Ad + Iz

Karya Dari Eury Athena

APA KATA HEROIN?


"Kau bercakap senang la, Qhuz. Aku yang menanggung ni yang rasa sengsaranya. Aku tak sanggup nak lukakan hati orang. Aku juga tak sangup nak lukakan hati sendiri. Benda-benda berkaitan hati dan perasaan ni bukannya boleh ditentukan dengan teori buku. Ia rumit, abstrak, di luar kemampuan…."

APA KATA HERO?



"Adry, kenapa bukan aku? Kenapa Farriel yang berhati batu tu yang jadi suami kau?" keluhnya.

Ad + Iz - Bab 8

BAB 8

BUNYI bising diikuti gegaran yang aku kurang pasti skala Richternya, mengejutkan aku dari tidur. Takkan gempa bumi kut? Tsunami? Mustahil! Rumah ni jauh gila dari laut. Aku angkat kepala dari buku setebal satu setengah inci. Muka jam aku jengah. Sepuluh pagi. Hari Jumaat. Mujur tak ada kuliah. Kalau tak, alamat dengan air liur basi la aku ke kuliah. Uih, tergamak ke aku nak buat macam tu? Tak kut.…

Buku depan mata aku tutup dan alih ke tepi. Aku ni memang sah la dah kena sumpahan tidur ala-ala Sleeping Beauty. Mana-mana buku berbentuk ilmiah, sogok aje la kat aku, mesti bertukar jadi bantal buat aku. Macam sleeping pills yang doktor selalu bagi kat pesakit insomnia tu, macam tu la diibaratkan buku buat aku.

Kalau buku adalah sleeping pills aku, suara lecturers pulak macam lullaby yang sarat berilmu terus menggam kelopak mata, sekali dengan bulu mata aku. Bahasa tinggi lagak dewa berkata-kata, mesej lecture yang tak terjangkau dek akal dan melepasi benua Asia, memang pakej lengkap bagi aku untuk terus ke syurga mimpi. Huh! Memang dahsyat sumpahan ni!

Masuk gegaran kedua, aku tak tunggu lama. Aku sambar tudung dan sweater yang elok tergantung di balik pintu almari. Sebelum aku jadi mangsa gempa bumi ke, tanah runtuh ke, baik aku larikan diri dulu. Tak nak mati katak kat sini. Aku ada hajat yang belum dicapai lagi.

Bukak aje pintu, dua tiga suara lelaki asing menyapa telinga. Kemudian kedengaran pulak bunyi mesin gerudi diikuti dengan gegaran konkrit rumah. Ooo... ni la dia ‘gempa bumi’ jadian tadi! Woit, nak runtuhkan rumah ni ke apa!

Suara Farriel tak kedengaran di mana-mana. Aku tepuk dahi. Dah tentu-tentu dia kat pejabat. Habis tu, macam mana diorang ni boleh masuk? Menceroboh? Entah-entah pencuri tak? Nak tak nak, aku beranikan diri turun ke tingkat bawah.

Tiga orang lelaki kelihatan. Dua orang Cina. Seorang Melayu. Sibuk mengangkut barang-barang dari lori. Barang-barang yang biasa aku lihat dalam gymnasium kat TV; exercise bikes, ab shaper, air-walker, dumbbells, beberapa barang yang aku kurang pasti namanya. Rumah ni nak buka gim pulak ke? Bersepah-sepah ruang tamu dengan kotak dan plastik. Aku jenguk keluar. Ada pulak kereta Farriel kat luar. Tak kerja ke? Namun, Farriel masih tak kelihatan di mana-mana.

"Awak semua ni siapa? Siapa bagi kebenaran masuk?" soalku lantang, lagak tuan rumah yang berkuasa.

Tangan-tangan yang tadinya sibuk membuat kerja, terus terhenti. Masing-masing pandang aku macam nampak Doraemon dalam costume Ultraman. Tau la aku main sambar aje baju ni. Tudung ni pun striking gila warnanya. Tapi… tak payah la pandang aku macam tu. Kira okey la ni. Janji berbaju. Bukan nak masuk fashion show pun.
Farriel keluar dari bilik belakang, berdekatan dengan dapur. Diikuti seorang lelaki yang… whoa! Body builder mana pulak dicekupnya ni? Berkotak-kotak badan. Kagum!
Farriel berhenti bercakap dengan Mr. Bodybuilder sebaik sahaja nampak aku yang dah cekak pinggang dengan muka poyo.

"Hai, Ad! Dah bangun?" tegurnya.

Tak pasti la ni tegur ikhlas ke perli. Aku senyum aje la. Depan orang ni….

"Kenalkan... Encik Nik, my personal trainer. Gym trainer."

Mr. Bodybuilder senyum, menghampiriku. Tangan kanan dihulurkan. Hendak bersalaman.

Aku panjangkan lengan sweater. Melapik tangan. Bersentuhan dengan lelaki bukan muhrim hukumnya haram, kata-kata ustazah masih terkesan di hati. Dulu mungkin aku lalai, tapi sekarang aku sudah mula berubah ke arah kebaikan, perlahan-lahan. Muka Mr. Bodybuilder berubah. Mungkin pelik dengan tindakanku. Luar alam sangat ke perbuatan aku ni? Kami bersalaman.

"Saya Adry, isteri Farriel."

Aku perkenalkan diri. Senyum kuhulur padanya. Pandangan kualih pada Farriel.

"Izumi, kita nak buka gim kat rumah ke?" Dengan nada perlahan dan menyindir, aku bertanya.

"Tak la. Aku nak tunaikan janji aku aje."

"Janji apa?" Berkerut dahi dengar. Sungguh, aku lupa!

"Janji nak kuruskan badan."

Mulut membentuk huruf ‘o’ besar. Farriel nak kuruskan badan? Boleh ke? Aku takut dia hangat-hangat taik ayam aje. Nanti tak sampai separuh jalan, dia dah give-up. "Ye la ni? Macam tak percaya aje!"

"Betul la. Ingat aku main-main ke?"

"Ha ha ha!"

Aku gelak. Lucu! Selebihnya, aku gelak mencabar.

"Sebenarnya Encik Farriel ni boleh mencapai berat ideal dalam masa enam bulan atau kurang dari tempoh tu; dengan senaman berterusan dan diet yang baik. Puan Adry pun boleh la take part especially dalam menjaga diet pemakanan Encik Farriel dan bagi sokongan moral," sampuk Mr. Bodybuilder.

Aku? Jadi penjaga diet Farriel? Boleh ke? Adakah itu bermakna aku kena diet dengan dia? Oh, tidak! I love food very very much!

"Macam mana, Ad? Jadi dietician aku, boleh?"

"No hal… tapi nanti jangan nangis pulak. Aku ni garang…!"

"Ada aku takut?"

Aku jelir lidah.

Farriel mencemik muka.

Cute sangat la buat muka macam tu! Sebijik macam beruang kutub!
Mr. Bodybuilder buat muka blur. Mesti dia pelik. Awat la lagu suami isteri ni? Macam tak cukup hormon aje!



"DIET seimbang adalah diet yang boleh membekalkan nutrien yang mencukupi mengikut umur, jantina keadaan fizikal dan keperluan tertentu untuk memenuhi keperluan tumbesaran dan memelihara kesihatan."

Itu intro aku semalam. Masa Farriel lipat dahi sampai tiga garis timbul, bila mulutnya muncung sedepa, bila rambutnya yang lurus bagai nak tegak terpacak tengok makanan yang aku hidangkan untuknya. Masa tu tak ada satu bunyi pun keluar dari mulutnya. Dia diam dan makan. Tapi hari ni, dia memulakan sesi perdebatan ala Dewan Rakyat dengan aku.

Farriel merenung pinggan di hadapannya. Kemudian dipandangnya pula Adry yang duduk bertentangan dengannya, sebelum pandangannya jatuh pada pinggan lauk; ikan kerapu masak tiga rasa, sambal ayam, sayur kacang panjang dan hati masak kicap. Air liur yang hampir meleleh keluar, ditelannya kembali. Sayu pandangannya jatuh pada pinggannya yang cuma ada sesenduk nasi, ikan selar goreng seekor, sayur campur, buah betik, limau beberapa hiris. Berkerut muka Farriel. Ni ke makan tengah hari aku? Bawah bibir dijuih ke depan. "Minta sikit ikan dengan ayam tu!"

Aku buat bodoh, buat-buat tak dengar. Khusyuk menghabiskan makanan. Isi ikan kerapu yang masih bersisa segera aku masukkan ke dalam pinggan. Seketika kemudian laju masuk ke mulut. Selesai ‘mengilatkan’ pinggan, aku menjilat jari pula. Sunnah nabi.

Farriel mula bengang. Rasa-rasanya dah bengang sampai tahap nak naik tanduk rusa!

Aku tersengih. Baru nak masuk dua hari berdiet tapi dibuatnya muka macam dah sebulan tak makan! Tengok muka, aku tau dah. Takkan ke mananya azam nak diet dia tu. Gim mini kat bilik belakang tu alamatnya jadi sarang labah-labah dengan habitat serangga-serangga yang sewaktu dengannya aje la.

"Ad, makanan apa yang kau bagi aku ni? Ikan goreng dengan nasi aje? Sayur dengan buah punya la banyak. Kau ingat aku ni keturunan herbivor berkaki empat ke apa?"

"Kata nak diet. Suruh aku jadi dietician kau. Sekarang kau banyak songeh pulak. Nak kurus ke tak ni?"

"Memang la aku nak kurus, tapi takkan la benda-benda macam ni aje aku boleh makan. Dah la pagi tadi kau bagi aku roti yang tak seberapa kepingnya, lepas tu buah dengan susu aje."

"Ini aku dah ikut saranan pakar pemakanan dah ni. Kalau ikut hati aku, aku tak bagi kau makan langsung. Aku gerenti, bukan enam bulan, dalam masa sebulan aje kau dah boleh kurus."

Mak aih… itu membunuh namanya! Baik kau suruh aku gali kubur sendiri aje, Ad. Lagi senang!

"Kalau makan macam ni, mana nak dapat tenaga? Setakat nasi sejemput! Ei, merepek betul benda-benda ni semua! Dah la!"
Farriel bangun dari meja makan. Langkah diatur ke anak tangga.

"Nak ke mana?" soalku. Surrender dah ke?

"Keluar! Cari makanan yang manusia bertamadun macam aku boleh makan."

"Okey. Jangan makan banyak-banyak sangat. Nanti cirit-birit pulak. Masa tu, jangan kau kata aku tak ingatkan kau pulak!"

Farriel dah tak dengar apa dah. Dalam kepala leka fikir makanan apa nak diisi dalam perut. Nasi putih campur dengan dua tiga jenis lauk, mesti. Lepas tu nak makan apa, ek? Roti canai? Nasi goreng kampung? Mi bandung? Tom yam? Ah, makan aje la semua. Habis cerita!



MALAM itu, Farriel turun ke ruang tamu dengan muka pucat dan berkerut-kerut. Bau minyak angin menusuk ke hidung. Mandi minyak angin ke apa?

"Kau apa hal?" tanyaku, garang. Mata masih melekat di kaca televisyen.

"Sakit perut! Cirit-birit," adunya.

Aku pandang mukanya. Muka yang agak-agaknya dah sepuluh kali ulang-alik ke tandas. Bila tengok muka dia yang berkerut-kerut tu, aku rasa nak tergelak. Tapi aku tahan. Malas nak cari gaduh.

"Aku cakap dah. Degil! Kan dah ketulahan dengan aku. Walaupun kau yang ada darah kerabat, tapi aku yang ada daulat. Jangan tak tau!"

Farriel tak menjawab. Dia terduduk lemah di sebelahku. Muka berkerut-kerut tahan sakit. Tangan pulak melekap kat perut. Jatuh kesian aku padanya. Nafas kutarik dalam. Kemudian kuhembus. Mula memikirkan cara untuk mengurangkan kesakitan Farriel. Housemate sakit ni, kena la tolong. Nanti dikatakan tak berperikemanusiaan pulak.
"Kita pergi klinik, ek?" usulku dengan nada lembut.

"Nak pergi dengan apa? Kau bukan tau drive. Test JPJ dah dua kali gagal," katanya lemah.

Hek eleh! Sempat pulak dia perli aku. Menyesal aku cerita pasal kegagalan aku tiga tahun dulu kat dia. Tu la, mulut ni gatal sangat. Langsung tak ada brek atau signal. Laju aje guna gear lima bercerita. Kan dah kena kutuk? Sabar aje la!

"Iye la, Izumi oi. Jap lagi aku panggilkan driver teksi yang lulus JPJ datang. So, boleh la kita pergi klinik. Boleh gitu, Encik Farriel Izumi?"

"Hmmm.…"

Tu aje yang mampu Farriel jawab sebelum berkejar ke tandas semula.
Handphone aku ambil. Mencari nombor teksi.



"AD…" panggil Farriel dengan mata separuh tertutup. Mungkin ubat doktor dah mula menunjukkan kesannya.

"Hurm?"

"Thanks…."

Diam. Cuma bunyi aircond yang kedengaran.

"Ad…."

Aik, tak tidur lagi?

"Iyeee…."

"Esok aku nak makan… ikan kerapu tiga rasa macam yang kau makan tadi. Tom yam campur… ayam masak merah… gulai ikan sembilang… ikan patin… ayam golek…."
Mak aih… besarnya selera! Mengalahkan orang mengidam pulak. Sedar ke tidak yang dia ni cirit-birit?

Farriel diam, tak bersuara lagi. Penat duduk di sofa, aku duduk di sisinya.

Farriel yang dah lelap di katilnya, aku perhatikan. Doktor kata tak serius. Bagi ubat, bagi MC dua hari, insya-Allah esok lusa sembuh. Mujur la... kalau tak, rasa bersalah juga aku. Ye la, tak sangka pulak ‘sumpahan’ aku betul-betul terjadi. Kebetulan betul.

Selimut Farriel aku perbetulkan. Burrr…! Sejuk sangat ni. Rasa macam duduk kat kutub utara pulak. Remote control air-conditioner aku ambil. Suhu aku tinggikan. Selesai menentukan suhu yang sesuai, aku kembali duduk di tepi katil. Wajah Farriel kuperhatikan. Muka bujur. Hidung mancung. Pipi tembam. Bibir nipis. Warna kulit cerah. Rambut lurus. Masih hensem walaupun overweight. Tapi kalau kurus macam dulu, lagi hensem! Tak cukup bumi dikejar dek pompuan.

Bila Farriel mula berdengkur, aku tersenyum sendirian. Betul la... orang kata, kalau nak tengok muka ‘sebenar’ seseorang tu macam mana, tengok rupa dia masa tidur. Segarang mana pun orang tu, bila tidur, muka ‘sebenar’ dia akan ‘muncul’; lembut dan tenang. Entah berapa lama aku menatap wajah Farriel, aku tak pasti. Yang pastinya, tak lama kemudian aku mula memenuhi ‘hak’ mata bila kelopak mata terasa semakin berat.



FARRIEL buka mata. Niat hati nak berkalih badan ke kiri. Kemudian dia perasan lampu tidur masih terpasang. Bila nak tekan suis, dia terus dia terpandang Ad yang tidur menangkup di tepi katilnya. Kenapa dia kat sini? Peristiwa beberapa jam tadi, berputar di layar ingatan. Oh….

Wajah Ad menghiasi mata. Tenang wajahnya tidur. Rambut, dahi, kening, mata, hidung, pipi… segenap inci wajah Ad diperhatikannya. Satu wajah yang tiba-tiba menerpa ke dalam ingatan, segera dinyahkan. Tangan yang serasa nak menjamah pipi Ad, segera ditarik ke sisi. Matanya singgah pada bibir mungil Ad, ada getaran dirasakannya. Segera mata dialihkannya.

"Ad… tolong jangan kelirukan aku. Tolong jangan buat aku jatuh cinta pada kau. Tolong la.…"

Dipejamnya mata rapat-rapat.

Peraturan keenam : Bilik tidur pihak kedua adalah kawasan larangan. Memasuki, secara sengaja atau tidak, dianggap menceroboh.

Reject!



ESOKNYA, penyakit cirit-birit Farriel sembuh sepenuhnya. Mujarab betul ubat doktor tu! Ingat nak la buat baik, masak apa aje makanan yang dia nak. Macam yang diracaunya malam tadi. Korang tau apa dia jawab?

"Tak nak la. Kau bagi aku sayur dengan buah cukup. Tengah hari nanti aku nak roti ke apa-apa makanan yang aku boleh makan ikut jadual pemakanan yang kau dah buat."
Uiks… serik betul dia! Tapi aku tak nak kejam sangat dengan dia. Tiba-tiba aje aku tarik ‘nikmat’ makanan dari dia hari tu, memang la mengamuk sakan mamat tu. So, aku buat strategi sendiri. Dia boleh makan makanan yang dia suka tapi dengan syarat dalam kuantiti yang sedikit macam yang dietician syorkan.

Sebagai personal dietician Farriel, kerja terbaru aku adalah mengira kalori makanan yang dia makan, apa hidangan yang sesuai untuk dia, apa makanan yang boleh dan tak boleh dimakannya. Aku siap sediakan satu buku catatan lagi tu!

Dua hari Farriel MC dan duduk kat rumah. Dua hari tu jugak la kuliah aku batal. Lecturer busy pasal penstrukturan semula fakulti-fakulti. Apa yang nak distrukturkan, aku pun tak faham. Tapi memang tragic duduk rumah dua puluh empat jam dengan Farriel. Ada aje yang tak kena. Rumah berhabuk la, kedudukan perabot tak sesuai la, dapur tak kemas la, tandas berbau la. Sampai cara nak sidai baju pun dia tegur. Dahsyat! Tak sangka lelaki moden macam tu boleh membebel mengalahkan mak nenek!
"Baju mahal, baju yang kita pakai masa pergi kerja, kuliah, majlis-majlis rasmi kena sidai terbalik dan letak bawah bumbung. So, tak la cepat pudar dan rosak. Kain pelekat ke kain batik, kena sidai lurus-lurus supaya cepat kering. Pakaian dalam mesti disidai kat tempat tersorok, supaya orang tak nampak atau curi."
Sungguh la Farriel ni cermat, teliti dan sangat praktikal orangnya. Benda macam tu pun dia perhatikan. Observant betul!

Kalau aku, memang aku hentam aje sidai macam mana pun. Janji bawah cahaya matahari. Tak kira la luntur ke kedut ke. Bila dah kering, aku angkat dan lipat. Titik. Susah juga nak ubah cara aku buat kerja bila dia tegur suruh aku buat ikut cara dia. Yelah, benda-benda tu semua aku dah praktikkan sejak kecik lagi. Bila dia tegur tu, panas juga la hati. Siap perang mulut lagi. Malas mengeringkan air liur, aku ikutkan aje la cakapnya. Tak larat la nak gaduh pasal bontot kuali yang hitam lepas masak sampai dua jam. Bazir tenaga aje!



MATA bagaikan dipaku pada wajah Remy Ishak dalam drama Obsesi. Hensem gila! Rasa nak tarik-tarik aje rambut sendiri. Hu hu hu! Dek kerana kehenseman dia la aku sanggup bersengkang mata menunggu slot Samarinda yang ditayangkan melangkaui zon hibernasi aku. Selalunya pukul sepuluh malam aje mata aku dah minta untuk direhatkan. Kalau tak, alamatnya tersangap-sangap la aku dalam kelas. Tapi demi Remy dan cerita Obsesi yang mengobseskan aku ni, aku sanggup ingkar ‘arahan’ mata. Buku-buku, A4 paper dan alat tulis yang berlambak di atas meja sekadar menjadi hiasan semata-mata.

Terdengar ada gerakan dari tingkat atas ke bawah, sila atas sofa aku perbetulkan. Tak perlu menoleh, aku sudah tau siapa gerangannya. Dalam rumah ni ada dua orang aje. Aku. Farriel. Kalau tak aku, Si Farriel. Kalau tak Farriel, aku la. Tapi kalau bukan dua-dua, itu kes misteri nusantara namanya. Unidentified object or subject.
Farriel yang baru turun dari bilik ‘bertapa’ duduk di hujung sofa. Kes bosan menghadap kerja-kerja pejabat la tu. Tak pun Marina tak online malam ni. Muka dah kurang dari nilai satu sen dah tu….

"Cerita apa ni?" soalnya.

"Obsesi…" jawabku pendek.

Kacau aje! Orang tengah syok-syok tengok Tengku Azuddin dok tekel future-wife dia ni.

"Bosan! Tukar cerita lain la!" desaknya.

"Pergi la tengok TV kat bilik kau! Kan ada Astro bagai! Kacau aje la!"

"Ala… bosan tengok sorang-sorang! Ad, tukar la channel lain!"

Kulit kepala aku garu. Sibuk la dia ni!

"Kau tak tengok lagi, dah kata bosan! Cuba tengok, fahamkan… lepas tu baru menilai," rungutku.

"Cerita Melayu semua stereotype la. Balik-balik itu aje ceritanya. Cuba ikut macam cerita Hollywood. Baru la best!"

Farriel menamakan beberapa filem Hollywood yang digemarinya. Alahai, gangguan bunyi betul la!

"Kau pergi jadi warganegara sana. Senang cerita!"

Farriel mencemik.

"Kau nak makan ke?"

Ni soalan nak menghalau dia naik ke bilik balik ni. Biasanya Farriel takkan turun ke bawah kalau tak lapar atau tak ada urusan. Dia lebih suka memerap kat bilik. Bergayut, berchatting dengan Marina. Tak pun buat kerja pejabat ke, baca buku ke….

"Nope! I’m good."

Tumpuannya beralih pada buku berlambak di atas meja. Kertas bawah buku ditarik keluar. "60% aje?"

Aku kerling padanya. Cuba memastikan tentang perkara yang diperkatakan. "Okey la tu! Sebelum ni lagi teruk!"

Hujung lidah aku gigit. Alamak! Terlepas cakap….

"Sebelum ni dapat berapa?"

Curious aje muka Farriel bertanya.

"40% lebih aje…." Perlahan aku menjawab.

Farriel ternganga. Kepala digelengkan.

"Letak kat muzium aje la otak kau tu," perlinya.

"Ala… monthly test aje tu! Relaks la."

"Apesal teruk sangat? Susah ke? Baru first sem dah macam ni."

"Ala… aku tak pandai BI la. Lecturer situ semua cakap BI. Selit BM sikit-sikit aje. Pakai bahasa teknikal pulak tu. Mana nak faham."

"In that case, aku akan ajar kau!"

Aku memandangnya dengan 1001 rasa pelik. Taajub. Kagum. Demam ke apa? "Kau… nak… ajar aku?"

Farriel angguk kepala.

"Kau nak ajar aku apa?"

"BI la. Kata tak pandai BI. Kalau kau nak, aku boleh tunjukkan juga mana-mana subjek yang kau lemah tu. Free of charge. FOC."

Aku garu pipi. Kena rasuk ke Farriel ni? Semacam aje baiknya. "Kau ni gurau, kan? Ke kau mamai? Ke tengah high? Tiba-tiba aje buat baik dengan aku. Tegak pulak bulu roma aku!"

Farriel julingkan mata ke atas.

"Tak ada udang sebalik batu or mi pun la… ikhlas nak tolong kau. Sebab kau dah tolong aku masa aku cirit-birit hari tu. Lagipun, tak berbaloi la aku menghabiskan duit hantar kau masuk kolej kalau kau dapat result hampeh macam ni! Baik aku pergi shopping apa yang patut!"

Alasan logik… pucuk dicita, ulam mendatang!

"Sure?" soalku. Masih ada keraguan.

"Sure la!"

"Bila kau nak start ajar?"

"Sekarang pun boleh!"

"Okey...." Iye tak iye dia ni?

"So, sekarang aku nak kau ambik kotak Scrabble dalam almari."

"Hah?"

Tadi kata nak mengajar. Sekarang nak ajak aku main Scrabble pulak? Pening, pening!



NI cara Farriel Izumi mengajar aku vocab baru English. Melalui permainan Scrabble. Setiap perkataan yang baru pada aku, aku kena catat dan cari maksud dalam kamus. Kalau rasa-rasa aku blur nak letak perkataan apa atas board, aku boleh rujuk kamus dan cari perkataan yang boleh aku bentuk dengan huruf yang ada.

"Apa kau buat kat lorong gelap tu?"

Entah kenapa terlintas soalan tu kat kepala aku, masa aku tengah sibuk-sibuk mencari maksud perkataan foil dalam Cambridge Dictionary.

Farriel yang tengah mengeja excise kat board Scrabble panggung kepala. Blur aje pandangannya. "Lorong apa?"

"Ala… yang kau kata masa malam tu!"

Takkan lupa kut? Malam star and moon gazing tu! Ke buat-buat lupa?

"Bila masa pulak aku ke situ?" soalnya kembali.

"Kau kata kau jumpa arwah Ann kat lorong gelap. So, sekarang aku tanya kau, apa kau buat kat situ?"

Aku jenguk papan Scrabble. Perkataan apa nak letak ni?
"Apesal? Aku tak boleh pergi situ ke?"

"Bukan tak boleh. Cuma aku pelik aje. Anak orang kaya macam kau, lahir atas sudu emas, mana selera nak pergi tempat kotor, busuk macam tu. Tu yang aku curious tu!"
Perkataan spoon aku eja. Menyambung dari huruf ‘s’ perkataan excise milik Farriel.

"Ooo… aku lari dari kenyataan aje."

"Kenyataan apa?"

"Yang kau sibuk nak tau kenapa?"

Berganjak satu tangga tone suara Farriel.

"Saje! Mana la tau kut-kut kau ni stok (jenis) mat gian ke, drug dealer ke, apa-apa, so aku boleh la buat apa-apa persediaan bila kau buat perangai nanti."

"Oit, aku takde la teruk macam tu sangat, okey! Masih dalam kategori dewa lagi, ek!"

Aku angkat bahu. "So, apa kau buat pergi situ?"

Aku garu kepala. Suwei pulak aih tangan! Huruf Q aku dapat. Cuba dapat huruf R ke S ke. Baru la senang bentuk perkataan.

"Hari tu, aku baru tau kawan baik aku sebenarnya spy papa aku. Menyakitkan hati!"

"Okey la tu."

"Otak kau! Mati-mati aku anggap dia kawan baik aku dunia akhirat. Kira semua rahsia aku dengan dia ‘lepas’ senang-senang aje la kat papa aku! Macam hampeh aje perangai!"

Air suam dalam mug aku hirup.

"At least papa kau buat macam tu sebab dia sayangkan kau. Macam aku ni, sorang pun tak ambik kisah aku buat apa. Aku kebulur ke, tunggang-terbalik ke. Aku sendiri-sendiri aje tentukan jalan hidup aku. Duit belanja pun cari sendiri, tau!"

"Aku lagi suka jadi macam kau. Bebas buat apa yang aku suka. Tak dikongkong sampai aku sendiri tak tau apa yang aku suka, apa yang aku tak suka!"

"Kenapa papa kau buat macam tu?"

"Dah la! Tutup cerita. Nite!"

Farriel terus berlalu.

Aik? Merajuk? Aku pernah dengar orang kata, orang berbadan besar ni sensitif, kuat merajuk. Betul ke? Kalau ikutkan ‘ujian’ yang dijalankan ke atas Farriel tadi, nampak gayanya betul la tu!



PINTU yang bertalu-talu diketuk aku buka. Besar anak mata melihat tetamu yang datang. Dua buah bagasi setinggi budak setahun di kaki menambahkan lagi tanda tanyaku.

"Hana? Mimpi apa datang malam-malam ni?" soalku, antara percaya dengan tidak.

Hana memelukku dengan wajah ceria. Tapi kenapa keceriaan Hana macam tak real aje?

"Akak! Rindu la dengan akak! Abang mana?"

"Out station. Ni apa kes tak semena-mena muncul depan pintu rumah akak ni?"

"Saja… nak tukar angin tidur rumah akak."

"Sampai dua beg? Gaya macam lari rumah aje!"

"Eh, akak jangan salah faham! Satu ni aje beg Hana. Yang lagi satu ni Abang Ihsan punya!"

Jap… bagi aku fahamkan kejap.

Hana datang sini, bawa beg sebab nak tumpang tidur kat sini. Okey, yang tu aku faham la.

Yang beg Ihsan ni, apa ke halnya pulak? Nanti sekejap. One minute, one minute. Takkan Ihsan pun nak datang tidur kat sini… kut?

0 comments:

Post a Comment