kak oi!

Bila melihat tangan Kak Timah yang penuh dengan baju-baju lip lap-lip lap glamor tak ingat dunia dah tu, jantung kat dada aku rasa nak luruh. Mulut aku pun automatik ternganga.

"Baju fashion show! Puan Karen lupa bawak," rungut Kak Timah sambil membelek satu per satu pakaian yang elok berbungkus di dalam plastik.

Aku tepuk dahi. Biar betul? Ini sudah kira kes berat ni! Dari tak ada kerja, dah jadi ada kerja! Masak, masak….

Aku panjangkan leher, memerhati segenap ruang kedai. Kosong. Cuma ada aku dan Kak Timah sahaja di dalam butik ini. Aku mula rasa tak sedap hati. Hidung seakan dapat menghidu bau tak sedap yang bakal dihadapkan kepadaku. Puas mulut menghembus angin di kiri dan kanan, menolak bala beban kerja yang mungkin akan dihumbankan ke pundakku.

Jangan la… aku baru berangan nak balik awal. Dah seminggu kerja sampai tengah malam gara-gara nak siapkan baju-baju yang ditempah. Si Chot tu pulak sedap-sedap aje pergi honeymoon kat KwaZulu yang aku sendiri pun tak tahu wujud ke tidak tempat tu dalam peta dunia. Katanya seminggu, tapi ni dah masuk minggu ketiga. Dah sesat tak tahu jalan balik agaknya. Tak pasal-pasal aku terpaksa cover kerja-kerjanya yang tergendala.

Dan saat itulah aku teringat bahawasanya Suhaimi, budak despatch butik kami ambil cuti sakit hari ini.

"Adry, tolong hantarkan ke airport, ya! Akak rasa sempat lagi ni!"

Permintaan Kak Timah terasa bagaikan batu besar yang dihempap di atas kepalaku. Arahan tak bertulis Kak Timah merangkap orang yang diamanahkan oleh Puan Karen untuk menjaga butik, aku rasakan seperti hukuman mandatori: gantung sampai mati. Tak boleh tidak, mesti dipatuhi! Wajib!

Aku dah agak dah! Memang aku la yang kena pergi.

Budak-budak yang lain, Si Nini dan Sabariah, macam tau-tau aje ada ‘bala’ nak tiba, terus volunteer pergi rumah Datuk Wasil selepas makan tengah hari tadi. Kononnya nak tengok dan touch-up mana-mana patut sebelum majlis perkahwinan anak Datuk Wasil berlangsung esok. Padahal, masa aku pergi semalam, semuanya dah siap. Khemah dah tegak. Pelamin dah terhias cantik. Baju pengantin, bilik pengantin dan yang lain-lain semuanya dah tersedia. Tinggal langsungkan majlis aje. Kaki auta betul la budak-budak tu!

Dek kerana hormatkan Kak Timah selaku pekerja senior, aku sambut juga pakaian-pakaian yang dihulurkan. Muka yang pahit-pahit payau terpaksa aku maniskan. Punah-ranah harapanku nak balik awal hari ni!

Huh! Dari aku membebel, baik aku cepat-cepat hantar baju ni. Cepat hantar, cepat aku dapat balik. Kenderaan penuh sesak di jalan raya. Maklumlah, office hour baru sahaja tamat. Susah la nak dapat teksi macam ni, gerutu hatiku. Dah tiga kali tahan. Ketiga-tiga teksi ada penumpang. Aku dah terasa macam orang-orang aje kat tepi jalan ni. Terlambai-lambai dari tadi….

"Teksi!!!"

Dek kerana terlampau tension, aku menjerit sekuat hati.

Skreeet!!!

Ha, ambik kau! Tiga teksi berhenti mengejut kat depan aku. Cheh, rasa macam Lindsay Lohan dalam filem Just My Luck la pulak.

"KLIA, please!"

Dan teksi merah kuning itu terus meluncur laju sebaik sahaja aku meloloskan diri ke dalam perutnya.



LELAKI berusia hampir setengah abad itu masih tidak jemu-jemu memancing perhatianku dari tempat pemandu. Kenderaan yang bertali arus di lebuh raya langsung tak menghalangnya dari terus mencuri pandang wajahku. Tahulah aku ni gadis cantik yang kelihatan ayu bertudung. Tapi tak payahnya terteleng-teleng kepala tu!

"Apa nama cik adik ni? Tinggal kat mana? Boleh bagi nombor telefon kat abang?"

Abang? Yaiks!

Herot-berot mulut aku mendengar soalan pak cik teksi ni. Gatal tak kena tempat. Rumah kata pergi, kubur kata mari. Dari tadi asyik menoleh ke belakang. Bukan nak tengok kereta yang ada kat belakang, tapi nak tengok aku! Agaknya kalau boleh tanggal biji mata tu, dah ditanggalkannya dan letak kat belakang kepala. Sekali tersondol kereta kat depan, padan muka! Cepat la sampai… tak kuasa aku nak layan kerenah pak cik bergigi jongang ni!

Jejak aje tayar teksi kat kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), terus hidup nyawa aku. Aku terus keluar dari teksi. Baju-baju yang sudah dimasukkan oleh Kak Timah dalam beg aku angkut sekali.

Tengah aku tercangak-cangak mencari kelibat Puan Karen, mataku disajikan dengan drama sebabak antara seorang perempuan dengan seorang mamat ni. Pakwe dia kut. Yang perempuan tu punyalah cun, badan ala-ala model. Kalau orang kelentong aku cakap dia Miss Universe pun, aku percaya. Tapi mamat tu pulak chubby, misai dan jambang penuh kat muka. Itu tak cerita lagi bab baju yang dia pakai. T-shirt warna putih tu yang dah lusuh dan penuh dengan minyak hitam, berseluar jeans koyak sana-sini dan pakai selipar jepun aje. Pergh! Serabut betul mamat ni! Tak padan langsung dengan awek dia. Ibarat langit dengan bumi!

Hah… tu dia! Dia dah buat adegan tarik tangan dan bagasi si awek tu pulak. Si awek tu buat muka marah. Yang mamat tu pula buat muka bengang. Dua-dua bermuka tegang. Best ni! Silap-silap ada adegan menangis dan sesi melutut merayu pulak nanti. Ha ha ha… aku gelak dalam hati.

Suara lemak merdu announcer KLIA membuatkan aku menepuk dahi. Ya Allah! Macam mana aku boleh lupa tujuan aku ke mari? Mataku kembali meliar mencari susuk tubuh Puan Karen. Takkan dah masuk balai berlepas kut? Kalau ikut logiknya, dah memang dia kena ada kat situ sekarang. Flight dia akan berlepas bila-bila masa aje kalau ikutkan pengumuman tadi.

Tapi bila fikir-fikir balik, apa yang Puan Karen buat ni memang tak masuk akal langsung. Puan Karen yang aku kenal sangat teliti dan cerewet orangnya. Kalau boleh apa aje yang dia buat mesti kena perfect. Aku yang dah kerja hampir enam bulan dengan dia memang dah sedia faham dengan perangai perfectionist Puan Karen. High-expectation.

Tapi kali ni menimbulkan ‘misteri nusantara’ betul bila dia tak bawa baju-baju fashion show dia ni ke Thailand. Bukankah dia ke sana sebab ada fashion show? Kalau dah baju-bajunya takde, apa yang nak diperagakan oleh model-model dia tu? Takkan nak tayang body aje kut?

Aku segera memanjatkan rasa syukur kepada Allah kerana Dia mempermudahkan pencarianku. Nun di sana, aku ternampak Puan Karen tengah sibuk menilik sesuatu di salah sebuah kedai di situ. Dan... eh, eh! Dia dah menonong ke pintu balai berlepas la! No... no... no! Tunggu aku!

Tudung kepala aku perbetulkan. Ikatan tali kasut aku perkemaskan. Beg di tangan aku pegang erat-erat. Persediaan untuk lari pecut. Satu, dua dan... lari!!! Aku terus berlari. Garisan penamat aku adalah Puan Karen yang tengah tunggu turn untuk diperiksa barang-barang yang dibawanya. Hu hu… sempat ke ni? Tawakal aje la!

Dalam semput-semput berlari, aku terperasan mamat serabut yang dok bergaduh dengan awek dia tadi, turut sama dalam acara lari pecut kat lantai KLIA ni. Di belakang mamat serabut tu pulak ada dua orang lelaki lengkap dengan pakaian serba hitam. Siap cermin mata hitam lagi tengah mengejar dia. Dah macam gaya ala-ala Men In Black (MIB) pun ada aku tengok. Kemudian aku lihat lelaki-lelaki MIB tu pulak dikejar oleh lima orang anggota polis. Eh, siapa kejar siapa ni? Polis kejar MIB, MIB kejar mamat serabut, mamat serabut kejar awek dia. Gitu?

Kami menuju ke arah yang sama. Yang tak masuk akalnya pasal lelaki tu, dia boleh lari dan potong aku sedangkan akulah yang leading acara lari pecut ni tadi. Aku mengibaratkan dia macam treler yang sarat dengan muatan dengan kelajuan 110km/j. Logik ke? Memang tak boleh diterima akal langsung!

Dan entah macam mana, badan dia yang bersaiz XXL tu boleh melanggar aku semasa dia nak over take aku. Larianku tersasar ke deretan candies yang dipamerkan di luar deretan kedai. Dan…

"Aaahhh!!!" jeritku dengan mata tertutup. Tak berani nak menjangka apa akan terjadi.

Gedebuk!

Aku landing kat atas permukaan yang tak rata. Eh, bukan lantai sepatutnya rata ke?

"Cik, cik okey tak ni?"

Satu suara lelaki menyapa betul-betul kat sebelah telingaku. Aku buka mata. Terasa semua darah merah naik ke muka. "Hei! Apa awak buat ni? Gatal!"
Melengking suaraku ketika itu.

Lelaki itu terkejut mendengar nada suaraku yang tinggi. Anak matanya dibesarkan. "Awak jangan nak sesuka hati melabel saya, ye! Saya atau awak yang gatal? Awak sedar tak yang awak tarik saya sampai saya terjatuh!"

"Apa pulak saya?" bidasku.

"Cuba tengok kedudukan kita sekarang ni! Awak yang tarik saya sampai saya jatuh tergolek. Even your legs are on top of me now! Lepas tu awak boleh label saya gatal pulak? Are you nuts?"

Aku mengenal pasti kedudukan kami. Alamak! Rasa macam nak jadi orang halimunan aje bila tengok kebenaran yang terbentang di depan mata. Entah bila masanya aku sauk lelaki ni sampai kami boleh jatuh bersama. Mungkin tindakan refleks aku tadi sebab nak terjatuh.

"Will you move your legs off from me?" pinta lelaki itu dengan garang.

Sekali lagi aku termalu sendiri. Aku cepat-cepat angkat kaki dan berdiri dari terus menindih tubuhnya. Sedang aku kalut-kalut menyusun kata-kata manis bersulam maaf untuk lelaki itu, aku terasa bahuku dicuit oleh seseorang. Aku segera menoleh ke belakang.

"Cik adik, ingat teksi abang guna air ke? Tambangnya mana? Lain la kalau cik adik sudi jadi isteri nombor tiga abang. Abang boleh bagi diskaun!"
Pak cik teksi tersengih lebar menampakkan gigi jongangnya yang kuning.

Uweks! Nak termuntah aku. Ish, pak cik teksi ni tak blah lagi rupa-rupanya. Oh, aku lupa nak bayar tambang teksi! Patut la….

"Encik… aaa… pak cik. Ala… korang tunggu la sini kejap. Tunggu tau!"

Aku terus angkat kaki dari situ sambil melaungkan nama Puan Karen. Nasib baik dia tak masuk lagi ke laluan berlepas. Stuck kat mesin scanner.

"Adry, thank you so much! I betul-betul lupa nak bawa baju-baju ni. Terima kasih sekali lagi."

Terima kasih, terima kasih gak Puan Karen.... Balik dari trip ke Thailand nanti jangan buat-buat lupa pulak nak bayar duit overtime dan claim duit minyak teksi. Aku bukan tokei cop duit, weih!

"Takpe… have a nice trip!"

Selepas menepuk bahuku beberapa kali, Puan Karen terus berlalu pergi.

Fuh! Selesai satu bala. Dua bala lagi menunggu. Aku berjalan balik ke tempat pak cik teksi tadi. Lelaki yang aku langgar tadi pun masih tak berganjak dari tempatnya. Hmmm… bagus! Bertindak mengikut arahan.

"Pak cik, ini… ini…."

Aku seluk kocek seluar dalam-dalam. Eh, mana beg duit aku? Alamak! Takkan tertinggal kut?! "Aaa.…"

"Ada ke tak ada ni?" soal pak cik teksi itu dengan penuh curiga.

"Ada… tapi beg duit saya tertinggal kat butik."

Aku tersengih sambil buat muka poyo. Minta-minta ada la belas ihsan di hati pak cik teksi ni.

"Abis tu, macam mana ni? Abang nak balik pun tak ada duit. Minyak teksi yang ada tu pun, setakat sekerat jalan lepas la…."

"Maaf pak cik. Apa kata pak cik hantar saya balik ke butik. Nanti sampai sana saya bayar."

Tapi kalau dah minyak teksi dia cukup sampai sekerat jalan aje, sampai ke butik nanti? Masalah, masalah.

"Berapa tambang dia pak cik?" soal lelaki itu tiba-tiba.

"RM65.70."

Lelaki tu mengeluarkan walletnya. "Nah! Pak cik simpan aje la bakinya tu."

Dua helai not RM50.00 bertukar tangan. Mesti orang kaya ni. Kalau tak, takkan mudah sangat bagi duit. Eh, kenapa lelaki ni baik hati sangat? Aku kenal pun tidak dia ni. Entah-entah ada udang di sebalik batu. Seperti apa yang pernah dipesan oleh arwah ibu dan yang sering dinasihatkan oleh Kak Timah. Lelaki kaya ni mula-mula tabur budi, lepas tu ambik kesempatan ke atas kita sampai tergadai body.

Sorry la! Aku tak mudah termakan budi!

"Eh, apesal encik bayarkan tambang saya?" soalku bengang.

"La… saya nak tolong orang dalam kesusahan, takkan tak boleh kut?"

"Tapi saya tak minta pun encik tolong saya. Entah-entah encik ni ada muslihat nak kenakan saya, tak? Dengar kata orang kaya ni ada 1001 macam helah nak menipu," tempelakku.

"Do I look like ‘that’ kind of person, miss? Kalau saya nak ‘beli’ awak, saya takkan beli awak dengan RM100.00 la. Macam la saya ni sengkek sangat! Lagipun bukannya berbaloi beli awak!" gerutunya kegeraman.

Pak cik teksi tadi mengundurkan diri perlahan-lahan. Malas nak ambik port. Lagipun untuk apa? Duit dia dah dapat.

"Hah, tengok! Betul, kan sangkaan saya. Encik memang ada niat nak ‘beli’ saya dengan duit!"

"Eh, kenapa awak ni prejudis sangat? Awak ingat semua orang kaya tu jahat dan semua orang miskin tu baik? Nonsense. Dah la! Saya malas nak bertekak dengan awak. Saya dah jelaskan kerugian kedai candies tadi. And for your information, you owe me an apology and a gratitude!"

Lelaki itu berlalu pergi dengan bagasinya setelah menghadiahkan aku satu jelingan maut. Ada rasa kesal bermukim di hati. Bukankah aku sepatutnya berterima kasih dengannya sebab tolong bayarkan tambang teksi dan kerugian kedai tu? Ni lain pulak jadinya. Adry, Adry… mana pergi adab kau ni?

Aku pandang orang ramai di sekelilingku. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Dan seorang pun tidak aku kenali. Aku ni macam mana? Takkan nak bertapa kat KLIA ni? IC, duit, semua tinggal kat butik. Entah macam mana boleh timbul satu idea gila dalam otak aku ni. Dengan drastiknya aku berlari memintas langkah lelaki berlidah laser itu. Tangan aku depakan selurus-lurusnya di hadapannya.

"Now what?"

Muka dia nampak bengang sebengang-bengangnya.

"Encik, alang-alang encik dah buat kebajikan dengan bayar tambang teksi saya dan kerugian kedai tadi, apa kata encik buat lagi satu kebajikan."

Lelaki itu angkat kening.

"Tolong pinjamkan duit untuk tambang balik saya pulak?"

Melopong mulut lelaki itu mendengarnya.

Aku senyum dan angkat dua jari. Peace!



AIR MINERAL sejuk dalam gelas aku teguk sehingga habis. Kak Timah masih bercerita tentang rasa tidak puas hatinya terhadap salah seorang pelanggan kami.

"Ya Allah, Adry… akak betul-betul minta maaf sebab terpaksa susahkan Adry lagi. Masa akak lalu kat bilik Puan Karen, baru akak teringat pesanan Puan Karen sebelum dia pergi KLIA tadi. Dua tiga hari lepas customer ni cakap nak ambil sendiri. Pagi tadi, tiba-tiba pelanggan tu minta Puan Karen hantar baju-baju tu ke rumah kekasihnya. Dah la tu, siap marah-marah lagi. Adry tolong hantarkan, ek? Tolong akak, ek…."

Bila terpandangkan perut Kak Timah yang memboyot ke depan tu, nilai-nilai murni dalam diri aku mula timbul. Takkan aku nak biarkan Kak Timah yang sarat mengandung tujuh bulan berkejar ke rumah Tengku tu. Terberanak pulak akak aku yang sorang ni nanti!

Masa semakin suntuk. Kurang sejam sahaja dari masa yang dijanjikan. Nak tak nak terpaksa la aku menjejakkan kaki ke banglo bertaraf istana tu, menghantar tiga pasang baju yang ditempah. Sepasang night dress labuh, sepasang kebaya pendek warna putih dan sepasang kurung moden. Harga setiap satu aku sendiri kurang pasti berapa ribu. Tengok kain aje dah tau dah, kain jenis mahal. Tentulah harganya pun mahal.

Orang yang tempah baju ni pun satu, ambil sendiri tak boleh ke? Masa tempah tahu datang ke butik. Tup tup… bila dah siap, suruh kami hantar pulak. Dah la penat berkejar ke KLIA tadi tak habis lagi. Aku tak kira, aku nak paksa Puan Karen bayar triple untuk gaji hari ni lepas Puan Karen balik dari Thailand nanti. Ni dah kira ‘over-over’ time ni! omelku di dalam hati.

Dalam pada itu, pintu pagar dan pintu rumah dibuka. Sebelum orang gaji rumah besar tu sempat berkata apa-apa, seorang lelaki menerpa ke arahku.
"Akhirnya… datang juga you. Masuk! Kita dah tak ada banyak masa!"

Kita? Masa? Baru aje aku nak buka mulut, tanganku segera ditarik masuk. Dan pintu ditutup. Ooo…ooo….



"SAKITLAH! Awak ni nak bunuh saya ke apa?" jeritku lantang.

Lelaki lembut itu segera menjarakkan badannya.

"Honey, tak ada orang mati sebab cabut kening la. You duduk aje la diam-diam," katanya dalam nada lembut.

"Habis tu, dah sakit. Takkan nak diam aje? Saya ni bukan robot, tau!"

"I tell you what, untuk jadi cantik you kena la tahan sakit sikit. Takkan you tak nak ‘impress’kan your future-in-laws?"

Future what? Melongo mulutku mendengar. "Encik Lembut…"

"Nama I Che Nan la… bukan Encik Lembut, okey?" pintasnya. Tangannya mula beralih pada peti make-up yang bertingkat-tingkat macam rumah pangsa tu.

"Okey, Che Nan… mula-mula saya nak tanya, kenapa saya kena make-up, grooming bagai ni? Saya ke sini cuma nak hantar baju aje."

Mengilai Che Nan tergelak.

Dua orang perempuan merangkap pembantu Che Nan pun bantai sekali gelak.

Aku buat lawak ke? Dalam pada itu, tangan Che Nan ligat ‘menconteng’ warna di wajahku.

"Sayang, you ni nak buat lawak ke apa? Ke you ada temporary amnesia? Malam nikan you ada sesi berkenalan dengan keluarga bakal tunang you?"
Tunang?

"Well, at least itu yang diberitahu oleh Ku Makmur tadi...."

Sempat telingaku menangkap suara Che Nan menyambung ayatnya tadi.

Aku kerut muka. Aku? Nak bertunang? Biar betul? Kawan lelaki aku tak ramai, steady boyfriend langsung tak ada, macam mana pulak aku nak bertunang? Tak masuk akal betul semua ni! Satu-satunya yang aku pasti, Che Nan dah salah faham tentang kehadiran aku di sini. "Saya rasa ada salah faham kat sini. Saya tak kenal pun siapa bos awak. Saya cuma pekerja butik. Dan saya ke sini sebab nak hantar baju-baju tu aje."

Che Nan melentokkan kepalanya ke bahuku. Tudung di kepalaku yang sudah pun ditukar dengan tudung yang dibawa oleh pembantu Che Nan tadi, dibetul-betulkannya.

"Pekerja butik? Hmmm… you memang pandai berlakon. Sebab tu la paparazi Malaysia tak dapat kesan hubungan you dengan Ku. Whatever la! I tau, you ni mesti tengah gabra sebab nak jumpa keluarga bakal mertua, kan? Tu yang cakap pun merepek-repek. It’s okay! I pernah jumpa lagi teruk dari you."

"Tapi saya…"
"Okey, dah siap! Sekarang you boleh tengok cermin."

Aku tengok cermin di meja solek. Ya Allah, apa dah jadi dengan muka aku ni? Merah sana, biru sini. Hmmm… memang muka aku nampak lain. Bila tengok lama-lama, baru la aku sedar sesuatu. Cantik jugak aku ni, ek? Tak pucat lesi dan serabai (selekeh) macam selalu. Isk, betul ke aku ni?

"Betul ke saya ni?" tanyaku pada Che Nan.

"Kenapa? Tak cantik ke Che Nan solek?" balas Che Nan sambil bercekak pinggang.

Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi suara seseorang di luar bilik. Kalut la sekejap kami semua.

Beberapa saat kemudian, pintu bilik dibuka.

"Ku…" seru Che Nan manja pada lelaki yang menerpa masuk.

Hmmm… ni agaknya bos dia. Kelatnya muka! Lengan lelaki ‘terlebih lemak’ tu dikepitnya erat lalu dibawanya menghampiriku. Rasa-rasa macam kenal aje lelaki ni. Eh, bukan ke ni lelaki marathon kat KLIA tadi?

"Siapa perempuan ni?" soalnya kasar.

Tangan Che Nan yang melingkar di lengannya segera ditepis.

Che Nan tarik muka. Merajuk la tu! Bibirnya yang merah menyala tu dimuncungkan.

Cuma ada tiga orang perempuan aje kat dalam bilik ni termasuk aku. Tapi rasanya ‘pompuan’ yang dimaksudkan tu adalah... aku! Sebab mata dia asyik pandang aku. Perempuan dia panggil aku? Hek eleh, cantiknya bahasa!

"Your future fiancĂ©e la. Cantik sangat ke I solek sampai you dah tak kenal girlfriend you ni lagi…" jawab Che Nan dengan nada ala-ala merajuk manja.

Lelaki tu pandang aku atas bawah. Kemudian aku tengok mukanya berkerut-kerut. Huh, huduhnya (hodohnya) muka!

"Che Nan, aku nak cakap dengan perempuan ni kejap! Kami berdua aje…" ujarnya setelah selesai ‘menelaah’ aku.

Che Nan segera faham dengan arahan bosnya. Dua orang pembantunya digamit keluar.

Mata lelaki itu terus mengawasi Che Nan dan para pembantunya keluar. Sebaik sahaja pintu bilik tu tertutup, barulah dia memandangku semula.

"You must be the ‘woman’ or should I say the brave and crazy ‘woman’. The one and only woman who dares to take this absurd, childish, idiot job! For your information, I don’t like role play. I prefer real play. As long as you can do whatever I say, I will pay you triple as compared to the agreement that you have signed before!"

Aku melopong. Apa yang dia cakap ni? Role play? Agreement? Dari muka dan warna kulitnya aku tau dia ni bukan Melayu tulen tapi takkan tak boleh cakap bahasa Melayu kut? Elok aje dia cakap bahasa Melayu dengan Che Nan tadi. Ini mesti kes nak berlagak la ni!

"Encik ni cakap BM tak boleh ke? Masa SPM dulu failed BM ke?" perliku.

"Kenapa? Awak tak faham ke?" sindirnya pula.

Hah, kan boleh cakap Melayu tu!

"Tak!"

"Ridiculous! She could do better than this…" rungutnya kuat.

She? Siapa pulak tu?

"Oit! Meraban (merepek) apa pulak lagi ni?" perliku, sengaja mengenakannya.

"Okey, cik what-ever-your-name-is… saya akan bayar awak tiga kali ganda atau lebih daripada apa yang perempuan gila tu dah bayar pada awak. Dengan syarat awak ikut aje semua arahan saya. Dan mainkan peranan awak sebaik mungkin. Kalau boleh saya tak nak ada kesilapan. Saya nak lakonan yang real!"

Perempuan gila mana pulak ni? Puan Karen ke yang dia maksudkan? Ish… memang la Puan Karen tu gila sikit, gila perfect! Tapi itu dikira gila macam orang sakit mental jugak ke? Lelaki ni kenal Puan Karen ke? Datang butik pun tak pernah rasanya. Macam mana dia boleh kenal pulak? Peliknya….

"Peranan?" soalku. Dagu aku gosok-gosok dengan jari telunjuk.

"Hmmm… buat-buat tak faham pulak! Jadi kekasih saya untuk malam ni sahaja. Ingat! Saya tak nak sorang pun curiga atau tahu yang awak bukan kekasih saya. Saya tak nak awak malukan keluarga saya. Habis aje malam ni, kita boleh kembali macam sebelum ni; stranger a.k.a. orang asing yang saling tidak mengenali."

Ceh, siap tekankan lagi perkataan ‘sahaja’ tu!

"Entah malaun mana entah dok sebarkan cerita kata aku nak bawak awek. Sengal betul!"

Lelaki itu merungut sendirian. Memang sah lelaki ni yang gila!

"Encik ni gila la," ujarku spontan. Dah memang gila pun permintaannya.

"Kawan awak tu lagi gila! Tergamak dia buat saya macam ni! Rasa macam tak berharga satu sen pun!" bentaknya keras. Dia mula mundar-mandir di sekitar bilik.

Betullah… aku rasa lelaki ni tak gila tapi tiga suku atau pun setengah tiang. Ya Allah, kenapa aku harus terlibat dengan kegilaan orang ni? Sebelum aku terlibat dengan kegilaannya dan menjadi betul-betul sewel, lebih baik aku keluar aje dari sini. "Encik, saya ni sebenarnya…."

"Saya bagi awak masa tiga minit aje! Awak fikir la sama ada awak nak teruskan atau tidak. Kalau awak setuju... RM10,000.00 saya akan transferkan ke akaun awak sekarang ni juga. Baki lagi RM20,000.00 saya akan transfer selepas kerja awak selesai."

Aku kurang pasti dengan bentuk urus niaga yang cuba dijalankan dengan aku ni. Tapi yang pastinya otak aku mula mengimbas kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku di rumah minggu lepas. Adry, mungkin inilah caranya! Cara terbaik untuk membalas jasa, cara untuk menyelamatkan nyawa!

"Macam mana?"

"Saya setuju!" ujarku penuh yakin.

"Good!"

Dia meluru ke notebook yang sedia terpasang di sudut bilik. Menekan-nekan papan kekunci dan kemudian bertanyakan nombor akaunku. Beberapa minit kemudian, dia menghulurkan notebook itu kepadaku. Jarinya menunjukkan sesuatu di skrin. Wow! Dalam sekelip mata akaun aku dah ada RM10,021.72! Lumayan!

"Puas hati?"

Aku angguk kepala. Siapa tak suka bila dapat duit? Orang gila pun suka.

"So, kita jumpa kat bawah dalam masa sepuluh minit lagi. See ya!"



AKU masih berdiri di anak tangga. Mana malaun ni? Tadi kata nak tunggu kat sini. Aku dah tercangak-cangak kat sini macam orang tak betul aje. Pembantu-pembantu rumah dah pandang semacam aje kat aku. Dah la aku tak kenal sorang pun kat sini. Lelaki tu pun aku tak kenal jugak. Tapi at least aku dah borak-borak dengan dia tadi. Che Nan dan pembantu-pembantu dia pun dah lesap entah ke mana. Alah… menyesal pulak aku setuju dengan idea gila lelaki tu. Kan elok kalau aku tolak tadi. Dah tentu-tentu sekarang aku dah ada kat rumah makan mi Maggie asam laksa. Pergh!

Sempat lagi tak kalau aku nak tarik diri? Lelaki tu tak ada. Lagipun sorang pun tak tau ‘urus niaga’ yang kami jalankan. Tapi duit RM10,000.00 dah masuk dalam akaun aku. Problem betullah!

"Hai! Dah lama tunggu?"

Lelaki lengkap ber‘tuxedo’ tu terpacak di sisiku. Aku pandang lama dengan dahi yang berkerut. Siapa pulak mamat ni? "Aaa… awak ni siapa?"

Lelaki itu tersengih tak percaya. "Ler... (la…) bos awak la! Jom buat grand entrance!"

Bos? Eh, ni lelaki tadi tu ke? Ye kut. Mata dia sama. Cuma lelaki ni dah tak selekeh macam tadi. Dia dah buang segala misai, janggut, jambang semua. Bila dah buang semua nampak macam… errr... siapa ek? Tak ingat! Apa pun, boleh tahan juga muka dia ni! Aku tersengih sorang-sorang.

"Bagus! Saya nak awak senyum macam tu sepanjang majlis nanti. Ingat, semua soalan biar saya yang jawab. Kalau saya bagi signal, baru awak boleh jawab," arahnya.
Lengannya dihulurkan. Minta dipaut. Aku akur. Berlapik. Tak apa. Dan kami terus melangkah masuk ke ruang utama sebaik sahaja pintu dibuka oleh pembantu rumah.
Seorang lelaki kemas berkot hitam menghampiri kami. Bahu lelaki di sebelahku ditepuknya beberapa kali. Senyuman sinis dilontarkan ke arah kami. Lelaki ni... macam aku pernah nampak....

"Aril... semua orang heboh bercakap tentang kau dan bakal isteri kau. Aku ingatkan cerita tu sekadar khabar angin. Tapi nampaknya aku silap. So, this must be…."
Lelaki berkot warna hitam itu tidak terus menyambung kata-katanya. Hanya matanya yang melekat pada wajahku.

"Your girl... errr... Miss Prejudice?"

Bulat mata kami memandang antara satu sama lain.

"Mr. Charity?" Soalku dengan muka yang pelik.



BUNYI sudu dan garpu yang berlaga sesama sendiri seakan-akan lagu yang mengiringi irama sentimental yang bergema di segenap ruang makan. Masing-masing khusyuk menikmati hidangan setelah mengaminkan bacaan doa makan oleh Imam Masjid Negeri. Sesekali kedengaran bunyi ilai tawa dari meja-meja berhampiran. Seronok la diorang (dia orang). Diorang kenal antara satu sama lain. Dah kaum kerabat, mustahil tak kenal, kan? Aku aje macam kera sumbang kat sini. Tapi aku perasan ada sorang minah lebih kurang sebaya aku menangis tersedu-sedan kat meja sebelah. Sampai menimbun tisu atas meja dek hingusnya. Orang tuanya pula sibuk memujuknya.

"Kenapa Rianna? Makanan ni tak sedap ke?" soal Nenda Nerrisa yang duduk bertentangan denganku.

Orang tua ni adalah nenek pada ‘bos’. Pada perkiraan aku, umur dia dah nak masuk tujuh puluh tahun. Tapi masih cun dan kuat lagi. Caya la nenda!
"Bukan macam tu, nenda... cuma saya dah kenyang."

Terpaksa bohong sunat. Walhal perut aku berkeroncong minta diisi sejak sajian makan malam dihidangkan.

Makanan yang dihidangkan bukan tak sedap. Semua makanan orang-orang kaya. Mana ada ulam petai, pucuk pegaga, ubi, ikan bilis yang biasa kami makan di kampung. Yang ada... lobster, stik, salad dan segala macam makanan mewah yang tak pernah aku lihat depan mata apatah lagi nak menjamahnya.

Bukannya aku tak teringin nak makan. Yelah, benda free depan mata. Cuma aku takut lakonan aku tak menjadi. Yang aku dapat makan cuma salad hiasan kat hidangan lobster tu aje. Itupun ‘bos’ dah siku aku sebab salad tu jatuh atas meja. Aku kuis sampai jatuh ke bawah. Nasib baik tak ada orang yang perasan.

‘Boyfriend’ aku ni pun satu! Bukan nak tengok aku kat sebelah ni. Entah pengsan ke, tertelan garpu ke? Sedap aje dia menyudu. Patut la badan semangat (gemuk)!
"Rianna mesti rasa kekok sebab tak kenal rapat lagi dengan kami, kan?"

Aku siku ‘bos’. Kata nak bagi signal sebagai petunjuk aku boleh jawab atau tak soalan yang diajukan tapi dia tak buat sebarang signal pun. Signal orang kebuluran macam sepuluh tahun tak makan adalah dia buat. Menyudu aje kerjanya.

‘Bos’ angkat kening dengan mata bulat macam mata naga nak makan orang. Marah la tu aku kacau konsentrasi makannya.

"Jawab aje la," bisiknya dengan mulut penuh.

Buruk makan betul!

"Betul, nenda. Saya tak sangka keluarga nenda ada makan besar malam ni. Ingat jumpa gitu-gitu aje," jawabku penuh sopan.

Memang itu sebahagian dari lakonan aku. Tapi rasanya tak ada sebab aku nak kurang ajar dengan Nenda Nerrisa. Dia baik dengan aku. Layan aku macam cucu sendiri. Sampai aku lupa yang dia bukan nenek aku.

"Bukan keluarga nenda. Keluarga kita…."

Nenda Nerrisa membetulkan ayatku.

Aku telan air liur. Keluarga kita? Bila masa pulak aku jadi sebahagian dari keluarga ni melainkan aku… ‘bos’… oh, tidak!

Mama dan papa ‘bos’ cuma menjeling aje. Agaknya diorang tak suka aku. Tak suka sudah! Aku pun malam ni aje jadi ‘awek’ anak kau.

Mr. Charity yang berada di hujung meja utama pulak asyik pandang aku. Atas kepala dia macam ada tanda soal sebesar KLIA dan soalan sebanyak penumpang airbus.

"Nenda bersyukur sangat dapat jumpa dengan bakal isteri Aril sebelum tutup mata. Rianna pun tahu kan, Aril ni dah layak kahwin dah. Nenda kalau boleh nak kamu kahwin secepat mungkin. Yelah, nenda ni dah tak lama lagi…"

"Nenda, kenapa cakap macam tu? Nenda kan Aril punya wedding planner? Kalau boleh Aril nak nenda jadi pengapit pengantin Aril," potong ‘bos’ aku.

Nenda Nerrisa ketawa kecil.

Mereka yang duduk di meja utama pun turut ketawa.

Kecuali Mr. Charity.

‘Bos’ memang pandai buat lawak. Lawak bodoh!

"Nenda ni dah tua. Selalu sakit-sakit. Asyik keluar masuk hospital. Doktor pun dah muak tengok muka nenda yang berkedut ni."

"Jangan risau, Aril akan kahwin tahun ni. Kan Aril dah janji!"

Tiba-tiba Nenda Nerrisa bertepuk tangan. "Bagus la kalau kamu cakap begitu! Alang-alang semua dah ada ni, apa kata Aril kahwin malam ni aje!"

"Hah?!"

Ternganga mulut aku. Lalat bagi salam nak masuk pun aku tak sedar.

"Nenda, Aril tak sedia nak kahwin sekarang!"

Sudu dan garpu terlepas dari tangan ‘bos’. Cadangan Nenda Nerrisa membuatkan seleranya mati.

"Ma, Aril kan tak sedia lagi?" bantah mama ‘bos’.

"Ma, Aril tak stabil lagi… for God’s sake, he’s only twenty five years old!" tukas papa ‘bos’ pula.

"Nenda, it’s too soon!"

Beberapa orang saudara-mara ‘bos’ turut membantah cadangan Nenda Nerrisa.

Nenda Nerrisa bangun lalu menepuk meja.

"Enough!" jerit Nenda Nerrisa. Dia memegang dadanya. Nafasnya turun naik dengan kencang.

Suasana di meja makan kembali sunyi.

Nenda Nerrisa duduk semula.

"Nenda, marrying a girl almost at midnight is ridiculous!" ‘Bos’ bantah lagi.

"Korang dah tiga tahun bercinta. Dah rancang nak kahwin pun tahun ni. Jadi, apa salahnya kahwin malam ni aje? Sama aje!"

"Tapi kita tak ada preparation, ma…." Mama ‘bos’ bersuara tegas.

"Pasal hantaran, majlis resepsi dan yang lain-lain, kita tolak tepi. Kita buat yang wajib aje! Akad nikah. Rianna pun anak yatim piatu. Lagi senang kerja kita."

Aku pejam mata. Nenda Nerrisa berkeras. Dia ada jawapan kepada semua bantahan yang dibuat. Nampaknya ‘bos’ aku ni dah terjerat dengan permainannya sendiri. Yang tak bestnya aku pun turut dijerat!

"Tapi nenda, cuba nenda fikir. Mana ada pejabat agama buka malam-malam ni. Syif kadi pun dah abis."

Bagus! Teruskan ‘bos’! Jangan cepat mengalah. Ni soal hidup mati kita ni!

"Betul tu nenda… lagipun kerja kahwin ni ambil masa. Saya nak juga rasa dapat hantaran lima belas ke dua puluh dulang. Sirih junjung tu boleh jugak la buat gosok-gosok kat gigi. Bunga manggar untuk buat hiasan dalam bilik. Confirm, memang kita orang tak boleh kahwin malam ni."

"Kamu ni semua… berani bantah… cakap nenda…kamu…."

Nafas Nenda Nerrisa turun naik secara abnormal. Tangannya dah kejap memegang dada.

Nenda Nerrisa ada sakit apa? Asma? Jantung? Paru-paru?

Dan kami mula panik bila Nenda Nerrisa rebah. Nasib baik sempat disambut oleh papa ‘bos’.

"Nen… nenda nak… Aril kahwin… malam ni juga… ni permintaan terakhir nenda!"

Aku dan ‘bos’ berpandangan dengan wajah pucat. Mata masing-masing dah terbelalak dek mendengar permintaan terakhir Nenda Nerrisa.
Lepas masuk kandang harimau, masuk pulak kandang buaya? Haru!



AKHIRNYA mimpi buruk yang tak pernah aku bayangkan terjadi juga. Khayalan indah disunting oleh putera raja idaman hati cuma tinggal kenangan. Lakonan selama tiga jam tiga puluh minit dan tiga puluh sembilan saat, akhirnya berubah menjadi satu kenyataan yang menakutkan. Terikat dalam sebuah perkahwinan yang langsung tak pernah terlintas di dalam benakku.

Wajahku disolek cantik oleh Che Nan. Tubuhku disaluti dengan pakaian pengantin warna putih gading. Sedondon dengan tudung. Bilik ‘pengantin’ku penuh dengan kerabat perempuan ‘bos’. Semua mata asyik tertumpu padaku. Maklumlah, ini merupakan kali pertama ‘bos’ bawa balik awek misterinya. Selama ni diorang dok fikir yang ‘bos’ bercinta dengan orang halimunan! Dek takut awek ‘bos’ cabut lari, tu la idea nikah express ni timbul dalam kepala nenda ‘bos’.

Nenda Nerrisa nampak relaks berbanding tadi. Mati-mati aku ingat dia kena heart attack. Bila aku cakap aku setuju kahwin dengan cucu dia, terus aje sakit dia hilang. Rupa-rupanya Nenda Nerrisa lagi pandai berlakon! Dah terlajak kata, terpaksalah….

"Tengku Farriel Izumi bin Tengku Mohamad Faris, aku nikahkan engkau dengan Adrianna Mayesa binti Ismail Al-Hussein dengan mas kahwinnya RM330.39 tunai."

Tengku Farriel Izumi? Huwargh huwargh huwargh…! Aku tergelak besar dalam hati. Rasa nak terguling-guling kat lantai mendengar namanya. Lawak dan tak pernah dibuat dek orang! Izumi… macam nama orang Jepun aje. Tapi… kenapa aku macam pernah dengar aje nama tu, ek? Siapa? Isk… tak boleh ingat!

"Aku terima nikahnya Adrianna Mayesa binti Ismail Al-Hussein dengan mas kahwinnya RM330.39 tunai."

Suara ‘bos’ jelas kedengaran. Menyambut akad yang dilafazkan oleh tok kadi.

"Sah?"

"Sah!"

"Sah!"

Sah! Tengku Farriel Izumi Tengku Mohamad Faris tu Farriel Izumi. Aril... ala… mamat pelik yang pernah satu sekolah dengan aku dulu. Senior yang paling sengal yang pernah aku jumpa. Senior yang tak pernah senang dengan kehadiran aku kat sekolah tu. Ada aje rancangan nak mengenakan aku. Mampus la aku!

Farriel masuk ke bilik. Menundukkan badan dan menyarungkan cincin emas putih ke jari manisku. Demi terpandangkan berpasang-pasang mata yang memerhati, aku paksakan diri untuk menjayakan upacara membatalkan air sembahyang itu. Dalam keadaan separuh rela, aku tunduk mencium tangannya. Kerlipan kamera digital menyilaukan mata.

"Ad, kita jumpa lagi rupanya…." Bisiknya setelah selesai mengucup ubun-ubunku.

Dia ingat?

Mata kami bertentangan. Pandangannya penuh makna. Sukar kutafsirkan maksud pandangan itu. Yang pastinya, ia bukan sesuatu yang baik.
Tiba-tiba duniaku terasa gelap!

0 comments:

Post a Comment