Ad + Iz

Karya Dari Eury Athena

APA KATA HEROIN?


"Kau bercakap senang la, Qhuz. Aku yang menanggung ni yang rasa sengsaranya. Aku tak sanggup nak lukakan hati orang. Aku juga tak sangup nak lukakan hati sendiri. Benda-benda berkaitan hati dan perasaan ni bukannya boleh ditentukan dengan teori buku. Ia rumit, abstrak, di luar kemampuan…."

APA KATA HERO?



"Adry, kenapa bukan aku? Kenapa Farriel yang berhati batu tu yang jadi suami kau?" keluhnya.

Ad + Iz - Bab 18

Bab 18

MAJLIS resepsi perkahwinan aku berlangsung di hotel lima bintang yang terkemuka. Tetamu yang hadir dianggarkan 5,000 orang; terdiri di kalangan saudara-mara Farriel serta rakan seperniagaan. Dari pihak aku, cuma bekas rakan serumah dan teman-teman di butik sahaja yang aku jemput dan hadir pada malam ini. Emak, ayah tiri dan adik-beradik tiriku sengaja tidak kujemput. Rasanya, itulah yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak. Lagipun, seisi keluarga Farriel tahu yang aku ni anak yatim piatu.

Rata-rata kenalan dan keluarga Farriel terkejut besar mendengar berita bahawa bakal CEO Izumi Corporations itu sudah menamatkan zaman bujangnya lebih setengah tahun yang lalu. Masing-masing melahirkan rasa pelik. Namun, mereka tetap gembira apabila melihat aku bergandingan dengan Farriel di atas pelamin. Menurut mereka, aku sangat istimewa sehingga Farriel terburu-buru mengahwiniku gara-gara takut aku terlepas ke tangan orang lain, serta aku dan Farriel kelihatan secocok bergandingan.

Jurugambar dari pelbagai jenis akhbar pula tak henti-henti menekan butang kamera untuk mengabadikan gambar persandingan kami di dada akhbar mereka esok. Para wartawan sibuk mengumpulkan skop cerita.

Selesai acara bersanding, kami turun dari pelamin untuk acara makan beradap sebelum beramah mesra dengan para jemputan.

Ucapan tahniah tak lekang dari bibir masing-masing. Ada juga yang mendoakan perkahwinan kami akan bahagia sehingga ke anak cucu dan hingga ke akhir hayat.

Aku cuma mampu tersenyum mendengar ucapan tersebut. Kurang pasti perkara itu akan jadi kenyataan bila Farriel secara terang-terangan sudah mengatakan di awal perkahwinan kami bahawa hubungan suami isteri kami akan tamat sebaik sahaja Marina kembali ke pangkuannya.

Aku kerling Farriel di sebelahku. Sejak kami turun dari pelamin, dia seakan-akan enggan melepaskan jari-jemariku dari genggamannya. Sesekali dia menatap wajahku dengan pandangannya yang lunak. Ah… Farriel memang pandai berlakon!

Dan aku pun tak mahu kalah dalam lakonan ini. Sengaja aku paut lengannya setiap kali kami bertegur sapa dengan para tetamu. Sesekali aku berbisik manja di tepi telinganya; sekadar memuji atau memberi pendapat tentang sesuatu mengenai majlis atau sekadar bertanya dengan lebih lanjut mengenai tetamu yang baru sahaja selesai berbual dengan kami tadi.

Teman-teman dari sekolah menengah di meja bulat bernombor 35, kami hampiri. Senior Qhuz, Senior Adly, Farah Adilla dengan muncungnya sedepa, dan beberapa orang lagi menyambut kami dengan mesra. Semuanya

mengucapkan tahniah kepada kami kecuali Farah yang terus-terusan merenung kami dengan rasa tak puas hati.
"Tahniah!"

"Siapa sangka, gaduh punya gaduh, last-last kahwin juga korang ni!"

"Memang secocok la korang berdua ni!"

"Tahniah la… semoga bahagia sampai akhir hayat. Aku doakan korang cepat-cepat dapat baby!" doa Senior Qhuz lantang bila kami sampai ke tempatnya. Tangan yang tadinya ditadah, diraupkan ke muka.

Yang lain sekadar mengaminkan doa Senior Qhuz.

"Huish! Korang ni tak ada ingat benda lain," tegur Farriel dalam tawanya.

Farriel pandang aku di sisi. Membisikkan sesuatu ke telingaku sehingga aku tertawa kelucuan.

Farah yang memandang, memasukkan dua jari ke mulutnya. Aksi orang meluat tahap nak muntah darah digayakannya.

Aku buat derk aje dengan perlakuannya itu. Senior Adly aku hampiri. Tangan yang masih memaut lengan Farriel membuatkan Farriel turut terheret sama ke tempat Senior Adly. Senior Adly tersenyum. Namun, entah bagaimana, aku dapat mengesan ada riak terkilan di wajahnya.

"Tahniah, Farriel, Adry. Aku betul-betul tak sangka kau akan kahwin dengan Adry, Farriel," kata Senior Adly. Tangan Farriel dijabatnya erat.

Farah di sisi Senior Adly, tak berkelip-kelip merenung Farriel dengan muka ‘selenga’nya. Bila matanya bertembung dengan mataku, cepat-cepat dialihkan pandangan ke tempat lain. Sesekali dia menjeling ke arahku.

Ketua die hard fans Tengku Farriel Izumi, dengan segala hormatnya diminta untuk membubarkan kelab kau tu. Dah tak relevan lagi dah kelab korang tu! Farriel bukan eligible bachelor yang boleh korang rebut lagi. Hu hu hu!

"Takkan tahniah aje kut? Hadiah tak ada ke?" usik Farriel.

Senior Adly tersenyum. "Tu, aku dah letak atas meja hadiah yang bertimbun tu! Nanti kau ambil aje la…."

Panjang muncung Senior Adly menunjukkan ke arah meja yang sarat menampung hadiah-hadiah yang dibawa oleh para hadirin.

Pandangan Senior Adly beralih ke arahku.

"Tahniah, Adry. Tak sangka junior aku ni kahwin dulu dari aku. You look so beautiful in that dress," pujinya.
Aku tertunduk malu sebelum mengucapkan terima kasih.

Farriel memperkemaskan pautan tangan kami. Entah mengapa tiba-tiba dia berbuat demikian.

"Excuse me!"

Suara Hana yang datang dari belakang membuatkan aku dan Farriel berpaling.

"Kak, abang… korang kena naik atas, tukar baju. Kejap lagi acara potong kek pulak!" Hana mengingatkan dalam nada cemas.

"Eh, okey la korang. Aku dengan Ad kena naik salin baju. Lepas majlis nanti kita sambung borak, okey!"

"Wokey!"

"All right!!!"

"CHE NAN suka solekkan isteri Tengku ni. Senang! Dia dah semula jadi cantik. Kulit dia lembut. Tak berparut. Tak ada jerawat. Orangnya pun mengikut kata. Tak macam sesetengah pengantin tu. Apa Che Nan kata, semua dibantahnya. Bila Che Nan solek tak cantik, mula la jaja cerita tak baik tentang Che Nan. Walhal diorang yang tak nak dengar kata!"

Farriel diam tak berkutik. Sekadar duduk tegak menanti dengan penuh sabar wajahnya dibedakkan oleh Che Nan.

"Tengku Farriel pun sama. Senang nak disolek. Tak banyak songeh. Pulak tu, kacak orangnya. Bertuah betul siapa yang dapat kahwin dengan Tengku ni…."

Aku dan Hana mencemik muka dengan gaya tersendiri bila mendengar Che Nan membebel sambil membedakkan pipi Farriel. Serasa aku, dah hampir sepuluh minit dia dok sapu bedak yang sama dekat tempat yang sama. Takkan tak sudah-sudah lagi kut? Takkan nak letak bedak kat muka Farriel tu sampai rupanya sebiji macam pelakon opera Cina kut?

"Che Nan, tak sudah lagi ke touch-up muka abang tu? Diorang dah patut turun dah ni!" kata Hana dengan mata merah. Mengantuk barangkali. Yelah, orang kuat majlis la katakan….

"Ye la, ye la. Siap dah ni! Handsome dah abang Tengku Yuhana ni Che Nan solek," ujar Che Nan dalam nada merajuk.

Imej Che Nan yang terbias di cermin membuatkan aku hampir ketawa. Wajahnya masam, bibirnya terkumat-kamit tanpa bunyi. Pasti mengutuk Hana dalam nada bisu. Imej diri sendiri yang sudah siap didandan oleh Che Nan aku pandang dengan teliti. Cuba mengesan cela yang mungkin


wujud sementara menunggu Farriel disiapkan sebentar tadi. Perfect! Jika rasa gembira ditambah dan dapat dipancarkan melalui wajahku ini, sudah pasti wajahku akan bertambah ceria. Ah! Ini cuma lakonan semata-mata. Dan aku dibayar untuk semua ini. Rasa sedih yang mula bertamu, segera aku buang jauh-jauh.

"Okey, dua-dua pengantin dah siap! Che Nan keluar dulu ye…."

Che Nan pantas mengemaskan barang-barangnya bersama pembantu-pembantunya. Seketika kemudian dia berhamburan keluar. Heboh mulutnya sebaik sahaja melepasi pintu bilik hotel di tingkat tiga itu. Entah apa yang kurang elok di matanya, entah la!

"Kak, bang… Hana turun dulu. Kejap lagi, dalam lima minit, korang turun ek! Nanti Hana standby kat pintu masuk."
Aku mengangguk.

Farriel sekadar memandang tanpa beriak.

Hana menutup pintu bilik.

Kini cuma tinggal aku dan Farriel. Kami berpandangan sesama sendiri. Muka masing-masing ‘ketat’. Mungkin sebab keletihan. Mungkin sebab mengantuk walaupun jam baru menginjak ke angka sebelas malam. Mungkin juga kerana sudah tidak mampu berlakon mesra dan tertawa gembira kerana di hati masing-masing punya cerita lara tersendiri. Mungkin dalam ingatan Farriel kini cuma ada Marina.

Segalanya mungkin….
Farriel angkat punggung.

"Jom turun," ajaknya dengan muka yang serius.

Antara rela dan terpaksa, aku bangun dari kerusi di meja solek. Gaun labuh aku perbetulkan kedudukannya. Tudung dan layah di kepala, aku perbaiki sedikit agar tampak sempurna. Tiara yang menghiasi atas kepala…

"Senget ni."

Entah bila Farriel datang menghampiriku. Tau-tau aje dah ada depan mata. Membetul-betulkan kedudukan tiara di kepalaku.

Dalam kekalutan membetulkan kedudukan tiara, yang tadinya elok terletak namun akhirnya kelihatan senget ke sebelah kiri setelah diubah oleh Farriel, tangan aku dan Farriel bersentuhan. Tindakan kami terhenti. Kaku tangan kami di situ buat seketika.

Farriel memegang dan akhirnya menggenggam jari-jemariku. Kami bertentangan mata buat seketika. Dari sinar matanya, aku dapat merasakan ada sesuatu yang ingin diperkatakannya. Namun, belum sempat dia membuka mulut, pintu bilik diketuk kuat. Genggaman Farriel terlerai.

Kami berpandangan seketika sebelum aku bergegas menghampiri pintu bilik yang terasa seperti mahu roboh diketuk dari luar. Pintu kubuka dan seorang wanita anggun berkebaya menerpa masuk dengan wajah yang masam mencuka. Diikuti dengan seorang lelaki yang segak bertuxedo.

"Ihsan?" panggilku dari belakang pintu.

Ihsan menoleh ke belakang, ke arahku.

Wanita anggun tadi menerpa ke arah Farriel. Menumbuk-numbuk dada Farriel dengan kuat.

Farriel cuma menundukkan kepala tanpa sedikit pun melawan.

Aku agak, perempuan itu tentu Marina Irriani


Joseph Abdullah. Ya, tak salah lagi! Memang itulah dia orangnya.

"You tipu I, Farriel! Sampai hati you buat I macam ni! You pujuk I, you rayu I supaya I balik Malaysia… untuk apa, Farriel? Untuk tengok you bersanding dengan perempuan tak berkelas ni ke?"
Lantang suara Marina memuntahkan amarahnya. Jari telunjuknya lurus dituding ke arahku.

Ihsan memeluk bahuku dari tepi. Seakan-akan cuba melindungi aku dari tindakan mahupun kata-kata dari Marina.

"I minta maaf... I… I memang nak beritahu tapi… tak ada masa yang sesuai," ujar Farriel perlahan.

Marina menumbuk lagi dada bidang Farriel. Kali ini lebih kuat, sehingga Farriel mengaduh kesakitan.

"Jadi, bila masa yang sesuai? Sekarang? Esok? Lusa? Ke bila you dah dapat anak dengan perempuan perampas tu?" tempelak Marina.

"Ui…! Helo! Bila pulak saya rampas dia dari awak? Kan ke awak yang tinggalkan dia?"

Aku menyerang balas. Aku pun ada mulut juga. Jangan sesuka hati nak menuduh aku sebagai pesalah dalam hal ini. Aku melangkah beberapa tapak ke hadapan, menghampiri Marina dan Farriel.

Tegahan Ihsan tak kuendahkan. Akhirnya, Ihsan terpaksa mengikut jejakku.

"You shut up! I’m not talking to you!" jerit Marina.

Mencerlang mata Marina memandangku. Tubuhku ditolak ke belakang.

Mujur Ihsan sempat memaut lenganku sebelum aku terjatuh. Ihsan mengisyaratkan aku supaya diam. Aku mencemik. Bengang dengan tindakan Marina. Buat hal masa majlis kahwin aku. Tunggu lepas majlis tak boleh ke? Si Farriel ni pun satu, semua salah dia! Kalau dia beritahu hal sebenar, kan bagus. Ni selagi boleh nak sorok. Sudahnya, diri sendiri dengan aku-aku sendiri yang merana.

"Farriel! You kata you cintakan I. You kata you tak boleh hidup tanpa I. Tapi kenapa you menduakan I? I tak faham la!"

"Marina, I’m sorry, okay. Ni bukan kehendak I. I kena paksa kahwin dengan nenda. You tau kan nenda I tu macam mana orangnya."

Farriel cuba meraih tubuh Marina, namun Marina lebih pantas mengelak.

Aku yang jadi penonton free adegan pujuk-memujuk antara Farriel dengan Marina, jadi panas hati. Geram dengan perangai Marina yang menggedik. Marah dengan perangai Farriel yang buta hati. Yang Si Ihsan ni apa hal pulak dok usap-usap belakang badan aku dari tadi ni? Konon-konon nak tenangkan aku la, ek? Lagi buat hati aku panas ada la! Tubuhku aku jarakkan dari Ihsan demi untuk menghentikan perbuatan Ihsan itu.

"Listen… let me explain. I love you. Not her!"

"But you’re marrying her!"

"Yes. Tapi bukan atas kerelaan I. I kena paksa kahwin. You tinggalkan I terkontang-kanting masa I nak kenalkan you dengan famili I. I had no choice. Dia jadi pengganti you dan…"
Marina menepis lagi tangan Farriel. Pipi Farriel ditamparnya.

"Sudah la! Agaknya kalau Ihsan tak beritahu I,


sampai bila-bila pun you akan terus tipu I tentang status you ni! I takkan maafkan you! You memang penipu besar! I hate you!!! I hate you!!!"
Marina meluru keluar.

Tanpa berfikir panjang, Farriel pantas mengejar Marina, meninggalkan aku terkulat-kulat di situ.

Farriel, majlis kita… tak habis lagi… dan kau dah tinggalkan aku sorang-sorang macam orang bodoh kat sini.

Setitis air mataku jatuh. Kemudian berjuraian lagi air mata jatuh ke pipi. Bodoh! Aku memang bodoh! Menangis untuk lelaki yang berhati batu dan langsung tak berperasaan itu. Lelaki yang bergelar suami dan meninggalkan aku ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung di bawah sana. Aku sememangnya bodoh kerana terbawa-bawa dengan perlakuannya sebentar tadi. Aku memang bodoh kerana gagal mengenalpasti yang mana realititi dan yang mana fantasi.

"Awak memang tak pernah ada dalam hati Farriel. Dia tak cintakan awak. Dia cuma cintakan Marina. Kalau awak terus berharap dia akan jatuh cinta pada awak, saya takut awak akan terluka akhirnya nanti."

Tangan Ihsan yang ingin mengesat air mataku, aku tepis dengan pantas. Jangan menangguk di air yang keruh, Ihsan!

"Berhenti mencintai Farriel. Belajar mencintai saya. Saya janji, saya tak akan sesekali melukakan hati awak."

Aku tersenyum sinis. "Kalau awak betul-betul tahu apa itu cinta, tentu awak tahu bahawa tidak semudah itu untuk mengalihkan rasa cinta pada orang lain. Saya tegaskan sekali lagi. Saya cintakan Farriel. Saya tak cintakan awak. Sekelumit rasa pun tak ada!"


Aku berlari meninggalkan Ihsan.

Ihsan mengepal penumbuk. "Aku tak akan mengalah. Aku akan pastikan yang kau akan jatuh cinta padaku juga satu hari nanti. Satu hari nanti, kau akan nampak betapa tulusnya cinta aku pada kau."
Ihsan segera mengejar Adry.

Aku terus berlari. Cuba menjejaki suamiku yang kini sedang memujuk kekasih hatinya. Farriel… tegarnya cinta kau pada Marina. Kalau kau tengok aku dalam keadaan yang menyedihkan sebegini, masih tegarkah engkau memilih Marina berbanding aku?

Dek terlampau letih berlari dengan high heels, aku tersandar di dinding hotel. Air mataku bertakung di birai mata dan akhirnya mengalir lagi. Dua tiga orang pekerja hotel yang lalu-lalang tak kuhiraukan lagi. Dalam fikiranku cuma ada Farriel. Dalam ingatanku cuma ada kenangan indah bersama Farriel. Yang terlayar di mataku cuma wajah Farriel. Yang meniti di bibirku cuma nama Farriel. Betapa hebatnya Tengku Farriel Izumi di mataku. Baru seketika dia ‘menghilangkan’ diri, aku sudah separuh sasau mencarinya. Walhal dia terang-terangan menunjukkan rasa cintanya pada Marina; melalui lafaz kata-kata dan perbuatannya.

Dalam kekalutan dan kebuntuan aku memikirkan tentang Farriel, tiba-tiba tanganku terasa ditarik oleh seseorang ke suatu arah. Pandangan yang sudah kabur dek air mata menyukarkan aku mengagak dan meneka orang yang menarik tanganku itu. Aku cuba melawan. Namun semakin kuat tanganku ditariknya.
Siapa?

"LEPASKAN aku!"

Telefon bimbitnya yang dari tadi menjerit minta dijawab, langsung tak dipedulikannya. Sampai flat bateri pun, dia tetap begitu. Tenang. Seolah-olah tiada apa-apa yang boleh mengganggunya di kala ini.

"Kau nak bawa aku pergi mana ni?" tanyaku buat kesekian kalinya.

Dia diam. Ah! Bengang betul cakap dengan patung bernyawa ni!

Dengan tangan kiri, aku meraba, mencari handphone dalam poket baju. Harapan terakhir untuk membebaskan diri dari orang gila di sebelahku ini. Alamak! Tapak tangan dah melekap di dahi. Gaun pengantin mana ada kocek! Huish! Ni dibuatnya kena tahan dengan polis, sah-sah aku kena cop sebagai PATI Indon. Jangankan handphone, satu dokumen peribadi pun tak ada ni! Main aci lari macam itu aje masa nak kejar Farriel tadi.

"Woi, pekak! Lepaskan aku la!"

Aku jerit lagi. Kali ni, aku guna tone suara yang tertinggi. Dia ni tak faham bahasa ke? Subjek Bahasa Melayu gagal ek? Sekolah bertingkat-tingkat, bodohnya pun bertingkat-tingkat tahap dinosaur! Aku tension!!!

Dek suaraku yang nyaring, tapak tangan kirinya spontan melekat di cuping telinga. Padan muka! Dan pergelangan tanganku dilepaskan. Kalau tak, dia lebih senang memandu sambil mencengkam tanganku. Samseng diraja betul! Pergelangan tangan aku belek. Hu hu… dah merah dah ni! Sikit lagi nak melecet.

"Kalau ye pun kau nak pujuk Si Marina tu, tak payah la seret aku sekali! Aku tak ada kena-mengena dalam masalah korang ni, tau tak!"

Farriel cuma diam. Mata tertumpu searah ke depan.

Senang betul kerja dia. Diam, diam dan diam. Aku kat sini yang dah nak dapat darah tinggi!

Okey! Aku tahu la dia tengah memandu, tak boleh kalih kiri kanan sesuka hati tapi… tak boleh ke at least dia jawab pertanyaan aku? Aku dah nak jadi kereta api arang batu yang keluarkan asap hitam dah ni! Letih dah aku menjerit, melalak, melolong marah dia, maki dia, tanya itu ini, minta dia lepaskan aku dan tinggalkan aku kat mana-mana ke… tapi dia boleh buat dunno (tak tau) aje. Geramnya!
Seriously, aku memang tak berminat langsung nak jadi spectator terhadap pergaduhannya dengan Marina yang aku jangkakan bakal berlangsung sebentar nanti. Sebab aku rasa aku tak ada kena-mengena langsung dalam masalah diorang. Aku cuma mangsa keadaan! Marina dan Farriel pula tak ubah seperti haiwan pemangsa. Kalau tak Marina, Si Farriel ni yang akan membaham, melapah, menyiat sekeping hatiku ini. Sadis sungguh nasib hidupku!

"Ei, sejak bila kau jadi bisu ni? Tadi elok aje kau bercakap dengan Marina! Takkan dah hilang suara kut? Ke kau simpan suara sebab nak gaduh dengan dia kejap lagi?"

Farriel diam lagi.

Signboard di bahu jalan aku pandang. Susur masuk ke Lebuh Raya Utara-Selatan? Uih…! Biar betul? Rumah Si Marina tu kat belah-belah utara ke? Bukan ke dia duduk area KL aje? Kampung Marina?
Heish! Kampung dia bukan kat Selangor aje ke? Habis, apa ke halnya dia menuju ke utara? Entah-entah Marina tu dah lari ke sempadan tak? Ke diorang dah berpakat nak kahwin kat sana? Habis, apa hal pulak Si Farriel ni seret aku sekali? Untuk jadi saksi? Kerja gila! Sungguh gila! Memang gila! Sah-sah dah tak waras akal dia


ni! Dashboard kereta aku pandang. Alamak, tank minyak full lagi! Memang dia nak bawak aku ke Thailand gamaknya ni!

"Izumi! Ke mana kau nak bawa aku ni? Woi! Jawab la!"

Bahu dan dadanya sudah jadi ‘punch-bag’ku. Tapi dia tetap macam tu. Tak bergerak. Tak beriak. Tak beremosi.
Ya Allah, kenapalah Kau jadikan Tengku Farriel Izumi ni android bernyawa?

"FARRIEL IZUMI!!!!"

MAJLIS dah hampir sejam tertangguh. Para tetamu dah mula tak senang duduk di kerusi masing-masing. Masing-masing membuat spekulasi tanpa asas atas tertangguhnya majlis tersebut. Para wartawan dan pemberita sibuk mengumpul bahan untuk memuji, menghentam, menyindir atau apa sahaja yang boleh mendatangkan keuntungan kepada syarikat mereka.

Artis dan kumpulan muzik yang masih rancak menyanyi di pentas sudah tak dihiraukan oleh para tetamu lagi. Mereka datang ke sini bukan untuk menonton persembahan tersebut. Mereka datang untuk

menyaksikan mempelai bergandingan di atas pelamin dan di sepanjang majlis berlangsung. Tanpa pengantin, apalah ertinya majlis perkahwinan ini?

"Ma, sampai bila kita nak tunggu ni?" soal Tengku Radhiah lembut.

Nenda Nerrisa pandang sekilas ke arah anak bongsunya. Jatuh kasihannya pada Tengku Naqiu berusia empat tahun yang sudah lena di pangkuan ibunya. Anak


menantu, cucu-cucunya, kaum kerabat serta rakan-rakan yang hadir dikerlingnya. Masing-masing sudah keletihan, sudah bosan menunggu namun tetap bertahan di tempat masing-masing demi menghormati dirinya dan juga majlis yang masih berlangsung.

Hana berjalan pantas ke arah Nenda Nerrisa.

"Hana tak jumpa mereka, nenda," kata Hana dalam mengah.

Nenda Nerrisa, Tengku Radhiah dan Tengku Khalidah pamer wajah pelik.

"Hana dah cuba telefon abang, tapi tak berjawab, asyik masuk voice mail aje pulak! Kak Adry tak bawa phone…" sambung Hana. Dia masih tak jemu menekan-nekan keypad telefonnya.

"Mustahil diorang ghaib! Sejak bila pulak Aril menuntut ilmu menghilangkan diri ni?!" Sinis nada Tengku Makmur menuturkan ayat-ayatnya.

Tengku Muhainis dan Tengku Murni mengukir senyuman mengejek.

"Kamu dah cari di bilik hotel? Lobi? Ke mana-mana? Dah tanya pekerja hotel?" soal Nenda Nerrisa lagi.

"Dah, nenda! Memang tak ada!"

Nenda Nerrisa kalih pandang pada dua orang bodyguardnya.

Masing-masing menggelengkan kepala. Tanda tidak tahu.

Nenda Nerrisa menopang dagu di meja. Bingung memikirkan kehilangan cucu-cucunya. "Ish… mana pulak budak-budak ni pergi? Takkan tak tahu yang majlis kita tak habis lagi?"


Yang mendengar sekadar menggeleng-gelengkan kepala.

Tengku Faris mula bengang dengan situasi yang dihadapkan kepadanya.

Tengku Makmur tiba-tiba ketawa terbahak-bahak. Sengaja membakar api kemarahan Tengku Faris yang sudah panas punggung di hadapannya. "Itulah, mama… kahwinkan lagi Si Aril tu dengan perempuan tak tahu asal-usulnya. Macam ni la jadinya. Cuba pilih Si Murni ni, elok la sikit jadinya. Dah tentu-tentu keturunannya Tengku. Cantik, terpelajar…."

"Ini bukan soal keturunan. Bukan soal cantik ke tidak. Bukan soal pandai atau tidak. Ini soal masa depan Aril. Mama tak kisah dengan siapa dia nak kahwin. Asalkan perempuan tu ikhlas mencintai Aril dan boleh membahagiakan Aril. Dengan anak kamu yang materialistik dan plastik ni, boleh kamu jamin yang Aril akan bahagia dengannya?"

Tengku Murni tarik muncung.

Tengku Makmur ketap gigi. Rasa terpukul dengan kata-kata bondanya. "Sekurang-kurangnya Si Murni ni tahu adab dan protokol. Tak ada la buat kerja gila sampai tinggalkan majlis sendiri! Si Aril tu pun satu. Perangai entah macam apa. Layak ke dia tu jadi CEO syarikat?"

"Abang jangan nak mengutuk anak saya sesuka hati pulak! Anak abang, Si Ihsan tu bagus sangat ke? Dah bertahun duduk US, mengulang paper yang sama dua tiga kali, baru lulus. Tahunya berpeleseran dan menghabiskan duit aje!"

Tengku Makmur tepuk meja seraya bangun dari kerusinya.


Tengku Faris turut berbuat demikian.

Mata masing-masing tajam merenung antara satu sama lain.

"Makmur! Faris! Sudah la tu! Duduk! Ini bukan masanya nak bertekak. Sekarang, kita perlu fikir macam mana nak selesaikan masalah kita ni. Tetamu-tetamu pun dah keletihan. Aril dan Rianna pulak hilang entah ke mana. Mama fikir baik kita tamatkan aje majlis ni." Nenda Nerrisa bersuara lantang.

Tengku Makmur dan Tengku Faris akur dengan arahan bonda mereka.

"Apa alasan kita nak bagi pada tetamu? Pada press?" soal Tengku Khalidah yang mula tertarik mendengar cadangan ibu mertuanya.

"Itulah yang kita kena sama-sama bincangkan. Ini soal maruah keluarga. Mama pun buntu fikir."

"Ha! Apa kata… bla bla bla…."

"Mana boleh! Apa kata… bla bla bla…."

"Diorang percaya ke?"

"Tak pun kita…."

Tengku Faris bangun dari kerusinya. Malas nak join ahli keluarga yang tengah pecah kepala fikir alasan untuk cover tindakan gila anak dan menantunya. Niat di hati nak ke tandas. Meredakan sakit di hati dan tekanan di kepala. Namun, sebaik sahaja dia terpandangkan Yusman di meja berhampiran, dia menukar arah dan akhirnya berhenti di meja lelaki itu.

Yusman segera bangun dari kerusinya.

"Kamu tahu mana Farriel pergi?" tanya Tengku Faris.


"Salah seorang pekerja kita nampak Tengku Farriel mengejar Marina, Tengku." Lapor Yusman.

Tengku Faris menggosok-gosok bawah dagunya dengan jarinya. Senyum segaris terukir di bibir. "Memang kerja gila. Tapi berbaloi!"

"Tengku nak orang-orang kita cari dan ekori mereka?"

"Biarkan mereka…."

Tengku Faris tersenyum lagi.

0 comments:

Post a Comment