Ad + Iz

Karya Dari Eury Athena

APA KATA HEROIN?


"Kau bercakap senang la, Qhuz. Aku yang menanggung ni yang rasa sengsaranya. Aku tak sanggup nak lukakan hati orang. Aku juga tak sangup nak lukakan hati sendiri. Benda-benda berkaitan hati dan perasaan ni bukannya boleh ditentukan dengan teori buku. Ia rumit, abstrak, di luar kemampuan…."

APA KATA HERO?



"Adry, kenapa bukan aku? Kenapa Farriel yang berhati batu tu yang jadi suami kau?" keluhnya.

Ad + Iz - Bab 12

BAB 12

"YOUR place is with me, Adry. Be with me. Stay with me. Saya akan layan awak lebih baik dari Aril. Coz I love you… I love you so much. Lebih dari apa yang boleh awak bayangkan."

Aku tergamam. Sunyi seketika alam di sekelilingku. Ihsan cintakan aku? Lawak apa ni?

Dan bila Ihsan cuba merapati dan merangkul tubuhku, aku pantas menepis tangannya. Aku segera menjarakkan kedudukan kami bila Ihsan cuba merangkulku sekali lagi. Jarak yang cukup untuk Ihsan tidak berbuat apa-apa di luar kewarasan fikirannya.

"Ihsan, banyak mana pun awak cintakan saya tapi tolong hormat status yang saya sandang sekarang," kataku tegas.

Terkulat-kulat Ihsan mendengar.

Namun aku tidak peduli. Aku masih isteri Farriel, walaupun aku tak pasti sehingga bila gelaran itu akan aku pegang.

"Saya cintakan awak…" ulangnya lagi.

"Maaf. Saya tak cintakan awak. Saya anggap awak macam kawan aje. Paling tidak pun sebagai abang," tegasku.

Aku sudah masuk ke pekarangan rumah. Kini, pagar rumah menjadi pemisah kami.

"That’s hurt… tapi itu lebih baik dari menipu, kan?"

Ihsan tersenyum tawar. Cahaya di matanya sudah pudar. Tidak seperti ketika mula-mula dia meluahkan rasa hatinya. Namun, sinar harapan di matanya masih menyala.
"Saya isteri Farriel."

Aku harap kenyataan itu akan memberi jawapan atas luahan hatinya tadi.

"Saya akan tunggu sehingga dia lepaskan awak."

"Saya tak cintakan awak," akuiku jujur.

"Saya akan tunggu sampai awak jatuh cinta pada saya!"

Bersungguh Ihsan menegaskan pendiriannya.

"Kalau saya tak jatuh cinta pada awak sampai bila-bila?" dugaku.

Riak kecewa semakin ketara di wajah Ihsan.

Aku jadi belas melihatnya. Sungguh, jika aku punya kuasa untuk mengalihkan rasa cinta, sudah tentu aku akan mengalihkan rasa cintaku pada Ihsan. Tapi aku cuma insan biasa. Dan cintaku sudah dibawa pergi oleh seorang lelaki bernama Tengku Farriel Izumi.

"Saya percaya kalau saya ikhlas mencintai dan menyayangi awak, saya akan memperolehi cinta awak suatu hari nanti. Dan saya akan tunggu sampai hari itu tiba."
Perlahan kata-kata itu dilafazkannya. Namun ada harapan, keazaman dan keyakinan tersemat di dalam kata-katanya.

"Ihsan…."

Tak mampu aku mengungkapkan sebarang kata-kata lagi. Rasa bersalah dan simpati mula merajai hati.

"Jangan rasa bersalah. Dan jangan sesekali rasa simpati. Saya takkan paksa awak untuk mencintai saya. Sebab saya nak awak ikhlas mencintai saya."
Aku terdiam. Kejamkah aku menolak cintanya?

"Saya balik dulu."

Seketika kemudian Ihsan berlalu pergi.



FARRIEL masih memandu. Sekejap tadi dia dah berpusing-pusing di pusat bandar. Bosan dengan kesibukan yang tak pernah berakhir, dihalakan pula kereta ke pinggir bandar. Kepalanya masih ligat memikirkan perkara yang berlaku pada dirinya kebelakangan ini.
Kepulangan Marina yang pada sangkaannya akan melenyapkan segala kerunsingan dan kekeliruan hidupnya. Kehadiran Marina yang pada perkiraannya akan menyemarakkan lagi rasa cinta antara mereka berdua. Namun sebaliknya yang berlaku. Dia sering berasa kehilangan di celah-celah momen-momen indah bersama Marina. Seperti ada yang tidak lengkap. Seperti makanan yang kurang rencah perisanya. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia berasa begitu. Yang pasti, Ad selalu berada di ingatannya, walaupun ketika dia bersama Marina.

Apa yang dilihatnya petang tadi benar-benar membuatkan dirinya kecewa. Egonya tercalar. Sangkanya Ad juga punya perasaan yang sama sepertinya. Sangkanya Ad menyayangi dan menyintainya sepenuh hati. Sangkanya Ad setia kepadanya.

Rupa-rupanya dia silap dalam membuat pertimbangan. Ad juga punya kehidupannya sendiri. Ad juga berhak punya kekasih hati; yang menepati cita rasanya, yang sentiasa ada untuk dirinya, yang menyayanginya sepenuh hati. Lelaki pilihan hati Ad adalah Ihsan, abang sepupunya sendiri. Ihsan, lelaki yang selalu ada untuk isterinya, terutama sekali ketika isterinya berada di dalam kesusahan.

Farriel mula menyalahkan diri sendiri. Dia sepatutnya tahu yang Ihsan dan Ad saling menyintai. Justeru itu mereka tampak serasi bersama. Mereka saling memahami. Tidak seperti dirinya dan Ad yang sering bertelagah walaupun dalam hal sekecil hama. Dia juga kesal kerana hampir-hampir melanggar perjanjian yang telah mereka persetujui; mereka tidak boleh jatuh cinta antara satu sama lain, dan pihak kedua tidak boleh masuk campur dalam urusan hati pihak pertama.

Di akhir perjalanan tanpa arah itu, Farriel memasang tekad. Dia harus meneruskan hidupnya. Ad berpijak di bumi yang nyata. Ad sedar bahawa perkahwinan mereka tidak akan bertahan lama. Maka, Ad telah memilih Ihsan sebagai pengganti dirinya. Justeru itu, dia juga akan meneruskan kehidupannya. Dia harus buktikan bahawa dia juga mampu hidup bahagia… tanpa Ad!



BUNYI loceng dari luar pintu apartmen membingitkan telinga sehingga memaksa Marina menekup kedua-dua belah telinganya dengan bantal. Malangnya usahanya tidak membuahkan hasil. Marina mula hilang sabar.

"My God! Orang gila mana yang datang malam-malam buta ni?" jeritnya kuat. Bergema kamar tidurnya seketika.

Tertekan dengan perangai gila tetamu tak diundang itu, Marina segera turun dari katil. Gaun tidur satin dicapainya. Dipakainya agar penampilannya nampak sopan walaupun gaun itu sekadar mampu menutupi singlet tali halus dan seluar pendek yang dipakainya. Loceng yang ditekan bertalu-talu membuatkan Marina berkejar ke pintu.
"Kejap!" jeritnya dari dalam.

Selak pintu ditarik ke tepi. Tombol pintu dipulas. Dan demi dia terpandangkan wajah di hadapannya, dia terkejut. "My God! Farriel?"

Tercengang-cengang Marina melihat wajah kekasih hatinya yang kelihatan tak terurus dan keletihan. Dirapikan rambut Farriel yang kusut-masai. Kemudian, diusap-usapnya ubun-ubun Farriel. Cuba menenangkan Farriel. Cuba memberi semangat kepada Farriel yang kelihatan seperti sudah patah hati. Pelik! Farriel menekan loceng apartmennya berkali-kali sewaktu malam sudah merangkak ke pagi. Sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Tengku Farriel Izumi. "Farriel, are you okay? Kenapa ni? You nampak exhausted sangat and… terrible… awful."

Farriel masih tetap begitu. Tetap berdiri sambil menundukkan kepala. Sebelah tangannya ditopangkan ke dinding, menahan berat badan.
Marina panik. "Farriel…."

Farriel mengangkat wajah kali ini. Memandang tepat ke arah Marina. Namun bukan wajah Marina yang terbias di retina mata dan di minda. Wajah Ad dan Ihsan dalam keadaan ‘mesra’ itu yang tergambar.

Tenaga yang masih bersisa, dikumpulkan. Wajah Marina yang beriak terkejut, pelik dan penuh tanda tanya dipandang setepat-tepatnya.

"Marina…" panggilnya antara dengar dan tidak.

"Yes…."

Marina menunggu sambungan kata-kata dari mulut Farriel.

"Will you… marry… me…?"

Tergagap-gagap Farriel menuturkan lamaran itu.

Membulat anak mata Marina. Kedua-dua belah tapak tangan ditekup ke mulut. Menutup mulut yang terbuka luas dek terkejut. Seketika kemudian pecah tawa gembira di mulutnya. "Oh, my God! Farriel! You are proposing me, aren’t you?"

"Yes." Wajah Farriel masih tetap begitu. Tak beriak.

"Yes! Yes! The answer is yes, Farriel! I agree to be your wife!"

Marina teruja terhadap lamaran Farriel itu. Lamaran yang telah lama ditunggunya semenjak menjejakkan kaki ke Malaysia semula. Lamaran yang tidak disangka-sangkanya akan dibuat oleh Farriel pada pukul dua pagi! "I gembira sangat! Finally! I janji, I akan jadi isteri yang paling baik untuk you. And I will be loving you forever!"

Marina pantas meluru ke arah Farriel. Dipeluknya Farriel erat-erat.

Dan Farriel hanya berdiri kaku di situ. Tanpa emosi.


"SAYANG! Cantiknya cincin ni! I nak cincin ni jadi cincin kahwin kita, boleh?"

Cincin emas putih bertatah berlian yang sudah tersarung di jari manis, ditunjukkan kepada Farriel.

Farriel tersenyum cuma. Sebentar tadi, Marina berkenan dengan cincin emas bermata satu. Kemudian cincin yang tertanam beberapa biji berlian. Pada pandangannya, semua cincin sama sahaja. Cuma sekadar cincin bagi mengikat sesebuah perhubungan. Namun terlintas di fikirannya, bagaiman agaknya rupa bentuk cincin perkahwinannya bersama Ad? Dia tidak pernah perasan akan rupa bentuk cincin tersebut di jari manis Ad. Emaskah? Emas putihkah?

"Farriel, you ni kenapa? Asyik termenung aje. Ada masalah ke?"

Cincin di jari manis sudah dikembalikan kepada gadis di kaunter. Tumpuannya kini pada Farriel yang berwajah keliru.

Farriel mengukir senyuman. "Takde apa-apa la. I okey aje."

"Okey you kata? Jasad you aje yang ada dengan I, tapi fikiran you entah melayang ke mana."

Marina berpaling ke arah bertentangan. Memeluk tubuh. Menandakan konfrontasi sudah bermula.

Farriel tarik nafas panjang. Bahu Marina dipegang dan dipusingkannya agar menghadap ke arah dirinya. "Marina, I’m sorry okay? You tau kan, I sekarang sibuk dengan projek kat JB tu. Terpaksa ulang-alik. So, I betul-betul letih."

"Tapi kita kan tengah buat preparation untuk wedding kita. Banyak lagi yang kita tak buat. Dewan, pelamin, baju lagi," rungut Marina.

"Ya. I tau. Kita bukan nak kahwin esok pun. Paling cepat pun, tiga bulan dari sekarang. Kita buat slow-slow okey…."

"I tak tau kenapa. Tapi I dapat rasakan yang I sorang aje beria-ia buat preparation. You macam… relaks aje!"

"Iye la… I bersungguh la ni!" Farriel pura-pura sibuk menilik cincin yang ada di situ.

"Ye la sangat! Kalau you bersungguh, bila wakil papa dan mama you nak masuk meminang I?"

Farriel tergamam. Masuk meminang? Wakil dari papa mama? Maksudnya, aku kena cakap dengan diorang yang aku nak kahwin lagi satu? Atau beritahu aku nak bercerai dengan Ad? Berterus terang yang Ad tu isteri kontrak aku aje, dan Marina kekasih hatiku yang sebenar?

Tak pernah dia terfikir semua itu. Perkara ini lagi rumit dari apa yang dia bayangkan.

"La, I ingat you ni wanita moden. Tak pakai lagi dah upacara merisik meminang ni semua. Nak kena buat benda-benda tu juga ke?"

"Mesti la… I nak majlis bertunang dan kahwin yang grand. Ada lots of roses, ada kereta kuda, ada macam-macam la. Biar terbeliak sikit mata sedara-sedara I tu! Dan I dengan bangganya akan memperkenalkan you sebagai tunang dan bakal suami I. Mesti diorang jealous dengan I sebab dapat pikat lelaki hensem, kaya macam you. Keturunan Tengku lagi!"

Marina sudah mula membayangkan majlis pertunangan dan perkahwinan impiannya itu.

"Pasal tunang kahwin tu kita cakap lain kali aje la ek?"

Kata-kata Farriel melenyapkan terus angan-angan Marina.

"Kalau you asyik tangguh nak cakap pasal benda ni, asyik tangguh nak bawa I jumpa mama papa you, sampai bila-bila pun kita tak akan kahwin sayang…!" bentak Marina.
"Relaks la. Bila tiba masanya, I akan bawa you jumpa diorang okey! Seriously…" janji Farriel.

Hakikatnya, dia sendiri tak tahu macam mana nak ‘menghadap dan menjawab’ soalan seisi keluarganya kalau hal ini diutarakan kelak.
"Serius?! Serius apa kalau asyik bertangguh macam tu?! Dah la!" Marina tarik muka empat belas.

Farriel senyum segaris. Marina kalau merajuk boleh berhari-hari lamanya, kalau tak kena cara memujuk. Kalau Ad… Ad lagi yang aku ingat! Kenapa susah sangat nak lupakan Ad walaupun sehari? Macam mana la keadaan Ad sekarang? Sejak Marina balik, jarang-jarang benar dia bersua muka dengan Ad, walaupun mereka serumah. Dia keluar rumah, Ad tengah sibuk kat dapur atau mandi. Masa dia balik rumah, biasanya Ad dah tidur.

Ah! Buat apa aku nak sibuk-sibuk pasal Ad? Dia kan dah ada Ihsan, playboy US yang dah jinak tu. Biar Ihsan aje la yang menjaganya. Tapi, tergamak ke aku nak lepaskan Ad pada Ihsan yang aku tahu tahap kasanovanya yang tinggi menggunung tu? Pompuan sebaik Ad tu, kalau boleh biar la dapat kat lelaki yang baik-baik.
Bahu terasa ditepuk. Kuat. Sampai lenguh bahu dibuatnya.

"Tengok tu! You berangan lagi! Dah la!"

Terkedek-kedek Marina meninggalkan Farriel di kedai menjual barangan kemas itu.

Alamak! Aku mengelamun lagi!

Menyedari kesilapan diri, Farriel pantas mengejar Marina yang semakin menjauh. Dipautnya bahu Marina. Marina menepis. Dicubanya lagi memaut bahu Marina. Kali ini disertakan dengan ayat-ayat cinta. Hati Marina mula cair. Terus hilang rajuknya. Mereka terus berdampingan ke butik pengantin berhampiran.



"HISH, nenda ingat benar tempatnya! Sepatutnya kat tingkat ni, Rianna," rungut Nenda Nerrisa.

Aku meninjau-ninjau ke sekitar aras tiga shopping complex itu. Mencari butik pakaian pengantin yang diceritakan oleh nenda sebentar tadi, semasa kami dalam perjalanan ke sini. Tak ada pun. Aku balik ke tempat nenda berdiri.

"Tak ada pun nenda. Mungkin kita salah level kut," telahku sendiri.

Wajah nenda nampak muram. Mungkin kesal kerana gagal mengingati lokasi butik rakannya, sehingga menyebabkan kami terpaksa berpusing di sekitar aras ni beberapa kali.

Aku pimpin nenda ke bangku yang ada di situ. Kesian nenda… dalam keadaan bertongkat macam tu, digagahkan juga kaki menapak dari satu shopping complex ke satu shopping complex yang lain semata-mata nak mencari baju pengantin terbaik untukku. Bila aku sarankan dia naik kerusi roda, dia menolak. Katanya dia nak exercise. Lagipun ada tangga bergerak dan lif. Tak la sesusah mana pun, katanya.

"Nenda duduk sini kejap, ek… Adry nak pergi beli air untuk nenda. Nenda nak minum air apa? Nak makan apa-apa?" soalku.

"Nenda tak nak makan. Kamu beli air aje untuk nenda. Air apa pun nenda tak kisah."

Mendengar jawapannya, aku terus bergegas ke kios berhampiran. Buntu memikirkan air apa yang nak dibeli untuk nenda, akhirnya aku membeli jus untuk nenda dan diriku sendiri.

Dan ketika itulah aku terperasan akan sepasang kekasih yang begitu asyik memilih pakaian pengantin di salah sebuah kedai di situ. Jus carrot yang aku sedut terasa seperti pasir. Cuma deria rasa pahit sahaja yang berfungsi ketika itu.

Farriel kelihatan begitu mesra dengan gadis berwajah Pan-Asian itu. Tak perlu berteka-teki kerana aku sudah tau, itulah Marina Irriani. Gadis yang dikejar oleh Farriel di KLIA kira-kira tujuh bulan lalu. Gadis yang membuatkan lena Farriel tidak panjang. Gadis yang membuatkan tubuh Farriel kalis air. Gadis yang membuatkan Farriel mengambil tindakan drastik dengan mengahwiniku.

Aku segera mengalihkan pandangan. Enggan menyaksikan lagi kemesraan mereka berdua. Air mata yang bertakung di birai mata, aku segera kesat. Dengan senyuman yang dibuat-buat, aku menapak kembali ke bangku yang diduduki oleh nenda. Dan tubuh yang semakin longlai cepat sahaja aku labuhkan ke bangku; bersebelahan dengan nenda.

"Kenapa muka kamu pucat sangat ni, Rianna?"

Nenda yang kehairanan segera menegur. Jus yang aku hulurkan, diletakkan di tepi bangku. Tubuhku diusapnya dengan penuh kasih sayang.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Kemudian kulepaskannya. Senyum nipis kuukir buat nenda. "Tak ada apa-apa, nenda. Tiba-tiba Adry lapar pulak! Jom kita pergi makan dulu, nenda."

"Kalau macam tu, jom kita pergi makan dulu! Lepas makan nanti baru kita cari butik tu. Kita mesti cari baju tu hari ni juga. Tak boleh tangguh-tangguh lagi. Majlis kamu tu lagi dua minggu. Banyak benda lagi yang tak ada." Katanya sewaktu melangkah.

Aku berasa lega bila kami beredar dari situ. Takut juga kalau-kalau nenda ternampak Farriel dengan Marina. Jenuh mulut aku menjawab soalannya nanti. Sebelum bergerak ke food court, sempat aku mencuri pandang pada Farriel yang sakan berpelukan dengan Marina. Ada rasa pedih menjalar hingga ke ulu hati.



"BARU balik ke?" tegurku saat Farriel melangkah masuk ke dalam rumah malam itu.

Jelas Farriel kaget melihat aku masih duduk berjaga di sofa ruang tamu sedangkan jam sudah menginjak ke jam dua pagi.

"Hmmm…" jawabnya malas. Tali leher sudah dilonggarkan. Cuma menanti untuk dileraikan dari batang leher.

"Kenapa? Ada hal penting nak dibincangkan ke?" soalnya acuh tak acuh.

Aku kira, aku sudah dibuang terus dari kamus hidupnya kerana dia langsung tak punya kesudian untuk berbicara denganku, apatah lagi memandang wajahku. Dari tadi dia lebih suka memandang hujung necktie, hujung lengan kemeja atau apa sahaja asalkan bukan diriku.

"Kau tau kan yang majlis resepsi kita lagi dua minggu."

"Ingat! Tiap-tiap hari nenda dengan mama cakap pasal benda tu. Mustahil aku tak ingat!" balasnya kasar.

Terguris hatiku mendengar nada suaranya yang semakin tinggi.

Sunyi mengisi segenap ruang.

"Kalau tak ada apa-apa, aku naik dulu."

Farriel mula menapak ke tangga.

"Tadi aku nampak kau dengan Marina kat butik pengantin."

Kaku langkah Farriel di situ.

"Jadi?" soalnya garang. Dikerlingnya Adry dengan ekor mata.

"Aku cuma nak ingatkan kau supaya tak terlalu ‘expose’kan diri bila dengan Marina. Nyaris nak kantoi dengan nenda tadi."

"Jaga hal masing-masing cukup la, yang kau sibuk pasal aku dengan Marina, apa hal?" Farriel mula bengang.

"Bukan aku nak sibuk! Tapi kalau nenda nampak tadi, aku yang kena bersoal jawab dengan dia! Kau faham-faham aje la kan nenda tu macam mana!" Suaraku mula meninggi.

"Ooo… kau risau pasal aku dengan Marina. Habis, kau dengan Ihsan tu apa cerita? Bercengkerama kat depan pintu pagar rumah, takpe pulak? Tak takut kantoi dengan nenda?" balas Farriel sinis.

Terkejut aku mendengar kata-kata Farriel. Farriel nampak ke? "Aku dengan Ihsan…"

Tergagap-gagap aku cuba menjelaskan keadaan sebenar sebelum dipotong oleh Farriel.

"Aku tak kisah kalau kau dengan Ihsan nak bercinta ke, nak bercengkerama ke. Yang penting bagi aku, kau jaga nama dan maruah aku selagi kau masih bergelar isteri aku! Faham?"

Mencerlang mata Farriel memandangku. Dan dia terus berlalu ke tingkat atas.

Selagi kau masih bergelar isteri aku… selagi kau masih bergelar isteri aku!

Selagi bila Farriel? Selagi bila aku boleh bergelar isteri kau? Air mata mengalir laju menuruni pipi. Namun, cepat-cepat aku hentikan tangisan itu. Aku tak mahu menangis lagi. Menangis tak dapat menyelesaikan apa-apa masalah! Menangis cuma menampakkan kelemahan diriku sendiri. Aku tak nak menangis lagi!

0 comments:

Post a Comment