Ad + Iz

Karya Dari Eury Athena

APA KATA HEROIN?


"Kau bercakap senang la, Qhuz. Aku yang menanggung ni yang rasa sengsaranya. Aku tak sanggup nak lukakan hati orang. Aku juga tak sangup nak lukakan hati sendiri. Benda-benda berkaitan hati dan perasaan ni bukannya boleh ditentukan dengan teori buku. Ia rumit, abstrak, di luar kemampuan…."

APA KATA HERO?



"Adry, kenapa bukan aku? Kenapa Farriel yang berhati batu tu yang jadi suami kau?" keluhnya.

Ad + Iz - Bab 13

BAB 13

SUNYI. Kosong. Tiada Farriel. Tiada lagi suaranya menjerit, membebel. Tiada lagi bayangnya. Tiada lagi aura kehadirannya di mana-mana. Semuanya tiada.

Sejak malam kami bergaduh tu, Farriel jarang-jarang balik ke rumah. Terfikir juga aku yang dia ada rumah lain. Tapi tak pernah pulak aku tau. Takkan Farriel bermalam di rumah Marina? Tak mungkin! Tak mungkin sedangkal itu ilmu agama Farriel.

Entah apa yang merasuk minda. Entah apa yang mendorong tubuh badanku. Gerak langkah kaki terus aje menghala ke master bedroom. Menceroboh masuk ke bilik Farriel. Aku pandang sekeliling bilik itu. Masih seperti dulu. Bezanya, dulu Farriel selalu ada di meja kerjanya. Menyudahkan kerja-kerja pejabat yang bertimbun. Sekarang, tidak lagi….

Katil yang berselerak aku rapikan. Buku-buku yang elok tersusun, aku susun semula. Laptop di atas mejanya aku buka dan hidupkan. Koleksi lagu-lagu Melayunya, aku mainkan. Lagu-lagu yang aku paksa dia download di Internet. Macam nak perang dunia ketiga waktu tu. Mengingatkan saat-saat itu membuatkan aku tersenyum sendirian.
Kemudian aku melangkah ke almari bajunya. Aku buka almari itu. Kemeja dan pakaian-pakaian Farriel tersusun rapi di situ. Tak pasti apa yang aku cari. Sekadar ingin merasakan kehadirannya di situ. Aku lurut satu per satu bajunya. Bila sampai giliran kemeja biru mudanya, aku tanggalkan baju itu dari penyangkutnya. Aku bawa ke hidung. Cuba menghidu bau badan Farriel yang masih bersisa. Seketika rinduku lerai.

Aku melangkah pula ke balkoni. Menengadah ke langit malam. Tiada bulan. Tiada bintang walaupun sebutir. Langit kelihatan mendung malam ni. Ruang bilik dilatari muzik dari laptop. Lagu Merinduimu dari D’Masiv mula bergema. Satu per satu bait-bait lirik lagu memasuki ruang pendengaranku.

Saat aku tertawa….

"Yang warna merah ni sayur apa?"

Sayur apa? Aku cuma masak sayur campur aje; kobis, kacang buncis, lobak, brokoli. Aku mencari ‘sayur merah’ yang dimaksudkan di pinggan makan Farriel.

"Itu cil…"

Belum sempat aku menegah, Farriel terus masukkan sayur merah ke dalam mulut. Dikunyahnya. Seketika kemudian mukanya bertukar menjadi merah padam.

"Li." Aku menyambung kata.

Air dalam gelas diminumnya dengan rakus. Air di gelasku juga turut menjadi mangsanya. Tak cukup tu, air masak dalam jag diteguknya juga.

"Pedas!" ujarnya seraya menjelir-jelirkan lidah.

Dan kami sama-sama tertawa melihat gelagat masing-masing. Farriel dengan muka kepedasannya dan aku dengan riak mukaku yang kengerian melihat reaksinya.

Saat aku menangisi kesedihanku….

"Dah la tu…" pujuk Farriel.

Farriel duduk di sebelahku. Kotak tisu dihulurkan padaku. Aku tarik beberapa helai buat mengesat air mata dan hingus.

"Semalam baru aje dia dengan aku… tup-tup hari ni dia dah mati kena langgar. Sedih la aku…."

Farriel menggeleng. "Kucing aje, Ad. Kucing jiran pulak tu. Relaks la…."

Aku ingin engkau selalu ada…

Aku ingin engkau aku kenang….

Satu kucupan hinggap di belakang leher.

"No, I think the dress really suits you. You look beautiful in it. Really…"

Suara garau itu singgah di cuping telinga. Tangan Farriel melingkari pinggangku.

Selama aku masih bisa bernafas

Masih sanggup berjalan

Ku kan selalu memujamu…

"Kau nak buat apa?"

"Nanti aku cium, baru kau tau."

"Ci… um…?"

"Hmmm… cium! Macam ni."

Meski ku tak tahu lagi

Engkau ada di mana

Dengarkan aku…

Ku merindukanmu…

Kemeja Farriel aku ramas dan bawa lagi ke hidung. Mencari lagi aura kehadirannya di situ. Tanpa sedar air mataku mengalir.

Dengarkan aku…

Ku merindukanmu…

Farriel menjenguk ke bawah. Menghayati pemandangan dari tingkat sepuluh di bilik hotelnya. Kenderaan masih bertali arus. Suasana di sekitar masih hingar-bingar.
Namun kepalanya sunyi sahaja. Kepala ditala ke langit. Cuba mencari sang purnama dan bintang. Hampa. Tiada satu pun yang kelihatan. Dan ingatan pada Ad menjelma….

Dengarkan aku…

Ku merindukanmu….



TANGAN dah mula menggendang stereng kereta. Deretan kenderaan atas jalan dan cuaca panas mula meletihkan dirinya. Jam di tangan dipandang sekilas. Lambat lagi. Masih ada dua jam sebelum temu janji dengan Encik Shiroka dari Jepun. Lampu isyarat masih berwarna merah. Ah… bosannya!

Tie tanpa corak terasa seperti menjerut batang leher. Pantas dilonggarkannya. Handphone yang berbunyi dipandang sekilas. Handsfree Farriel lekatkan ke telinga. Butang hijau ditekan. Lampu isyarat bertukar warna. Serentak itu pedal minyak ditekan. "Helo."

"Encik Farriel, saya Erin. Adry… Adry… dia sakit!"

Suara cemas Erin menerpa di telinga.

Buntang mata Farriel mendengarnya. Hampir terbabas keretanya ke tepi. "Korang kat mana sekarang?"

"Kampus."

"Tunggu sampai saya datang!" arahnya pada Erin.

"Okey," balas Erin.

Panggilan dimatikan. Melilau mata mencari tanda U-turn di sisi jalan. Pusingan U segera dibuat. Pedal minyak ditekan lagi. Ad… kau okey ke? Butang telefon ditekan. "Helo, Sheila. Batalkan semua meeting dan appointment saya!"

"Tapi, Tengku, Mr. Shiroka…"

"I said all, Sheila!"

Panggilan dimatikan. Handphone yang berkali-kali berbunyi tidak dihiraukan. Cuma ada satu dalam fikirannya. Ad!

Sesampainya di kampus, Farriel terus berlari ke foyer fakulti. Melilau matanya mencari kelibat Ad atau Erin. Tiada. Dia mula bertanyakan beberapa pelajar di situ.

"Adrianna? Erin dengan sorang lelaki dah bawa dia ke klinik rasanya." Jawab sorang pelajar pompuan yang tadinya elok berdiskusi dengan rakan-rakannya.
Dan dari penerangan yang diberikan, Farriel tahu siapa lelaki yang dimaksudkan. Ihsan!



MELINTAS aje Ihsan depan biliknya, Farriel bingkas bangun dari kerusinya. Ihsan dijejaki. Tanpa ketukan, tanpa izin, tanpa salam, meluru dia masuk dan…

"Aril?"

Buk!

Penumbuk sulung dihadiahkan pada Ihsan.

Ihsan yang tadinya elok berdiri, terperosok di kaki kerusi. Ihsan mengaduh kesakitan. Darah di tepi bibir dikesatnya. "Woi! Apa hal kau ni?"

"Itu untuk kau yang ganggu isteri aku!"

Ihsan bangkit. Mengepal buku lima sebelum melepaskan tumbukan. Tepat mengenai pipi Farriel.

Farriel terduduk di sofa.

"Itu khas untuk suami tak berperasaan macam kau!"

Farriel bangun. Pipi yang mula bertukar warna dirabanya. "Ad tu bini aku. Jangan nak over dengan dia!"

"Isteri? Siapa isteri kau? Mana isteri kau? Isteri sendiri demam pun kau tak ambik peduli!"

"Adrianna Mayesa tu isteri aku!" Farriel menuding jari ke diri sendiri.

Ihsan ketawa mengejek.

"Isteri konon! Betul ke Adry tu isteri kau? Habis tu, kenapa kau layan dia macam sampah? Bila kau nak, kau datang. Bila kau tak nak, kau buang. Suami apa kau ni?" tempelak Ihsan. Ditujah-tujah dada Farriel.

Farriel menepis kasar jari Ihsan. "Macam mana aku layan dia, itu hal aku. Kau tak usah ambik peduli! Itu bukan urusan kau pun!"

"Ya! Itu urusan aku!" bantah Ihsan.

"Sejak bila?"

"Sejak aku mula kenal cinta. Sejak aku mula jatuh cinta pada Adrianna Mayesa Ismail al-Hussein!"

Farriel terpempan mendengar pengakuan Ihsan. Kini dia tidak perlu berteka-teki lagi. Ihsan dengan rela hati sudah mengakui rasa hatinya. "Ad isteri aku…."

"Ya! Aku tau. Aku akan tunggu sampai kau ‘lepaskan’ dia!"

"Aku takkan lepaskan dia!"

"Kau dah ada Marina. Dia tukan buah hati kau! Now she’s back. Go and marry her. Jangan seksa Adry semata-mata kerana ego kau. Dia manusia macam kau, macam aku. Dia juga ada perasaan! Lepaskan Adry!"

Farriel geleng kepala beberapa kali. Tidak percaya dengan permintaan yang dibuat oleh Ihsan. Melepaskan Ad? Sesuatu yang tak pernah terlintas di fikirannya.

"Jangan ganggu Ad lagi. Kalau sekali lagi aku nampak kau buat tak senonoh dengan dia, aku tak tau apa yang aku akan buat pada kau! So, help me God!"
Farriel bergegas keluar dari bilik itu.



PINTU bilik Ad dibuka oleh Farriel perlahan-lahan. Ad yang sedang nyenyak tidur diperhatikan dari dekat. Nafas Ad teratur menandakan tidurnya lena. Wajah tenang Ad direnungnya lagi. Mukanya pucat berbanding biasa.

"Lepaskan Adry!"

Dia teringat semula kata-kata Ihsan siang tadi. Hatinya berbolak-balik. Separuh hati mengejek perbuatan diri; mencintai dan melamar Marina tetapi tetap mahu Ad di sisi. Separuh hati lagi menyokong perbuatannya itu atas dasar putik cinta yang baru bercambah. Dia mula keliru.

Dia tidak mahu menjadi manusia kejam dan mementingkan diri. Ad sudah ada pilihan hati, mengapa perlu disekat kebahagiaannya? Perjanjian yang dibuat sebelum ini juga ada menyebut bahawa kontrak perkahwinan mereka akan terbatal sekiranya salah seorang sudah memiliki kekasih dan ingin komitmen yang lebih serius bersama pasangan.

Aku ingin engkau selalu ada….

Aku ingin engkau aku kenang…

Melepaskan Ad… serasanya itu sesuatu yang mustahil untuk dilakukan pada ketika ini.

Selama aku masih bisa bernafas

Masih sanggup berjalan

Ku kan selalu memujamu…

Farriel meletakkan tapak tangan di dahi Ad. Cuba menganggarkan suhu badan Ad. Seketika kemudian dia menganggukkan kepala. Berpuas hati dengan suhu badan Ad yang normal.

Meski ku tak tahu lagi

Engkau ada di mana

Dengarkan aku…

Ku merindukanmu…

Ubun-ubun Ad diusap perlahan. Rasa hangat itu menjalar di segenap tubuhnya. Ada satu perasaan halus menusuk terus ke hati dan jantungnya. Perasaan yang hanya dapat dirasai bila bersama dengan Adrianna Mayesa….

Ubun-ubun terasa diusap. Siapa? Kepala masih sekilo rasa beratnya, tidak kuhiraukan. Mata kubuka perlahan-lahan. Dalam samar cahaya, aku terlihat Farriel. Mimpikah aku? "Iz… Izumi?"

"Syyy… sorry buat kau terjaga. Just checking on you. Tidur la balik," bisiknya perlahan. Selimut ditarik hingga ke paras dada Adry.

"Iz…" panggilku lagi, masih keliru antara mimpi dan realiti.

"I’m here… tidur, okey?"

Mata kupejamkan semula. Jari-jemari Farriel tetap di situ. Membelai dan mengelus-ngelus rambutku. Rasa mengantuk kembali bertamu. Sebelum aku lena dibuai mimpi, dahiku terasa dikucup.

Aku harap sangat ini bukan mimpi. Jika mimpi, aku mahu terus tidur. Tolong jangan kejutkan aku kerana aku ingin terus bermimpi. Aku ingin terus dimanjai, disayangi dan dicintai oleh seorang lelaki bernama Tengku Farriel Izumi… rasa dimanja, disayangi dan dicintai oleh seorang lelaki bergelar suami.

Sungguh… aku tidak mahu keluar dan rasa indah ini.

1 comments:

  1. Anonymous said...
     

    Lucky Club Online Casino Site Review - LuckyClub.live
    LuckyClub.live is an online casino and gambling website. This gambling luckyclub.live site was established in 2007 and since then has expanded to include a number of

Post a Comment